Isnin, 21 Mac 2011

125,000 benih ikan dilepaskan di Sungai Pahang










Tan Mohd. Aminuddin (depan, baju putih) melepaskan benih ikan selepas melancarkan Pesta Sungai Pahang di Chenor, semalam.







MARAN 20 Mac - Majlis Belia Daerah Maran (MBDM) melepaskan 125,000 benih pelbagai spesies ikan ke Sungai Pahang dalam usaha membantu meningkatkan hasil pendapatan nelayan sungai di negeri itu.

Pengerusinya, Khairul Amin Osman berkata, benih itu melibatkan 70,000 ikan lampam, 5,000 udang galah dan 50,000 lagi pelbagai jenis ikan.

Menurutnya, program tersebut dibantu oleh Jabatan Perikanan Pahang bertujuan meningkatkan jumlah spesies ikan yang menjadi sumber pendapatan bagi nelayan sungai yang tinggal di pinggir Sungai Pahang.

Kebelakangan ini, katanya, terdapat aktiviti penangkapan ikan yang tidak terkawal sehingga mengakibatkan spesies tersebut berkurangan di sungai itu.

"Ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab menggunakan cara salah menangkap ikan, seperti menuba dan racun bagi mendapatkan jumlah ikan yang banyak.

"Justeru, usaha pertubuhan ini melepaskan ratusan ribu benih ikan di Jeti Pekan Lama Chenor di sini adalah sebagai salah satu kaedah untuk membiakkan pelbagai spesies haiwan sungai dalam habitat semula jadi," katanya kepada di sini semalam.

Katanya, selain itu, langkah tersebut akan mendorong 'kaki pancing' tempatan dan luar negeri itu berminat menjadikan Sungai Pahang sebagai destinasi pilihan dari semasa ke semasa.