Sabtu, 17 April 2010

PKR

Kalau pemimpin PKR sendiri hilang keyakinan, apa tunggu lagi...


PARTI Keadilan Rakyat (PKR) hari demi hari semakin tertekan. Parti itu setakuk demi setakuk ditolak oleh kepimpinan mereka sendiri. Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sudah bosan dengan perjuangan PKR. Kini mereka sudah sedar bahawa PKR hanya satu siasah politik untuk agenda Anwar Ibrahim.

Bagaimana dengan pendirian para penyokong dan pengundi PKR sekarang? Terserahlah jika anda masih yakin dengan perjuangan dan janji-janji Anwar dan pemimpin PKR yang lain.

Tetapi berdasarkan tindakan ADUN Bakar Arang, Kedah, Tan Wei Shu yang keluar daripada PKR Khamis lalu dan menjadi wakil rakyat Bebas patut memberi tanda soal di fikiran orang ramai.

Apa sebenar yang berlaku dalam PKR?

Tetapi kalau menurut kenyataan Timbalan Presiden PKR Senator Dr. Syed Husin Ali pada 4 Mac lalu ketika gelombang pertama dalam tempoh tiga minggu wakil rakyat PKR keluarga parti, beliau yakin partinya tidak akan lingkup sebagaimana diramalkan. Tetapi Syed Husin menyifatkan PKR akan mempunyai kulit yang "lebih bersih dan badan yang lebih sihat".

Cukup hebat bunyi kenyataan itu. Tetapi yang tidak sedap didengar ialah tuduhan atau fitnah yang dibuat oleh PKR yang sengaja meletakkan kesalahan dan kelemahan mereka kepada Perdana Menteri, UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Trend membuat tuduhan melulu supaya rakyat mempercayai kata-kata mereka dan inilah senjata utama pakatan pembangkang melalui pentas ceramah. Menanam persepsi dan membuat tuduhan tidak berasaskan bukti sebenar.

Senang sangat mereka melempar tuduhan kononnya kepimpinan UMNO atau BN memainkan peranan dalam menarik keluar wakil-wakil rakyat parti itu.

Dengan mudah Syed Husin berkata mereka ada maklumat bahawa berpuluh juta dana disediakan oleh Perdana Menteri serta kroni korporat untuk membeli ADUN dan Ahli Parlimen terutama daripada PKR.

Tanpa bukti sahih, sama seperti pendedahan bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Ezam Mohd. Noor tentang isu enam kotak rahsia mengenai senarai nama mereka yang terlibat rasuah yang Anwar minta beliau dedahkan dahulu, sampai sekarang tinggal misteri. Mungkin sebenarnya palsu.

Apa pun, tindakan wakil-wakil rakyat dan pemimpin akar umbi PKR yang keluar parti menunjukkan isyarat bahawa lebih ramai anggota parti itu semakin tidak mempercayai perjuangan PKR.

PKR sudah hilang keyakinan daripada pemimpin dan penyokong kuatnya sebelum ini.

Seperti kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, PKR sudah sampai ke peringkat yang tidak mungkin diyakini, dipercayai bukan sahaja oleh orang biasa tetapi anggota dan pemimpin mereka sendiri.

Berdasarkan perkembangan semasa, tindakan Wei Shu keluar daripada PKR dilihat sebagai kritikal ketika pakatan pembangkang berhadapan dengan cabaran mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.

Tidak payah berselindung lagi, hakikatnya momentum PKR yang memimpin pakatan pembangkang sedang mengalami banyak luka dan penyakit dalaman.

Sejak sedekad lalu satu persatu pemimpin besar PKR meninggalkan perjuangan yang kosong dan tidak jelas. PKR tidak mempunyai matlamat yang khusus. Kalau ada pun agenda yang tidak konsisten dengan kehendak rakyat.

Hakikat ini sudah jelas, tetapi sesetengah mereka dari PKR sahaja yang tidak mahu menerima kenyataan yang sebenarnya.

Pemimpin mereka keluar dengan sebab-sebab tersendiri yang bersangkut paut dengan cara PKR ditadbirkan dan kesemuanya kecewa kerana parti tidak menghiraukan isu-isu yang mereka bawa untuk dibincangkan demi kepentingan rakyat.

Kini anak kera di hutan disusui, anak sendiri mati kebuluran. Ramai pemimpin PKR kecewa, pada hal pada 1998 dahulu, mereka yang mula bergerak di jalan raya dan berkorban masa serta wang untuk menentukan ada satu pergerakan ke arah perubahan.

Sekarang mereka sendiri insaf dan sedar, perubahan yang cuba dibawa oleh PKR tidak ke mana. Tiada perubahan yang rakyat boleh nampak dengan nyata sejak PKR diberi tempat dalam politik negeri dan negara.

Jadi, fikir dan tanya diri sendiri, patutkah PKR diberi keyakinan untuk mentadbir rakyat dan negara ini?

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan