Jumaat, 7 Mei 2010

Sikap bermuka-muka Anwar akhirnya memakan diri

JIKA anda menatap akhbar hari ini, terdapat satu berita yang sangat menarik mengenai pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim. Berita itu memetik tulisan Rachel Motte dari The New Ledger, sebuah penerbitan Internet di Amerika Syarikat (AS) yang mengecam Anwar kerana mempunyai sifat talam dua muka.

Antara lain laporan itu mendedahkan bagaimana Anwar berusaha menonjolkan dirinya sebagai pemimpin demokrat liberal ketika berada di AS dan kemudian pula menjadi pejuang anti-Yahudi ketika berada di negara ini.

Perjuangan anti-Yahudinya dapat dilihat melalui pelbagai kecaman terhadap kerajaan kerana menggunakan khidmat firma perundingan awam pro-Israel APCO Worldwide.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga dikecam kerana kononnya pasukan itu menggunakan perkhidmatan bekas ejen Israel dalam pembangunan sistem maklumatnya.

Tetapi sebelum ini, terutama sebaik sahaja dibebaskan dari penjara 10 tahun lalu, Anwar telah ke Washington dan berjaya berbaik-baik dengan beberapa tokoh Yahudi Amerika seperti bekas Naib Presiden Al Gore dan bekas Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz.

Kedua-dua pemimpin itu merupakan antara pemimpin Barat yang sanggup membela Anwar yang telah berusaha keras menampilkan dirinya sebagai seorang yang sangat bersopan santun.

Mereka juga antara individu yang memperkenalkan Anwar kepada beberapa pertubuhan lain sehinggakan pemimpin pembangkang itu dijemput mengajar selama setahun di Johns Hopkins School of Advanced International Studies di AS.

Sikap bermuka-muka Anwar ini sememangnya telah didedahkan oleh beberapa bekas rakan Anwar sebelum ini tetapi masih ramai yang tidak mempercayainya. Kini, sebuah laman web AS pula mengulangi dakwaan tersebut sambil menyatakan adalah sukar bagi mereka untuk mengenali siapakah sebenarnya diri Anwar. Adakah seorang kawan yang baik atau kawan yang 'jahat'?

Itulah Anwar Ibrahim. Seorang insan yang sangat bijak percaturan politiknya.

Kelebihan petah berkata-kata yang dianugerahkan Tuhan digunakan untuk meraih simpati atau mencari pengaruh sehingga pemimpin besar AS juga boleh terpengaruh dengannya.

Kelebihan yang sama juga digunakan beliau untuk meraih simpati pakcik dan makcik di kampung serta juga mendorong anak-anak muda di kota untuk terpekik terlolong di jalan raya dengan alasan inginkan reformasi apabila dirinya terhimpit.

Tetapi selepas dirinya kembali ke persada politik negara dan berada dalam keadaan selesa, apakah nasib anak-anak muda yang pernah suatu waktu dulu menjadi pejuang pembela nasibnya.

Selain itu, kerana cita-citanya yang sangat ingin menjadi pemimpin nombor satu negara, Anwar yang kita ketahui akan juga sanggup melakukan apa sahaja walaupun tidak bercakap benar.

Lihat sahajalah temberangnya mengenai peristiwa 16 September 2008. Sampai sekarang, pakatan pembangkang yang dipimpinnya masih tetap menjadi pembangkang walaupun sudah ramai yang berangan-angan hendak menduduki kerusi menteri atau ketua menteri jika mereka berjaya menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.

Sememangnya itulah Anwar Ibrahim. Tiada siapa dapat menduga apakah sebenar pendiriannya pada masa lalu, sekarang dan juga masa hadapan. Sama-sama kita tunggu dan lihat adakah sikap bermuka-muka insan ini akan memakan diri sendiri.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan