UMNO satu-satunya parti politik nasionalis Melayu kini sedang hebat dilanda pelbagai 'ujian'. Antara ujian yang dihadapi adalah seperti berikut:
* Krisis kepimpinan dalam parti yang menyaksikan 'pergeseran' di peringkat kepimpinan UMNO di beberapa buah negeri;
* Integriti dan kepimpinan UMNO dalam Barisan Nasional seringkali 'dipersoalkan' oleh parti-parti komponennya;
* Cabaran yang bertali arus dari parti-parti pembangkang - Pakatan Rakyat;
* Kepercayaan dan sokongan rakyat yang semakin terhakis sejak peletakan jawatan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; dan
* Wujudnya sikap 'tidak ambil peduli' dalam kalangan segelintir pemimpin dan penyokong UMNO terhadap keadaan parti tersebut serta lupa matlamat sebenar perjuangan dalam UMNO.
Sama ada ingin percaya ataupun tidak, inilah realiti sebenar yang sedang dihadapi oleh UMNO sebagai sebuah parti politik nasionalis Melayu dalam mengharungi arena politik tempatan yang sesungguhnya semakin mencabar dan 'ganas'.
Walaupun senario sebegini, jatuh dan bangunnya parti politik pemerintah boleh disifatkan sebagai satu lumrah atau kebiasaan dalam dunia politik tempatan di mana-mana negara di serata pelosok dunia. Dalam hal ini, pemimpin dan penyokong parti politik tersebut tidak seharusnya mengambil pendekatan 'berdiam diri' atau 'tunggu dan lihat' terhadap apa yang sedang dan bakal berlaku, serta menyerah 'bulat-bulat' kepada takdir untuk menentukan masa depan parti mereka sendiri.
Jika sesebuah parti politik ingin mengekalkan kuasa kerajaan yang mereka pimpin, meningkatkan sokongan rakyat, serta untuk terus kekal relevan sepanjang masa, usaha 'keras' perlu dilakukan untuk 'memulihkan' kredibilitinya pada 'mata rakyat'.
Dalam konteks UMNO, rasanya telah banyak saranan-saranan diutarakan sama ada di peringkat atasan atau bawahan supaya UMNO berubah ke arah yang lebih baik terutamanya ketika parti tersebut berada dalam keadaan 'tidak stabil'.
Sungguhpun begitu, apa yang agak menyedihkan ialah semua saranan tersebut hanya tinggal pada nama sahaja. Tidak ada tindakan proaktif dibuat. Semuanya, baik pemimpin mahupun penyokong masih mengambil sikap 'tunggu dan lihat' siapa yang akan berubah dahulu.
Lebih buruk lagi, ada yang masih ingin menyalahkan antara satu sama lain, menuding jari kepada orang lain dan rakan seperti tanpa menyedari bahawa mereka juga mempunyai kelemahan yang tersendiri. Hasil daripada sikap yang tidak berfaedah itu, tiada sebarang perubahan yang konstruktif berlaku kepada UMNO, manakala imej parti tersebut masih tidak dapat dipulihkan seperti sediakala.
Apa yang jelas di sini adalah 'kegagalan' UMNO memberi respons terhadap semua tuntutan untuk berubah selaras dengan perkembangan politik semasa telah dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti persepsi dan budaya berpolitik yang sudah 'outdated'.
Pemimpin dan penyokong UMNO harus faham bahawa peranan UMNO sebagai sebuah parti nasionalis Melayu kini sudah pun mencapai tahap tepu dan telah berada di kemuncaknya. Kitaran pertama peranan UMNO sebagai parti politik yang mendokong perjuangan orang Melayu kini sudah pun lengkap dan sekarang sebenarnya sedang mengalami proses kitaran kedua yang cabarannya sangat hebat dan 'ganas'.
Bagi menghadapi proses kitaran kedua itu, UMNO memerlukan pembentukan persepsi dan budaya berpolitik yang berlainan dengan apa yang pernah ia amalkan sejak merdeka dahulu. Inilah proses transformasi politik yang sangat diperlukan UMNO untuk terus kekal relevan dalam konteks politik tempatan.
Begitupun, untuk melengkapkan proses transformasi politik itu, ia memerlukan sifat berani terutamanya dalam kalangan pemimpin UMNO di pelbagai peringkat kerana merekalah yang bertanggungjawab mencorak dan menentukan hala tuju parti tersebut. Sebaliknya, penyokong parti pula tidak mempunyai apa-apa 'kuasa' dalam soal ini.
Para pemimpinlah yang menentukan jatuh bangunnya UMNO sebagai sebuah parti politik nasionalis Melayu.
Justeru, perubahan ke arah proses transformasi politik dalam UMNO mesti diterajui oleh para pemimpinnya di pelbagai peringkat terutama pemimpin atasan yang 'beribu pejabat' di PWTC. Sebagai pemimpin tertinggi parti, mereka mesti berani membuat keputusan-keputusan 'strategik', bukan sahaja untuk masa depan UMNO tetapi juga orang Melayu dan Malaysia amnya.
Tanpa sifat berani, tiada apa yang boleh dilakukan oleh UMNO untuk memulihkan imej dan kredibilitinya pada 'mata rakyat'. Masih belum terlewat bagi UMNO untuk berbuat demikian. Sebaliknya, jika UMNO 'takut' untuk berubah, mungkin satu hari nanti, ia hanya 'berada' di muzium dan arkib menjadi tontonan pelawat sebagai 'bahan' sejarah yang membuktikan bahawa negara ini pernah pada satu ketika dahulu diperintah oleh sebuah parti politik nasionalis Melayu yang dikenali sebagai UMNO.
PENULIS ialah Pensyarah Sains Politik di Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan