Jumaat, 1 April 2011

UMAT DALAM KERAGUAN

Oleh Aziz Jamaludin Mhd Tahir



KETIKA Ali bin Abi Talib secara diplomatik kalah kepada Muawiyah bin Abu Sufyan dalam Perang Siffin, sekumpulan penyokongnya berhadapan dengan emosi kecewa dan membuat keputusan untuk mendirikan kumpulan lain, iaitu Khawarij.


Kemunculan kelompok baru bukan sahaja menjadi cabaran kepada Ali bin Abi Talib, malah memberikan kekuatan kepada Muawiyah sehingga akhirnya bergabung tenaga untuk membunuh Khalifah ar-Rasyidin yang terakhir.


Mereka yang marahkan rampasan kuasa yang dilakukan oleh Muawiyah akhirnya menuntut agar menyerahkan tampuk pentadbiran khalifah kepada keturunan Ali bin Abi Talib. Kelompok itu kemudiannya menggelarkan diri mereka sebagai Syiah.


Kemunculan pelbagai kelompok itu menarik minat Abu Al-Fath Muhammad bin Abdul Karim Asy-Syahrastani dan melalui bukunya, Al-Milal Wa An-Nihal beliau membuat perbincangan mendalam mengenai kemunculan pelbagai aliran dan mazhab dalam Islam. Kelahiran pelbagai aliran itulah telah menyebabkan permusuhan dan perpecahan sehingga pertumpahan darah yang memakan korban.


Perpecahan kepada kelompok sebenarnya telah berlaku pada zaman Rasulullah SAW lagi, iaitu konflik mengenai usaha penulisan wasiat baginda dan penghantaran pasukan di bawah pimpinan Usamah ke Syam bagi membendung serangan tentera Rom. Situasi ini menjadi semakin mendesak semasa Nabi Muhammad SAW sedang gering. Menurut Abu Fath, bibit-bibit perpecahan tersebut berlaku disebabkan dua perkara pokok, iaitu berkaitan politik dan keyakinan terhadap sesuatu doktrin.


Politik Malaysia juga tidak terkecuali dilanda konflik apabila satu pihak menentang setiap program yang dilaksanakan oleh parti yang memerintah. Golongan yang disifatkan sebagai kelompok pembangkang, dengan bersikap memburu ayam hutan dalam kesamaran cahaya lampu suluh menerjang sekuat-kuatnya sehingga menyakinkan segelintir masyarakat umum bahawa perkara yang diputuskan itu adalah salah dan tidak memberikan apa-apa manfaat.


Ketika masyarakat mula yakin dengan perubahan yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Pelan Transformasi Kerajaan, kelompok pembangkang mempersoalkan bahawa itu hanyalah sebuah fantasi. Bagi menggambarkan kesungguhan pembangkang dan meyakinkan rakyat, mereka mengeluarkan Buku Jingga, yang warnanya nampak garang tetapi di dalamnya adalah seolah-olah menjual burung terbang.


Parti yang terkenal dengan perjuangan Islam kian terdesak dan berubah kerana ingin mengikut rentak parti-parti yang pernah disifatkannya sebagai ‘bukan Islam’ dan ‘sekular’. Pemimpin mereka tidak begitu bersungguh-sungguh untuk bercakap mengenai kebenaran, tetapi semakin galak mengubah persepsi awam kepada masalah yang bakal menyebabkan mereka sendiri dilanda keraguan.


Sebaik-baik agama di sisi Allah ialah semangat mencari kebenaran yang lapang, tidak sempit, toleran, tanpa kefanatikan dan tidak membelenggu jiwa. Pemahaman kita kepada Islam adalah pemahaman yang terbuka, yang kerana keterbukaannya itu ia bersikap inklusif dan mampu menjadi rahmat bagi seluruh alam.


Hakikatnya, semua orang inginkan kepada penyatuan dan perpaduan, tetapi keinginan itu hanyalah sebuah bayangan falsafah, realitinya tidak seindah khabar yang dibawa. Setiap orang menginginkan kehidupan yang aman dan damai, kerana dari situlah akan terbinanya kerukunan dan keharmonian, tetapi kerana membawa ideologi kepartian yang terlalu tebal, ia menjadi sesuatu yang amat menggerunkan.


Hati setiap orang yang cintakan keamanan tersentuh, bahkan terguris apabila ada pemimpin tertentu yang mengaku beriman sanggup memburuk-burukkan orang lain dengan kata-kata nista sehingga melanggar tatasusila budaya dan agama.


Sedangkan di dalam al-Quran, Allah menjelaskan kualiti kaum yang beriman itu ialah mereka itu ‘dibimbing ke arah tutur kata yang baik, serta dibimbing ke jalan Allah Yang Maha Terpuji’, (Surah Al-Hajj ayat 24)


Mereka lupa bahawa politik hanya alat untuk memperoleh kuasa secara sah. Politik bukanlah segala-galanya, tetapi bagi pembangkang politiklah yang akan dipertaruhkan walaupun mengorbankan maruah demi kelangsungan cita-cita. Politik dijadikan ramuan dalam setiap resipi masakan, dari pagi hinggalah lewat malam, malah dalam memohon pertolongan daripada Maha Berkuasa, mereka turut memasukkan dendam kesumat, termasuk melaknatkan pemimpin yang memerintah dan semua yang terbabit dalam proses tersebut.


Inilah sikap negatif yang sebenarnya telah memerangkap umat Islam. Gambaran buruk itu telah menyebabkan bukan Islam boleh memberikan tafsiran terhadap budaya yang dipertontonkan kepada umum, sehingga menuntut lebih daripada sepatutnya. Kenapa mereka begitu lantang membuat tafsiran, kerana orang Islam sendiri masih berada dalam igauan politik dan tafsiran kepuakan yang melampau.


Seharusnya, umat Islam mampu menghadapi situasi ini dengan akal yang sihat. Dengan pertimbangan yang rasional akan dapat menyelamatkan Islam, fitnah memfitnah dapat dilenyapkan secara beradab dan bersusila.


Sejarah turut memberikan kita pengajaran bahawa punca kekalahan tentera Islam adalah kerana kita sendiri tidak bersatu. Dalam keadaan itulah menyebabkan pihak luar mengambil peluang sehingga mampu menjatuhkan empayar Muslim satu demi satu. Kes yang berlaku di Timur Tengah misalnya menjadikan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya semakin angkuh. AS tidak sedikitpun merasakan dirinya bersalah melancarkan serangan untuk menyokong pemberontak yang ingin menjatuhkan Muammar Gaddafi. AS beranggapan tindakan tersebut adalah wajar kerana Gaddafi telah menggunakan kekerasan membunuh rakyatnya sendiri.


Tatkala tentera AS membelasah seorang pemuda Afghanistan sebagaimana disiarkan majalah Rolling Stone, tidakpun kedengaran pengakuan silap. Sebaliknya, akibat dimalukan dengan pendedahan tersebut, AS terpaksa memohon maaf tetapi askar negara itu terus melakukan kekejaman yang sama terhadap rakyat Afghanistan, Iraq dan kini Libya. Tidak ada satu pun negara Arab sedia mencabar kewajaran AS itu dan mendakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Kenapa? Jawapannya adalah mudah, negara-negara Arab amat takutkan AS kerana negara itulah sebenarnya yang telah mencorakkan politik mereka.


Konflik dan perselisihan dalam kalangan umat Islam telah diungkapkan dengan jelas dalam al-Quran. Terdapat banyak ayat yang memberikan gambaran sebab-sebab yang mencetuskan konflik dan perselisihan. Misalnya, surah al-Maidah ayat 14 mengatakan bahawa perpecahan itu terjadi akibat kurangnya pengetahuan umat Islam. Perselisihan yang berlaku berpunca daripada sikap dengki, khianat, terlalu mencintai kemewahan dunia, tidak menggunakan akal yang sihat dan saling tidak percaya antara satu sama lain.


Sayyid Muhammad Rashid Ridha dalam kitabnya Al-Kassyaf, turut memperakui fenomena ini. Beliau menjelaskan salah satu daripada empat sebab utama kehancuran umat Islam adalah kemelut perpecahan yang dijelmakan menerusi kemunculan pelbagai ‘firqah’ atau kelompok. Kelompok-kelompok ini kemudiannya saling berlumba-lumba untuk mendapatkan kuasa. Di sinilah bermulanya pelbagai pertembungan dan perselisihan sehingga amalan politik menjadi sesuatu yang kotor dan jijik. Politik dianggap sebagai kepelbagaian teknik dan strategi, matlamat akhirnya ialah mendapat kuasa.


Bagaimana kuasa itu diperoleh bukan menjadi kayu ukur. Yang penting ialah kemenangan dan menjadi pemerintah. Dosa dan pahala bercampur. Malah ada ketikanya dosa berubah menjadi ‘pahala’ kerana itulah pilihan terbaik bagi mendapatkan kuasa. Itulah politik yang sedang menjadi budaya dan semakin marak dalam mencabut nilai-nilai keimanan dan ketakwaan, akhirnya mengheret manusia dalam kancah sengketa sesama sendiri.


Dalam konteks ini, Allah memerintahkan Rasulullah untuk menyampaikan pernyataan tegas melalui firman-Nya bermaksud: “Katakanlah wahai Tuhan kami! Yang mempunyai kerajaan, Engkau yang menganugerahkan kekuasaan bagi siapa yang Engkau kehendaki dan mencabut kekuasaan dari siapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa yang engkau kehendaki, dan Engkau hinakan siapa yang Engkau kehendaki,dalam tanganMu segala kebajikan,sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala kebajikan,sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”. (surah Ali-Imran ayat 26).


Dalam konteks ini, Rasullullah SAW setiap habis solat membaca doa yang bermaksud: “Tuhan kami, sesungguhnya tidak ada sesiapa yang dapat menghalang perkara yang telah engkau kurniakan dan tidak ada sesiapa yang boleh mengurniakan apa sahaja yang engkau halangi dan tidak akan memberi manfaat oleh mereka yang berusaha bersungguh-sungguh dari apa yang Allah kehendaki.”


penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan