Selasa, 8 September 2009

Pindaan UMNO: Harapan orang muda

TSUNAMI politik yang menggoncang UMNO terutama selepas 8 Mac 2008 menuntut kepada perubahan yang besar dalam parti itu untuk mendepani cabaran dan isu semasa terutama yang dicetuskan oleh corak berpolitik generasi muda.

Pindaan perlembagaan UMNO yang dijangka akan dibentangkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2009, 13 hingga 16 Oktober ini menunjukkan kesungguhan parti itu untuk berubah dengan gelombang pembaharuan tersebut.

Namun persoalannya, sejauh mana pindaan perlembagaan itu menepati permasalahan sebenar yang dihadapi oleh UMNO terutamanya – persepsi di kalangan generasi muda. Wartawan Utusan, MOHD. KHUZAIRI ISMAIL berkongsi pandangan dengan generasi muda UMNO mengenai cadangan pindaan perlembagaan dari perspektif orang muda.

Mereka ialah pemerhati politik, Khairuddin Mohd. Zain; peguam, Nazim Rahman dan Pengerusi Dewan Muda, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Perak, Saiful Adli Mohd. Arshad. Meskipun tidak mewakili suara majoriti generasi muda UMNO, namun mereka berkongsi harapan dengan kebanyakan golongan muda yang lainnya untuk melihat parti itu berubah sesuai dengan kehendak politik semasa.

Bagi mereka, pindaan perlembagaan ini ibarat seperti menggantikan padang bola yang tidak rata kepada padang yang baru. Tetapi jika pemainnya masih mengamalkan corak permainan yang lama, maka perubahan yang dicari-cari itu hanya akan menjadi sia-sia.


UTUSAN: Sejauh mana pindaan perlembagaan UMNO ini mewakili suara sebenar generasi muda UMNO?

KHAIRUDDIN: Cadangan pindaan perlembagaan ini sebenarnya sudah memberi ruang kepada akar umbi untuk memberikan pandangan termasuk ruang mana yang mereka perlukan perubahan. Tapi saya berpandangan rata-rata orang muda tidak lagi bercakap soal bagaimana untuk menyertai UMNO sahaja. Sebaliknya mereka turut bercakap bagaimana untuk mereka lebih menyumbang dalam hierarki parti itu sendiri.

Pada saya, apa yang diperhatikan oleh orang muda ialah pindaan perlembagaan semata-mata masih belum cukup. Mereka mahu melihat perubahan dari sudut kualiti perkhidmatan yang diberikan. Baik UMNO di peringkat bahagian, cawangan dan sebagainya.

Jika Presiden kita, Datuk Seri Najib Tun Razak selalu menekankan mengenai Indeks Prestasi (KPI) dalam kerajaan, maka dalam UMNO juga perkara ini perlu diberi perhatian. Contohnya apa yang kita jangkakan daripada ketua bahagian atau cawangan. Sejauh mana mereka ini turun padang dan merapati ahli akar umbi.

Seiring dengan niat pindaan perlembagaan yang sangat bagus itu juga, ia perlu diperkukuhkan dengan banyak perkara lain yang boleh mengukuhkan parti. Antaranya Lembaga Disiplin UMNO yang sering bercakap mengenai hukuman kepada ahli yang bersalah dalam pelbagai masalah disiplin.

Kalau boleh kita mahu melihat Lembaga Disiplin UMNO ini turut merangkumi soal-soal strategik.

Pantau Yang Berhormat UMNO mana yang tidak turun ke bawah dan berjumpa dengan rakyat. Orang muda sekarang sangat prihatin dengan kemampuan wakil rakyat menyelesaikan masalah rakyat. Justeru dalam konteks pindaan perlembagaan ini, ia perlu merangkumi semua perkara. Bukan selektif kepada perkara-perkara tertentu sahaja sebaliknya perlu memperkenalkan perkara-perkara yang baru.

NAZIM: Kalau kita lihat daripada aspek pindaan perlembagaan ini, sebahagian daripadanya adalah pindaan yang biasa. Ia mungkin baik sebagai satu asas untuk perubahan yang lebih besar, jadi saya melihat kita tidak harus berhenti setakat itu. Kalau setakat mahu menghapuskan sistem kuota, yuran tahunan dan sebagainya, pindaan ini tidak mampu untuk membawa apa-apa perubahan dan tidak mampu untuk menarik generasi muda UMNO.

Kerana apa yang penting untuk menarik generasi muda ialah proses regenerasi dalam parti. Pada pandangan saya cadangan pindaan perlembagaan ini belum cukup untuk kita memperluaskan proses regenerasi itu dalam parti. Sebab kita masih lagi terpaut dengan gaya dan cara politik lama termasuk di peringkat cawangan dan bahagian.

Walaupun kita parti yang besar dan kuantiti juga ramai, saya lihat kita masih lagi belum mampu untuk menampilkan kepimpinan politik yang berkualiti. Itu yang lebih penting. Untuk tampilkan itu perlu ada proses regenerasi yang luas di setiap peringkat.

SAIFUL ADLI: Dalam kita membandingkan realiti politik semasa, jika dikaji UMNO juga dinamik sejak dulu lagi. UMNO pernah ada pemilihan setiap tahun, kemudian menjadi dua tahun dan sekarang setiap tiga tahun. Bagi saya itu juga sangat dinamik. UMNO juga perkenalkan sayap parti seperti Puteri. Dulu perwakilan ‘10 campur 1' iaitu 10 perwakilan campur satu ketua bahagian. UMNO, sebenarnya sentiasa ada keupayaan untuk berubah. Jika tidak UMNO tidak boleh memerintah negara selama 52 tahun dan tidak akan berusia 63 tahun.

Dalam konteks pemilihan UMNO ini saya melihat dua perkara. Pertama, pemilihan yang berjalan secara kurang berintegriti. Yang akhirnya membuatkan kita banyak bercakap mengenai politik wang dan masalah dalaman parti. Kedua akhirnya ia memberikan keputusan yang tidak menggambarkan kehendak akar umbi yang sebenar.

Kerana itu cadangan pindaan perlembagaan yang akan dibuat ini sebenarnya tidak seperti tujuan asal. Tetapi seperti pada permukaan sahaja. Kita bercakap pasal menghapuskan kuota atau membuang sekatan. Tetapi diadakan pula kriteria. Sedangkan kriteria-kriteria ini hanya akan menjadikan UMNO parti politik yang paling tidak demokratik di Malaysia.

Saya suka membandingkan dengan parti pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR) misalnya. Pindaan perlembagaan mereka menurunkan umur ahli Pemuda daripada 40 ke 35 tahun. Ini akan menjadikan parti itu sangat muda dan secara tidak langsung mereka akan mempunyai Ketua Pemuda yang sangat muda tetapi diiktiraf di peringkat Pusat. Sedangkan di dalam UMNO, peringkat umur ahli Pemuda ialah 35 tahun ke atas, malah ada yang lebih 40 tahun pun.

Adakah generasi muda UMNO sebelum ini tidak diberi peluang untuk menonjolkan diri?

NAZIM: Dalam isu akses orang muda ini saya melihat generasi muda hari ini mahukan perbahasan dalam parti supaya lebih bersifat intelektual. Ketika ini parti pembangkang seperti PKR sudah menghantar kumpulan mereka ke Jerman untuk mengkaji sistem kerajaan di sana. Banyak kebaikan yang diperoleh daripada pendedahan sebegini yang mereka bawa pulang untuk bentangkan dan membuat penilaian. Maka perbahasan yang berlaku di dalam parti itu juga bersifat intelektual.

Adakah generasi kepimpinan muda UMNO juga terdedah dengan perkara seperti ini? Saya tidak nampak ia berlaku. Kita tidak mengharapkan perbincangan intelektual itu berlaku di peringkat bahagian atau cawangan. Tetapi masalahnya di peringkat nasional pun kita tidak nampak kekayaan perbahasan itu.

KHAIRUDDIN: Ruang perbincangan itu sudah diperbesarkan dan kita ada pelbagai jenis teknologi berinteraksi sekarang terutamanya dengan kecanggihan Internet. Jika ruang itu betul-betul menjadi cita rasa orang muda, maka kita akan sentiasa gunakan ruang ini untuk mendekati pemimpin. Tetapi rakyat juga akan bertanya adakah ruang itu jujur. Adakah benar pemimpin itu sendiri yang mengendalikan ruang interaksi maya mereka itu atau ada pegawai lain yang memantaunya.

Kalau pemimpin yang ada sangat terbuka, maka mereka perlu mendekati orang muda dalam ruang yang ada untuk berinteraksi. Biar mereka menyuarakan pandangan bukan sahaja dengan pemimpin kerajaan malah pemimpin UMNO di peringkat bawah juga perlu berani. Ketika ini perubahan yang dituntut ialah daripada politik ‘warlordnisme’ kepada politik khidmat. Bukan sahaja di kalangan orang lama malah orang muda juga perlu belajar bagaimana untuk berkhidmat kepada rakyat.

SAIFUL ADLI: Kerana itu saya mencadangkan supaya had umur bagi Pemuda diturunkan kepada 35. Jadi kita akan ada pemimpin pelapis yang sangat muda iaitu pada umur 30 tahun yang sangat rapat dengan generasi muda. Dengan penurunan itu juga kita sebenarnya meremajakan Pemuda. Ahli Pemuda yang ada ketika ini akan naik ke bahagian dan secara tidak langsung memudakan UMNO sendiri.

Sebab, jarak umur pemimpin pemuda dalam lingkungan 40 tahun ketika ini sangat jauh dengan ahli yang berumur 20 tahun. Aktiviti dan budaya mereka pun sudah lain.

Dalam masa yang sama kita perkukuhkan ahli-ahli veteran UMNO dengan menjadikan mereka sayap parti. Atau berikan mereka yang berusia 65 tahun ke atas misalnya hak untuk mengundi. Ia secara tidak langsung membuatkan mereka berasa dihargai dan tidaklah mereka berasa takut diabaikan atau hilang jawatan bila sudah sampai peringkat umur tertentu.

Politik wang terutama dalam mekanisme pemilihan UMNO adalah antara yang menjadi isu di kalangan generasi muda. Adakah cadangan pindaan perlembagaan ini memberi perhatian kepada perkara ini?

NAZIM: Jika dilihat pindaan perlembagaan ini saya optimis sedikit sebanyak ia mampu menjadi asas walaupun tidak mampu menghapuskan terus, tetapi mengurangkan amalan politik wang. Kerana apa yang lebih penting dengan perluasan sistem pemilihan kepada lebih 60,000 orang ini ialah, ia secara tidak langsung dapat menghapuskan budaya yang cukup negatif dalam UMNO iaitu budaya warlordnisme. Gejala ni cukup serius dan kalau kita kaji budaya berpolitik di kalangan banyak parti politik dunia, budaya inilah yang menjatuhkan parti itu selain isu-isu lain.

Saya sering mengambil contoh Parti Buruh di Britain yang mana pindaan perlembagaan yang hampir sama dilakukan oleh Tony Blair sebaik-baik sahaja beliau mengambil alih parti pada 1997. Beliau memperluaskan sistem pemilihan dalam parti itu kerana melihat ketika itu parti berkenaan dikawal oleh kalangan pemimpin kesatuan buruh yang mewujudkan budaya warlordisme.

Jadi untuk menampilkan imej baru kepada Parti Buruh, maka beliau perlu hapuskan budaya ini. Sejak itu, beliau memperluaskan perlembagaan parti secara lebih berdemokrasi dan dalam masa lima hingga 10 tahun kemudiannya, pengaruh negatif budaya itu terhapus. Pada ketika itu budaya kepimpinan parti berkenaan juga lebih kepada pemikiran sosialisme dan ia tidak mampu berikan imej futuristik kepada parti tersebut.

SAIFUL ADLI: Cadangan pindaan perlembagaan memberikan dua pilihan iaitu diadakan Hari Pemilihan UMNO yang mana semua ahli UMNO yang berjumlah 3.5 juta mengundi. Atau diadakan pemilihan di peringkat bahagian membabitkan sekurang-kurangnya 60,000 perwakilan bahagian untuk memilih Ahli Majlis Tertinggi. Tetapi bagi saya, kedua-duanya saya tidak bersetuju.

Pindaan perlembagaan yang dicadangkan ini antara lain tujuannya ialah untuk menyelesaikan masalah pemilihan yang tidak berintegriti atau politik wang. Di samping itu kita juga mahu memastikan keputusan pemilihan itu adalah refleksi kepada hasrat dan suara akar umbi. Iaitu adakah hasrat mereka mahukan pemimpin tertentu tercapai dengan amanah yang diberikan kepada perwakilan bahagian masing-masing.

Tetapi jika kita lihat sekiranya diadakan Hari Pemilihan UMNO yang mana 3.5 juta ahli memberikan undi, memang ia sangat demokratik. Orang muda sangat suka, sebab itu adalah demokrasi, satu ahli satu undi tidak kira miskin, kaya, tua atau muda. Tetapi bayangkan jika daripada 3.5 juta ahli UMNO ini yang keluar mengundi tidak sampai pun sejuta ahli?

Saya mengambil perbandingan mesyuarat bahagian di kawasan saya pun yang sangat seksa untuk memenuhi ‘korum.’ Dalam 400 orang ahli yang berdaftar hanya seramai 100 orang sahaja yang datang. Jadi persoalannya ahli UMNO yang seramai 3.5 juta orang ini -- adakah benar atau tidak? Jika yang mengundi tidak sampai pun sejuta, ia akan memberi implikasi yang besar kepada UMNO. Sedangkan Pas ketika ini juga mempunyai seramai 1.2 juta orang ahli dan mereka boleh mendakwa bahawa parti itu yang mewakili orang Melayu yang terbesar dan bukannya UMNO.

Jika kita buka kepada semua ahli juga, saya takut kriteria yang digunakan untuk memilih pemimpin juga akan menjadi haru-biru. Matlamat utama pindaan pemilihan ini adalah untuk mengubah budaya politik wang. Tetapi jika dulu orang yang berpolitik wang itu menjaga perwakilan di bahagian, cawangan, maka selepas pindaan ini mereka akan menjaga bahagian pula. Jadi ia tetap sama dan perubahan itu hanyalah pada kosmetik sahaja.

Berbalik kepada orang muda, golongan ini sangat memberi tumpuan soal politik wang ini. Saya mengambil contoh jika diajak seorang anak muda yang ada bakat kepimpinan yang sangat tinggi untuk bergiat aktif di dalam UMNO, jawapan sinikal yang sering diberikan ialah “Aku mana ada duit...” Ini adalah hambatan persepsi yang sangat besar dalam UMNO dan ia mesti dihapuskan. Jika tidak bagaimana orang yang bijak pandai mahu menyertai UMNO?

Hambatan lain di kalangan orang muda juga ialah akses di dalam UMNO. Orang muda bukan mahu meminta tempat, cuma ruang untuk bergerak. Tetapi masalahnya di dalam UMNO itu sendiri terlalu banyak pantang larang atau pemikiran cara lama (old school).

Apakah pindaan perlembagaan ini memberi signifikan yang jelas kepada mereka yang berada di luar UMNO terutama di kalangan generasi muda?

KHAIRUDDIN: Kita berada dalam konflik persepsi, jadi pindaan perlembagaan ini sangat penting kepada imej dan dalam masa sama dapat memperbetulkan kaedah. Orang luar amat menunggu pindaan ini untuk mereka lihat dan menilai. Pada saya ruang ini sangat genting sebab kita akan berdepan pilihan raya umum ke-13 dalam masa beberapa tahun lagi. Jika dengan pindaan perlembagaan ini sekali pun UMNO tidak berubah, maka parti ini akan berdepan dengan masalah.

Mahu tidak mahu, UMNO perlu buat perubahan. Tidak boleh hanya menumpukan kepada pindaan perlembagaan sahaja, sebaliknya turut memberi perhatian untuk beralih daripada politik warlord kepada khidmat serta perkara-perkara lain yang lebih utama. Orang muda tengok sejauh mana kita mampu berkhidmat dan mendekati rakyat. Jadi UMNO sendiri mesti turun padang dengan program yang sangat khusus seperti yang dijalankan oleh Wanita dengan program Jalinan Rakyat misalnya.

SAIFUL ADLI: Orang muda menunggu pindaan ini kerana jika dilihat pada pilihan raya 2008 lalu, persepsi umum orang Melayu ialah jika orang Melayu UMNO tidak mampu untuk berkhidmat, maka kita akan bagi kepada Melayu yang lain iaitu di kalangan pembangkang. Melayu ini adalah Melayu yang berani sebab itu merupakan proses evolusi yang berlaku dalam masyarakat.

Orang Melayu hari ini walaupun masih ada yang tercicir tetapi kebanyakannya merupakan golongan pertengahan. Ini yang menjadikan mereka semakin berani, sebab ekonomi mereka sudah stabil. Jadi UMNO mesti meyakinkan bahawa pindaan ini adalah untuk memberi imej dan maksud bahawa parti ini sedang dan bersedia untuk berubah.

Tetapi apa pula perubahannya? Fokus tidak semestinya kepada pemilihan tetapi bagaimana untuk membasmi politik wang yang serius dan mahu menjadikan Lembaga Disiplin UMNO sebuah badan yang dihormati. Tidak ada lagi perbezaan hukuman kerana kesalahan yang sama. Ini kerana rakyat melihat perkara ini dan bertanya kenapa boleh jadi begitu? Seolah-olah Lembaga Disiplin UMNO ini ditubuhkan hanya untuk suka-suka. Jadi imej UMNO itu seharusnya membuatkan orang muda menghargai UMNO. Masalahnya untuk menghargai itu pun mereka tidak mampu, apatah lagi untuk menyertai dan menjadi ahli UMNO.

2 ulasan:

  1. 1 malaysia dah berubah. rupa rupanya pemerintahan negara boleh digilirkan kepada yang lain daripada bn. satu malaysia dah berubah. rupa rupanya kita serupa sahaja, tiada yang ajaib dikalangan orang umno. kita sama sama makan nasi laa

    BalasPadam
  2. BERUBAH? BETULLLL KAH ?

    BalasPadam