Isnin, 30 Ogos 2010

Merdekakan Pemikiran kaum

Mingguan Malaysia, 29 Ogos 2010

Menjelang hari kemerdekaan negara, saya selalu teringat tiga orang pegawai British yang banyak berjasa kepada Tanah Melayu iaitu R.O. Winstedt, George Maxwell dan Frank Swettenham. Walaupun mereka tinggal tidak lama di sini, lebih kurang 30 tahun, namun mereka bertiga ini begitu gigih menentang Malayan Union yang cuba diperkenalkan oleh ketua mereka pada tahun 1946. Suara keras mereka kedengaran melalui akhbar-akhbar di London, tidak kurang di sini.

Mereka cukup memahami pemikiran, psikologi, toleransi dan cara hidup Melayu serta kedudukan bangsa Melayu di kepulauan Melayu. Pendek kata, walaupun mereka bukan Melayu, mereka tidak sanggup melihat hak-hak Melayu dan Islam dicabut di buminya sendiri. Mereka tidak kisah menerima kutukan bangsanya disebabkan oleh pendirian yang bertentangan. Atas dasar berani kerana benar, takut kerana salah, mereka sanggup menghadapi risiko yang begitu besar. Niat mereka ikhlas, mereka tidak mahu bangsa mereka dikutuk selepas ini disebabkan oleh terlalu agresif atau terlalu ultra kiasu.

Mereka bersama-sama pejuang-pejuang Melayu Islam yang lain berhempas pulas memastikan Malayan Union gagal. Tindakan mereka ternyata membuahkan hasil. Tanah Melayu kembali kepada orang Melayu. Bayangkanlah jika orang bukan Melayu bersama-sama menentang Malayan Union, saya akan turut berbangga hari ini, kerana bangsa telah melakukan sesuatu yang boleh dibanggakan. Saya tidak mahu bangsa saya dituduh mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain. Biarlah kita mengambil kesempatan ketika orang lain kuat. Itu lebih bermaruah daripada menahan lukah di pergentingan. Inilah maksud kemerdekaan yang sebenar, berkorban jiwa raga demi agama, bangsa dan negara.

Kini sudah 53 tahun kita mencapai kemerdekaan. Sepatutnya, semakin lama kita merdeka, ia semakin mematangkan kita. Kita akan lebih memahami sejarah negara. Ini tidak, ada segelintir yang cuba memutar-belitkan sejarah dan menuntut sesuatu yang di luar dugaan. Mereka sudah lupa wajah-wajah tokoh kemerdekaan yang telah banyak berkorban.

Apa yang lebih ditonjolkan adalah tokoh-tokoh berasaskan bangsa yang sumbangannya tidaklah sehebat sumbangan mereka yang sanggup berkorban nyawa seperti Tok Janggut, Dato Maharajalela, Dato Bahaman, Mat Salleh, Rentap dan sebagainya. Lebih menyedihkan lagi ada yang sanggup mengenengahkan ahli kumpulan Bintang Tiga (MPAJA) sebagai pejuang kemerdekaan, sedangkan sejarah membuktikan bahawa mereka ini memperjuangkan ideologi komunis.

Jika kita tinjau sejarah kemerdekaan, para pejuang kemerdekaan sebenar adalah pahlawan-pahlawan Islam. Sila baca sejarah kebangkitan nasionalisme Melayu (Islam) dan faktor-faktor kebangkitan seperti pengaruh Islam, akhbar, bahasa dan kesusasteraan dan sebagainya. Daripada semua faktor ini, saya boleh ringkaskan, faktor agama Islam amat kuat menpengaruhi kebangkitan Melayu ketika itu. Islam menyatukan mereka meskipun berbeza latar belakang. Mereka sanggup mengenepikan kepentingan peribadi dan parti, semata-mata untuk memastikan tanahair ini bebas dari cengkaman penjajah.

Justeru, hari ini tidak timbul soal kita tidak boleh bersatu atas semangat ini. Masalahnya kita saling tuduh menuduh dan kafir mengkafir antara satu sama lain. UMNO dikatakan sekular kerana mempertahankan perlembagaan kafir (Perlembagan Reid). PAS mendakwa mereka sahajalah parti yang memperjuangkan Islam. Persoalannya, tidakkah kita boleh manfaatkan ruang dan peluang yang sedia ada (perlembagaan) untuk meninggikan syiar Islam? Kenapa kita harus saling bercakaran?

Pada saya, syiar Islam berkembang hari ini disebabkan oleh ruang dan peluang yang ada dalam perlembagaan menyebabkan ia tumbuh subur. Untuk melaksanakan hudud, maka pindaan perlembagaan perlu dibuat. Persoalannya bolehkah perlembagaan dipinda jika umat Islam tidak mempunyai majoriti dua pertiga dalam parlimen? Jika bukan Islam termasuk ultra kiasu tidak menyokong hudud, bagaimana ia boleh dilaksanakan?

Saya hanya tersenyum simpul apabila membaca respon pemimpin nombor satu parti ultra kiasu terhadap pandangan Mursyidul Am PAS mengenai cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud. Spontan selepas itu, pemimpin parti ultra kiasu menjawab janganlah bermimpi untuk melaksanakan hudud. Seperti biasa jawapan Mursyidul Am PAS adalah, ultra kiasu masih tidak faham Islam, itu pendapat peribadi.

Persoalannya, takkanlah sudah sekian lama tidur sebantal masih tidak faham-faham lagi? Sebelum ini PAS mendakwa, sejak berkawan dengan mereka, ultra kiasu sudah semakin berubah, banyak membaca buku-buku Islam dan menjadi pro-Islam. Yang menjadi masalah hanya golongan tua ultra kiasu, generasi muda mereka didakwa begitu sayang dan memahami Islam serta setuju dengan perlaksanaan undang-undang Islam. Bagus juga sangka baik ini, sekurang-kurang dapat membuka mata dan minda kita. Ini mungkin juga disebabkan oleh doa khatib-khatib PAS dalam khutbah jumaat.

Persoalannya, adakah benar ultra kiasu sudah mendapat hidayah? Sejak dari dahulu lagi parti ultra kiasu menolak sebagai bentuk perlaksanaan cara hidup Islam di negara ini. Masihkan kita tidak mengenali antara musuh dan sahabat? Saya yakin, jika Mursyidul Am PAS mencadangkan kepada UMNO, paling kurangpun UMNO akan berkata, kita tangguh dahulu, menolak tidak mungkin sekali, kerana UMNO adalah parti orang Islam.

Ultra kiasu sentiasa merujuk tahun 1988 sebagai hujah untuk menolak undang-undang dan negara Islam. Pada ketika itu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa hanya undang-undang sivil terpakai di sesebuah negara sekular. Jika inilah hujahnya, bermakna perlembagaan persekutuan perlu dipinda. Bagaimanakah perlembagaan persekutuan boleh dipinda jika tidak ada majoriti dua pertiga. Justeru, sudah sampai masanya PAS dan UMNO bersatu untuk melaksanakan undang-undang Islam.

Namun begitu, sanggupkah Mursyidul Am PAS menyahut cabaran ini? Prejudis PAS terhadap UMNO terlalu tinggi, berbanding sangka baik mereka terhadap ultra kiasu. Semakin kuat PAS bercakap pasal Islam, semakin kuat pula ultra kiasu menentang Islam. Sudah sampai masanya PAS membuat kajian kenapa ultra kiasu masih menentang Islam daripada memberikan jawapan simplistik, mereka masih belum faham Islam disebabkan UMNO.

Kadangkala saya cukup hairan, kenapa kita begitu ghairah dengan hudud, sedangkan ruang dan peluang untuk kita melaksanakan cara hidup Islam yang lain masih terbentang luas? Gunakanlah ruang dan peluang terlebih dahulu. Beritahu kepada mereka larangan Islam seperti zina, judi, seks bebas, dan sebagainya adalah isu bersama atau isu semua agama. Saya yakin, isu inipun tidak dapat dipersetujui oleh ultra kiasu, sebab mereka memperjuangkan hak-hak asasi manusia dan negara sekular.

Tidakkah lebih baik setelah bukan Islam faham nanti, barulah kita bersama-sama fikirkan cara untuk melaksanakan cara hidup Islam sepenuhnya? Ini tidak, masa dan tenaga banyak terbuang memikirkan sesuatu yang amat sukar untuk dilaksanakan.

Yakinlah, hari ini UMNO sudah banyak berubah berbanding dahulu. Ya, dahulu memang UMNO kuat buat endah tidak endah apabila bercakap tentang Islam. Namun, hari ini semakin ramai generasi muda yang cenderung kepada Islam. Cuma pendekatannya sahaja berbeza dengan pendekatan PAS. Saya tidak menafikan peranan PAS yang turut menyumbang kepada UMNO untuk memahami Islam dan melaksanakan cara hidup Islam walaupun belum sepenuhnya.

Cubalah buat sedikit perbandingan bagaimana ultra kiasu bersatu dan mendesak kita. Terbaru, mereka mendesak agar dua orang pengetua sekolah yang mengeluarkan kenyataan rasis meletak jawatan atau ditukarkan. Isu pengetua rasis dijadikan berita utama saban hari seolah-olah tidak ada lagi berita lain dalam media mereka. Tujuannya tidak lain, untuk menunjukkan suara mereka kuat dan boleh menggugat kedudukan kerajaan yang memerintah. Mereka bersatu hati dan tidak pernah berputus asa mendesak kerajaan mengenakan tindakan terhadap mereka yang kononnya didakwa sebagai rasis, sehinggalah kerajaan tunduk, barulah mereka berpuas hati.

Saya juga ingin melihat mereka melakukan tindakan yang sama terhadap insiden menyimbah cat merah dan botol arak di salah sebuah surau di Seremban baru-baru ini. Adakah mereka bertindak sedemikian? Adakah umat Islam bertindak seperti mereka memaksa pesalah-pesalah tersebut dibicarakan atau dipenjarakan? Yang saya lihat, kita cuba tutup isu ini. Malahan identitinyapun kalau boleh kita mahu rahsiakan. Kalau boleh, kita mahu cepat-cepat ‘cover’ isu ini dengan mengatakan ia tidak kaitan dengan isu rasis. Persoalannya, kenapa bila pada kita semuanya rasis? Siapakah sebenarnya rasis?

Remaja yang terlibat dalam insiden membakar gereja dikenakan hukuman penjara lima tahun. Itupun masih ada yang tidak berpuas hati dengan hukuman tersebut.

Bagaimanapun, insiden surau ini tidak banyak diperbesarkan seperti mana isu pengetua rasis, malah umat Islam menerimanya melalui permohonan maaf. Sifat terpuji ini amat saya kagumi. Bukannya seperti politik ultra kiasu, bila kena orang Islam, macam-macam tindakan mahu dikenakan. Namun, bila kena pada batang hidung sendiri, disenyapkan dan cukup sekadar permohonan maaf. Merdekakah kita? Kenapa tidak menghargai toleransi ini? Siapakah yang lebih bertoleransi?

Sama juga insiden kenyataan Ketua Wanita Gerakan, apabila beliau mengeluarkan kenyataan bahawa orang Melayu itu adalah juga pendatang sepertimana orang Cina dan India. Adakah itu kenyataan ini tidak rasis? Saya jarang pernah dengar ultra kiasu mendesak beliau meminta maaf, atau dipaksa letak jawatan atau ditukarkan ke mana-mana? Yang saya dengar mereka menyokong lagi kenyataan tersebut. Kena pada orang lain, buat-buat pejam mata, kena batang hidung sendiri, melompat seperti cacing kepanasan.

Satu kes lagi, Namewee pernah rapkan lagu kebangsaan Negaraku dan lagu-lagu lain yang kandungannya menghina orang Melayu, hak istimewa orang Melayu, agama Islam, Tenaga Nasional, polis dan sebagainya. Saya minta para pembaca membuat carian dalam internet. Pernahkah parti-parti ultra kiasu dan akhbar-akhbar yang sewaktu dengannya, menyuruh beliau minta maaf seperti mana yang didesak terhadap pengetua rasis? Jika orang lain semuanya rasis, orang sendiri tidak rasis. Malah, tindakan Namewee turut disanjung. Beliau dianggap sebagai hero.

Air mata saya mengalir bila membaca komen daripada salah seorang pengunjung blog berbangsa Cina yang menggunakan nama CinaMalaysia dengan kata-kata: “inilah masalah segelintir kami, apabila kami bercakap sedikit mengenai perkara yang kononnya kurang memihak kepada kami, ramai rakan-rakan sebangsa kami akan mengatakan bahawa kami ini sudah dihasut. Hinakah kami kerana kononnya gagal berfikir dengan baik”?

Pandangan CinaMalaysia dalam blog saya dikutuk habis-habisan. Hanya kerana Cina yang memahami sejarah berhujah, mahukan bukan Melayu menghormati perlembagaan, dan menghargai orang Melayu yang terlalu banyak bertoleransi kepada bukan Melayu.

Saya fikir jika ramai orang seperti ini dalam negara kita setelah 53 tahun merdeka, sudah tentu kita boleh tumpukan seluruh masa dan tenaga untuk membangun ummah dan negara. Malangnya, masih ramai di luar sana yang ultra kiasu. Asyik bercakap soal hak dan tidak pernah bersyukur. Inilah yang membantutkan pembangunan negara.

Saya fikir kerajaan yang diketuai oleh orang Islam semakin terbuka. Statistik terbaru menunjukkan bahawa peningkatan bukan Melayu dalam perkhidmatan awam bertambah lebih dari seratus peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Kenapa kita masih belum berpuas hati? Malah, berbagai pasukan pemantau ditubuhkan untuk memastikan setiap bangsa mendapat lebih apa yang sepatutnya dia dapat? Apakah ini dinamakan kemerdekaan sebenar?

Kita sepatutnya berfikir dan merancang untuk membina bangsa Malaysia berasaskan perlembagaan. Bangsa Malaysia sepatutnya telah terbentuk sejak awal-awal lagi apabila kontrak sosial diterima. Malangnya, kita terus melayan tuntutan demi tuntutan sehingga akhirnya keadaan menjadi caca merba. Setiap bangsa mengikut cara masing-masing yang langsung tidak mencerminkan bangsa Malaysia. Itupun mereka tidak berpuas hati.

Justeru, saya pohon bacalah sejarah negara ini dengan hati yang terbuka. Janganlah terlalu melihat orang lain rasis, sebenarnya kitalah yang terlalu rasis. Tetapi sengaja ditutupkan supaya tidak nampak rasis. Kita sebenar masih belum merdeka. Pemikiran kita terhadap kaum sendiri amat menebal.

Kenapa kita yang telah begitu lama hidup bersama masih tidak memahami psikologi dan cara pemikiran serta budaya masing-masing, berbanding dengan Swettenham, Maxwel dan Winstedt. Tidakkah wajah-wajah ini dan semangat mereka sepatutnya muncul setelah 53 tahun kita merdeka? Selamat menyambut hari kebangsaan.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

http://ridhuantee.blogspot.com/2010/08/merdekakan-pemikiran-perkauman.html

Tiada ulasan:

Catat Ulasan