Khamis, 2 September 2010

Saluran Bantuan Masjid Daripada Bukan Islam

MENGAPA wujud pula kelonggaran kepada orang bukan Islam di negara ini dibenarkan memasuki ruang solat tanpa disyaratkan menutup aurat seperti dilakukan oleh Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching di Surau Al-Huda Kajang Sentral pada 27 Ogos lalu.

Perbuatan Nie Ching itu melontarkan pelbagai persoalan. Mengapa pentadbir surau tersebut mengetepikan peraturan menutup aurat dan memberi keistimewaan kepada pemimpin yang bukan beragama Islam.

Selang sehari selepas itu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen pula dibenarkan memasuki ruang solat di Masjid At-Taqwa di Selayang Baru juga atas alasan mahu memberi bantuan kepada masjid tersebut.

Dalam mencari jawapan, Pengarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU),Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Mohamad Rahimi Osman berpendapat perbuatan tidak menutup aurat yang tidak sepatutnya berlaku itu terjadi kerana masing-masing mengutamakan politik.

Jelas beliau, pentadbir dan ahli jawatankuasa surau berkenaan dilihat sanggup mengetepikan kesucian agama Islam kerana fahaman politik untuk menunjukkan mereka lebih hebat daripada orang lain.

''Inilah yang berlaku apabila demi politik semua perkara yang ditegah dalam Islam dihalalkan. Jelas sekali perbuatan itu tidak menepati semangat dan roh Islam yang sepatutnya sudah tertanam dalam diri setiap orang Islam," jelas beliau ketika dihubungi baru-baru ini.

Natijahnya jika orang Islam sendiri tidak bersungguh-sungguh menjaga kesucian agama itu maka jangan harap orang bukan Islam yang terang-terang tidak tunduk untuk memeluk Islam akan memastikan kesucian rumah Allah.

Alasan untuk memberi bantuan kepada surau itu menyebabkan peraturan dilanggar sukar diterima, malah perkara itu boleh dilakukan di tempat lain dan tidak mestinya datang dan berzikarah di surau.

Di mana letak kewibawaan pemimpin-pemimpin Islam apabila orang bukan Islam memberi ceramah kepada mereka. Adakah tiada lagi yang layak dalam kalangan umat Islam sendiri untuk berbuat demikian.

Tambah Mohamad Rahimi perkembangan itu amat membimbangkan kerana atas nama Islam persatuan dibentuk untuk mempertahankan ancaman serangan musuh. Kini musuh pula dijemput untuk mencemarkan rumah ibadah.

Ruang solat adalah tempat umat Islam bersujud ketika bersolat dan tetapi kini sewenang-wenangnya dipijak oleh orang bukan Islam yang disifatkan dalam keadaan berhadas besar. Pada zahirnya masih nampak bersih tetapi ia sebenarnya telah dicemari yang sepatutnya tidak berlaku.

Pemimpin-pemimpin bukan Islam memberi alasan untuk menyalurkan bantuan sebab itu mereka masuk ke surau atau masjid.

Tetapi mengapa sekarang perkara ini berlaku. Mengapa ketika Barisan Nasional (BN) memerintah Selangor, ia tidak berlaku walaupun wakil-wakil MCA, Gerakan dan MIC juga turut memberi sumbangan kepada institusi agama Islam.

Malah pemimpin-pemimpin bukan Islam dari BN di negeri-negeri lain juga tidak bertindak di luar batasan seperti yang dipamerkan oleh Nie Ching dan William.

Mohamad Rahimi berpendapat, bagi pemimpin-pemimpin bukan Islam boleh menyalurkan bantuan itu kepada exco kerajaan negeri, Datuk Dr. Hassan Ali yang bertanggungjawab menjaga kepentingan hal ehwal agama Islam dan adat resam Melayu di Selangor.

''Saluran ini lebih manis dan sesuai bagi mengelak kejadian yang boleh mencetuskan kemarahan umat Islam seperti yang berlaku sekarang. Hebahan boleh dilakukan sama ada di surau atau di masjid bahawa bantuan itu diterima daripada pihak-pihak berkenaan tanpa perlu penyumbangnya dimestikan hadir," jelas beliau.

Malah sepatutnya jika memerlukan bantuan, pentadbiran surau atau masjid boleh merujuk masalah itu kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan dan kemajuan kedua-dua premis itu.

Cadangan Hasan yang meminta JAIS menggubal peraturan memasuki masjid tidak perlu dilakukan kerana kenyataan beliau itu dilihat meletakkan kesalahan yang telah berlaku berpunca daripada JAIS sendiri.

Hal ini jelas menunjukkan ahli-ahli politik pakatan pembangkang lebih gemar meletakkan kesalahan kepada pihak lain apabila terbukti mereka atau rakan pakatannya melakukan kesalahan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan