Selasa, 16 November 2010

Ke mana perginya????

Ke mana mereka bila diperlukan?

Sedarlah wahai rakyat yang telah memilih pembangkang pada Pilihan Raya Umum 12 (PRU 12). Inilah dikatakan akibat daripada 'marahkan nyamuk kelambu di bakar'. Bangunlah dari lamunan demi masa depan generasimu.

Lihatlah tatkala rakyat di utara bergelut dengan musibah banjir dan memerlukan segala bantuan dan perhatian baik dari segi kewangan dan tenaga, pihak Yayasan Selangor dengan sewenang-wenangnya tanpa sedikit pun berasa bersalah tergamak membelanjakan wang sebanyak RM300,000 hanya untuk menjayakan Majlis Ulang Tahun Ke 40. Wajarkah ini?

Di mana perginya pemimpin-pemimpin pembangkang yang kononnya memperjuangkan keadilan dan kesejahteraan rakyat, pada hal inilah masanya untuk mereka membalas jasa rakyat yang telah meletakkan mereka di tampuk kepimpinan negeri.

Mana pergi Anwar, mana pergi Wan Azizah? Tidakkah anda sebagai seorang ibu sedih melihat rintihan seorang ibu yang telah kehilangan rumahnya akibat dilanda banjir?

Mana pergi Lim Guan Eng, mana perginya Azmin Ali, mana perginya Nik Aziz, mana perginya Haji Hadi? Mungkin mereka jijik untuk mengharungi air banjir, tetapi sanggup pula turun ke Gua Musang untuk berkempen. Survival politik masing-masing lebih penting daripada kesejahteraan rakyat. Bukankah tolong menolong sesama manusia di bumi ini dituntut oleh Islam? Ringan sama dijinjing dan berat sama dipikul.

Mana perginya MB Kedah serta Wakil-wakil Rakyatnya? Tidur enak dibuai mimpi di rumah agaknya, sedangkan rakyat bersabung nyawa menghadapi banjir. Terserlahlah sikap sebenar MB Kedah yang melenting dan menghamburkan kata-kata yang tidak sepatutnya keluar daripada seorang yang beragama Islam.

Bukankah lebih mulia jika beliau memohon maaf dan berjanji akan berusaha memperbaiki keadaan dan membentangkan program-program yang telah diatur untuk membantu mangsa-mangsa banjir? Ketika itulah beliau patut membersihkan nama beliau jika benar seperti apa yang beliau katakan bahawa pihak media telah berbohong. Itulah platform yang paling sesuai.

Rakyat Kedah bukannya buta atau tuli. Mereka tahu apa yang berlaku. Diharap sekarang mereka dapat mengenal dengan lebih jelas yang mana satu batu yang mana satu manikam.

Kelibat pemimpin-pemimpin PKR tidak seorang pun nampak di Kedah. Ini kerana pemimpin-pemimpin PKR sedang sibu memutarbelitkan proses pengundian parti, ibarat kata pepatah 'mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih' dan juga 'meludah ke langit terkena muka sendiri".

Pemimpinnya sibuk menabur fitnah di merata ceruk rantau negeri sehingga tidak cukup ruang agaknya. Ataupun rakyat sudah bosan mendengar fitnah-fitnah beliau, hingga ke luar negara beliau pergi. Tidakkah beliau sedar negara inilah tempat beliau dan nenek moyangnya dilahirkan?

DAP pula secara perlahan-lahan dan teratur berlandaskan pelbagai alasan asyik dengan agenda untuk menghakis orang Melayu di Pulau Pinang. Habis tanah, kampung dan Dewan Orang Ramai telah dan akan dirampas. Peniaga-peniaga Melayu dianiaya. Ironinya terjadi di tanah kelahiran pemimpin tertinggi PKR dan mereka membisu seribu bahasa.

Pas pula dengan Nik Aziz yang asyik mengeluarkan fatwa-fatwa mengikut tafsirannya sendiri. Wahai Hadi tegur-tegurlah Nik Aziz tu. Apakah bersekongkol dengan DAP itu dapat menyebarkan fahaman Pas untuk menubuhkan sebuah negara Islam?

Apakah pembangunan dan pembaharuan yang telah dilakukan oleh parti pembangkang di negeri-negeri yang diperintah mereka? Bertambah kacau bilau adalah. Betul kata Dr. Asri dan YB Zulkifli Nordin, sudah sampai waktunya Anwar berundur.

Kepada Wan Azizah, tidakkah anda dapat melihat kemungkaran yang berlaku dalam PKR? Sanggupkah anda sebagai seorang Melayu beragama Islam melihat bangsamu yang tanah dan kampung halaman mereka dirampas? Sanggupkah anda melihat rakyat kaum lain di negeri kelahiranmu sendiri ditindas tanpa belas kasihan? Tidak sangka wanita Melayu berwajah lembut seperti anda sanggup bersekongkol dengan DAP dan menggadai masa depan cucu cicitmu, negeri dan negaramu demi kerakusan politik suamimu.

Sebagai seorang ibu, perbetulkanlah anakmu Nur Izzah yang tak sampai sepenggal pun menjadi wakil rakyat hendak berhujah mengenai Perlembagaan. Sudah cukupkah ilmu di dada? Janganlah perkara Perlembagaan pun hendak dipolitikkan demi survival politik beliau. Ingatlah masa depan anak-anakmu dan cucu cicitmu nanti, jikapun anda tidak peduli dengan nasib rakyat jelata yang lain. Sedarlah, jarum halus parti pembangkang telah berjaya meresapi mindamu.

Saya doakan moga hatimu terbuka, masih belum terlambat untuk memperbetulkan keadaan.

ZARINA AHMAD
Petaling Jaya, Selangor



sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

MIMPI SIANG HARI PAS

Mimpi siang hari Pas

APABILA Pas menyatakan kesediaan parti itu untuk mengetuai pakatan pembangkang, ramai yang melihatnya sebagai hasrat yang terlalu besar dan bercita-cita tinggi. Jika dilihat daripada kedudukan parti itu di Parlimen misalnya, Pas hanya memiliki 23 kerusi berbanding DAP (29 kerusi) dan PKR (24 kerusi).

Jumlah kerusi yang paling sedikit itu sudah cukup untuk menyedarkan Pas bahawa parti tersebut sememangnya tidak mempunyai harapan untuk mengetuai pakatan pembangkang.

Lebih daripada itu, jumlah kerusi Pas yang kecil itu juga menyebabkan parti tersebut tidak banyak mempengaruhi dasar-dasar dalam pakatan pembangkang. Maka di sini timbul persoalan sejauh mana perjuangan Pas dapat diterjemahkan sedangkan parti itu sendiri masih tercari-cari kedudukan dalam pakatan pembangkang.

Kerana itu cita-cita Pas untuk menerajui kepimpinan pakatan pembangkang sebenarnya tidak ubah seperti bermimpi di siang hari. Bukan mahu menafikan kemampuan Pas dalam impian itu kerana parti berkenaan sememangnya mempunyai barisan kepimpinan yang hebat dan berpengalaman.

Meskipun ada kepincangan di negeri-negeri yang diperintah oleh Pas ketika ini seperti di Kelantan dan Kedah, namun negeri itu lebih baik berbanding negeri yang diperintah oleh parti pembangkang lain. Malah jika penyokong parti pembangkang diasingkan, Pas sebenarnya mempunyai sokongan di peringkat akar umbi yang lebih besar dan teguh berbanding DAP dan PKR.

Lihat sahaja pada pilihan raya umum dan pilihan raya kecil yang berlangsung sebelum ini. Jentera kempen Pas yang paling ke hadapan berbanding jentera parti pembangkang lain. Mereka dilihat lebih bersungguh-sungguh dan bijak dalam menggerakkan strategi memancing undi.

Dari segi kepimpinan dalam pakatan pembangkang pula, tiada wakil rakyat Pas yang keluar atau melompat parti selepas pilihan raya umum 2008 kecuali Datuk Ibrahim Ali yang bertanding atas tiket Pas.

Ini menunjukkan Pas merupakan parti yang mempunyai pengalaman dan kepimpinan yang mantap sebagai sebuah organisasi politik. Malangnya, hakikat itu tidak kelihatan dalam pakatan pembangkang.

Pas seolah-olah tenggelam, dipinggirkan dan seperti tidak mempunyai peranan serta kepentingan langsung. Pas juga tidak boleh menafikan mengenai isu pakatan rahsia yang didakwa wujud antara PKR dan DAP sebelum ini.

Biar bagaimana sekali pun pakatan rahsia itu cuba dijernihkan, ia sudah cukup menjelaskan di mana kedudukan sebenar Pas dalam hal tersebut. Seharusnya perkara ini difikirkan secara mendalam oleh ahli Pas dan masih belum terlambat untuk mereka menilai semula keberadaan mereka dalam pakatan pembangkang.

Pas mungkin boleh melatah jika perkara ini dinilai oleh orang luar yang mungkin tidak arif dengan perjalanan parti itu. Tetapi apabila Datuk Nakhaei Ahmad sendiri menyebut parti itu hanya menjadi 'pak turut' kepada DAP dan PKR, ia adalah satu hakikat yang sukar untuk dinafikan.

Nakhaie bukanlah calang-calang pemimpin ketika berada di dalam Pas dahulu. Beliau merupakan bekas Naib Presiden Pas iaitu antara individu paling kanan dalam hierarki parti. Dengan kedudukan itu, beliau pastinya cukup arif dengan apa yang berlaku di dalam Pas termasuk sejauh mana parti itu mampu mempengaruhi PKR dan DAP.

Pas dalam cita-cita untuk menerajui pakatan pembangkang juga tidak mungkin akan mendapat laluan yang mudah daripada DAP. Kedua-dua parti itu memang boleh berada di dalam pakatan yang sama. Tetapi prinsip asas dan ideologi yang diperjuangkan kedua-dua parti itu terlalu jauh berbeza.

Perkara ini turut ditegaskan oleh pemerhati politik tempatan, iaitu pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu, Che Hamdan Che Mohd. Razali. Menurut beliau, DAP akan cepat melatah sekiranya sebarang idea berkaitan dengan cita-cita mendaulatkan agama Islam dilontarkan.

Lebih-lebih lagi mereka juga bersaing dengan Gerakan dan MCA untuk menentang sebarang proses Islamisasi di negara ini bagi meraih sokongan bukan Islam. Sedangkan prinsip utama perjuangan Pas pula ialah ke arah sebuah negara Islam.

Pas pastinya masih ingat bagaimana lantangnya DAP menentang agenda negara Islam parti itu dan mendesak supaya ia digugurkan. Malah, DAP juga melihat adalah sesuatu yang janggal bagi Pas meneruskan agenda negara Islamnya dan dalam masa yang sama tetap bekerjasama dengan pakatan pembangkang.

Seharusnya, mesej-mesej penolakan yang disampaikan oleh DAP itu sudah cukup untuk membuatkan Pas menilai semula keberadaan mereka dalam pakatan pembangkang.

''Perlu difahami juga, titik persefahaman yang dimiliki Pas dan DAP ialah peranan yang dimainkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Oleh itu, berani saya mengandaikan bahawa jangka hayat hubungan ini juga banyak bergantung kepada umur politik Anwar," kata Che Hamdan.

Dalam keadaan politik pakatan pembangkang yang tidak menentu ketika ini, Pas tidak seharusnya menggadai maruah parti itu untuk menjadi ketua pembangkang. Tindakan itu ibarat sengaja menempah nama buruk atau memikul biawak hidup.

Pas tentu sedar bagaimana kroniknya kepincangan yang berlaku dalam PKR serta isu-isu yang menunjukkan kelemahan DAP terutamanya di Pulau Pinang ketika ini. Pas tidak boleh menolak daripada dipersoalkan mengenai perkara ini sekiranya memilih untuk mengetuai pakatan pembangkang.

Dalam masa yang sama, nama baik dan maruah Pas juga akan terjejas dengan isu-isu yang berlaku di dalam DAP dan PKR. Apa yang seharusnya menjadi keutamaan Pas ketika ini ialah memberi penekanan dari aspek tarbiyah kepada ahli-ahlinya.

Ini meliputi proses pemikiran semula perjuangan parti tersebut. Sebagai parti politik yang membela agama Islam, perkara paling penting perlu diberi penekanan ialah setakat mana mereka bakal memberi sumbangan dalam mendaulatkan agama Islam dengan berada di dalam PR atau sebaliknya.

Che Hamdan menjelaskan, untuk Pas menyertai Barisan Nasional buat masa sekarang agak tipis kerana komitmen parti itu dalam pakatan pembangkang sangat kuat. Namun, ahli-ahli dan penyokong Pas perlu lebih berani dalam memberi tekanan kepada PKR dan DAP agar kedua-dua parti itu sentiasa menjaga sensitiviti umat Islam di negara ini.

''Mereka juga perlu sentiasa mengingatkan pemimpin Pas agar tidak hanyut dalam penawaran kuasa politik dalam pakatan pembangkang," tegas Che Hamdan.


sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Isnin, 18 Oktober 2010

SELAMATKAN MELAYU

Selamatkan Melayu daripada jerangkap samar perpecahan

SEJARAH telah ditulis dan akan terus ditulis beberapa kali lagi bahawa UMNO, bukan Pas, yang sebenarnya bertanggungjawab dan banyak membela nasib orang Melayu.

Pertama sekali, sejak merdeka sistem politik di negara ini dikuasai oleh orang Melayu sehingga sukar difikirkan ke mana dan di mana Pas jika bukan UMNO yang mendominasikan sistem politik negara dan memberi peluang kepada parti itu untuk bernafas.

Bahkan UMNO-lah yang mewujudkan keamanan dan kestabilan untuk membolehkan orang Cina menikmati dan menguasai ekonomi negara sehingga hampir 70 peratus berbanding tak sampai 20 peratus yang dikuasai oleh orang Melayu.

Natijahnya, tawaran kerjasama Pas dan orang Cina, khususnya DAP, tidak lain tidak bukan hanya gimik dan propaganda baru Pas untuk menguasai kerajaan dan dewan-dewan negeri dengan sekutu-sekutunya kerana dengan kudrat dan kekuatannya Pas tidak mampu berbuat demikian.

Seandainya rancangan mereka untuk memerintah secara bersama dengan PKR dan DAP berjaya, rakyat Malaysia akan menyaksikan perebutan kuasa, konflik dan kontroversi demi kontroversi di kalangan mereka pada hari pertama lagi mereka mentadbir negara.

Untuk memantapkan kerajaan gabungan ideologi Islam, PKR-isme dan chauvinisme Cina serta Buddhisme/Kristian dalam sebuah negara yang diisytiharkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai "Negara Islam", mereka terpaksa merebut kuasa untuk mempertahankan ideologi dan dasar masing-masing.

Ketika orang Melayu diancam untuk ditukar oleh Malayan Union kepada taraf 'Malayan' pada tahun 1946 dahulu, tiada pembela Melayu yang muncul menyelamatkan orang Melayu, kecuali UMNO.

Semasa Perlembagaan Persekutuan dibentuk, sekali lagi tiada golongan Melayu dapat menyelesaikannya dengan orang Cina, kecuali UMNO. Sungguhpun Pas sudah ditubuhkan pada waktu itu, parti ini (selepas 1951) gagal meyakinkan pemimpin-pemimpin UMNO, apatah lagi meyakinkan British, tentang kedudukan orang Cina di Tanah Melayu.

Berpuluh-puluh tahun selepas 1951, penyelesaian Pas terhadap orang bukan Melayu ialah "menghantar mereka pulang ke negara asal" atau, seperti kata Dr. Burhanuddin, "jadikan mereka Melayu", iaitu dengan cara menjadikan mereka orang Islam.

Hari ini Pas bukan saja menerima orang Cina dengan selesa, malah membenarkan mereka menentang Perlembagaan negara. Semasa orang Melayu hampir hilang kuasa kepada orang Cina pada tahun 1969, sekali lagi UMNO tampil ke hadapan menyelamatkan orang Melayu, termasuk Pas, daripada perkauman dan chauvinisme DAP dan orang-orang Cina yang bersekongkol dengan mereka.

Ramai pemimpin Pas hari ini beranggapan jika "Kerajaan Perpaduan dengan Barisan Nasional" ditubuhkan akan ada di antara pemimpin-pemimpin Pas yang hilang jawatan. Ini kerana perubahan yang dicetuskan oleh Pas (iaitu sekiranya ia bergabung dengan BN) parti itu mungkin perlu menyesuaikan diri dengan keadaan baru.

Tetapi ia bukan perubahan yang diledakkan oleh BN semata-mata. Namun yang pasti, perubahan ini adalah kehendak atau tuntutan dari dalam Pas sendiri yang sedar dan insaf tentang kehilangan kuasa Melayu. Pas mungkin ingin menyelaraskan jawatan-jawatan dalam parti dan kerajaan tanpa dipengaruhi oleh UMNO/BN.

Kebimbangan bahawa jawatan-jawatan yang dibayar gaji dan elaun ini akan dimanipulasi oleh UMNO sebenarnya 'spectre' atau omongan yang direka-reka oleh pemimpin-pemimpin individu Pas yang berkepentingan yang takut hilang kuasa dan elaun. Bayangkan menteri besar kerajaan yang dipimpin oleh Pas takut dan khuatir gaji dan elaunnya diberi kepada tokoh lain. Tetapi yang pasti keputusan itu bukan keputusan UMNO/BN.

Beberapa kerat pemimpin Pas yang menikmati kedudukan kewangan yang kukuh hari ini bimbang tempat mereka akan dirungkai oleh perubahan yang dicetuskan oleh perpaduan dan kerjasama BN-Pas kelak. Kebimbangan ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh kepentingan diri, bukan kepentingan umat Melayu yang menghadapi cabaran daripada vulnerability (kerapuhan) sistem politik.

Seperti yang diketahui, pada tahun 1987 arkitek "perpecahan Melayu" tahun 1977-1978, Tan Sri Mohd. Asri Muda, Presiden Pas keempat, menyertai UMNO selepas tidak tahan dengan 'demogog-demogog' revolusi Iran yang menyelinap dalam Pas pada waktu itu.

Dengan hanya mengendurkan sedikit sikap bongkak, pseudo-fatwa, dan sentimen kepartian dan kepuakan yang berlebih-lebihan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan dapat menyelamatkan orang Melayu daripada jerangkap samar perpecahan Melayu yang menakutkan.

Faedah dan nikmat daripada perpaduan Melayu dalam saat-saat genting ini akan dinikmati bukan berpuluh tetapi beratus tahun lamanya oleh generasi akan datang.

DR. ALIAS MOHAMED

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Wartawan dan Penulis Melayu Malaysia



Rabu, 6 Oktober 2010

Nik Aziz Dan LKY



DYMM Tuanku Ismail ketika menduduki tahta pemerintahan kerajaan negeri Kelantan berada dalam keadaan gering akibat serangan strok dan dirawat di Hospital Mount Elizabeth Singapura dari 24 Mei 2009 sehingga Mac 2010 iaitu hampir 10 bulan lamanya.


Sepanjang tempoh tersebut, tidak ada seorang pun pemimpin Pakatan Rakyat yang memerintah Kelantan termasuk Nik Aziz yang menjengok ke bawah duli Tuanku di Singapura sebagaimana adatnya terhadap raja yang memerintah dan menjadi payung negeri. Kegagalan ini menyebabkan DYMM Raja Permaisuri Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid menyuarakan kekecewaan baginda disini.


Usahlah kata nak melawat kebawah Duli Tuanku, Nik Aziz sebagai Menteri Besar kerajaan Pakatan Rakyat Kelantan memohon pula kepada Pemangku Raja Kelantan ketika itu, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra agar baginda Tuanku Ismail dibawa pulang untuk dirawat dimana-mana hospital dalam Negara kerana mungkin kerajaan Pakatan Rakyat sudah kehabisan wang untuk menampung perbelanjaan rawatan baginda di Singapura. Negeri yang kaya dengan hasil masyul buminya rupanya tidak ada duit untuk membiayai rawatan perubatan Sultan sendiri sehingga terpaksa meminta Pemangku Sultan ketika itu membawa baginda pulang.


Kini, berbeza pula keadaannya bila isteri Lim Kuan Yew, Kwa Geok Cho, 89 meninggal dunia Sabtu lepas, Nik Aziz dengan tanpa lengah menaiki pesawat pertama ke Singapura hari ini bagi melawat Lee Kuan Yew dan mendiang isterinya sekaligus. Tambah mengejutkan kita, sepatutnya Nik Aziz melawat Lee Kuan Yew yang sakit pada Sabtu lepas tetapi ditangguhkan kerana kematian isterinya itu. Laman web lidah rasmi PAS dipetik seperti dibawah:-


SINGAPURA, 5 Okt: Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berlepas ke Singapura pagi tadi untuk menziarahi Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew.

Nik Aziz berlepas dari KLIA jam 9.45 bersama beberapa orang lagi bagi menziarahi Lee yang sedang mendapat rawatan di hospital ekoran infeksi pada paru-parunya selepas lawatan ke Eropah baru-baru ini.

Sabtu lepas, isteri beliau Kwa Geok Cho, 89, meninggal dunia selepas sakit sejak sekian lama.


Lee yang berumur 87 tahun pada 16 September lepas hingga kini belum memberikan sebarang ulasan media mengenai kematian isterinya itu. Lawatan Nik Aziz ini dikira kunjungan balas beliau kepada pemimpin utama Singapura itu selepas kunjungan Lee Kuan Yew ke Kota Bharu beberapa tahun lalu.


Beliau yang sepatutnya berlepas ke Singapura Sabtu lepas terpaksa menangguhkan kunjungannya itu ke hari ini selepas kematian isteri Lee pada hari tersebut. Wartawan Harakahdaily, Nazri Abdullah yang turut bersama dalam rombongan Nik Aziz ini akan membuat laporan penuh mengenai kunjungan bersejarah ini selepas ini.


Walaupun kita kagum dengan sikap pro-aktif Nik Aziz dalam hal Lee Kuan Yew ini tetapi penulis rasa wajib dipersoalkan, siapa Lee Kuan Yew dan siapa Tuanku Ismail di mata Nik Aziz? Bukankah sepanjang tempoh baginda gering dan dirawat di Singapura, Sultan Ismail masih lagi Sultan Kelantan yang mengetuai semua jajahan takluk negeri Kelantan? Kenapa keprihatinan yang sama tidak ditunjukkan kepada Sultan sendiri sepanjang tempoh baginda gering? Bukan seminggu dua baginda berada di Singapura tetapi hampir 10 bulan dan sepanjang tempoh tersebut tidak sekalipun Nik Aziz melawat baginda di sana. Tetapi bila Lee Kuan Yew sakit dan isterinya meninggal dunia, bukan main cepat lagi Nik Aziz menguruskan perjalanannya untuk melawat!! Harakah menyifatkannya sebagai bersejarah, kami para penyokong BN juga sama menyifatkannya sebagai bersejarah juga, mana tidaknya, Sultan sendiri sakit tak sibuk nak melawat tapi bila isteri pemimpin Singapura meninggal, boleh pulak pergi melawat!!


Nak lagi tambah menarik, Nik Aziz bukan pergi seorang tetapi dengan rombongan dan turut disertai wartawan Harakah.


Satu ketika blogger kickdafella pernah mendedahkan disini tentang syarikat-syarikat pembalakkan yang mendapat konsesi balak di Kelantan. Yang kita nampak pada awalnya semua syarikat yang dapat konsesi balak dimiliki orang melayu sebelum kemudiannya ‘menarik diri’ dan digantikan dengan cina, mungkinkah cina ini adalah cina Singapura? Itu yang buat makan budi banyak sangat tu ya.


Sikap biadap Nik Aziz sebagai ketua kerajaan Pakatan Rakyat kelantan ini sekadar menyerlahkan kepada umum bahawa semua urutan peristiwa berkaitan mantan Sultan Kelantan sebelum ini adalah disengajakan oleh sebab agenda tertentu yang hanya menunggu masa untuk terdedah.


Jika ada pun selepas ini mana-mana pemimpin negara yang melawat mendiang isteri Lee Kuan Yew, itu adalah atas hubungan kerajaan dengan kerajaan dan penulis yakin pemimpin BN ini tidak pula mengabaikan raja sendiri seperti yang ditunjukkan Nik Aziz sekarang. Jadi usahlah diputar belitkan lawatan itu kerana situasi dan keadaannya berbeza sekali. Peringatan awal ini kita berikan sebab memang sudah menjadi trade mark pemimpin Pakatan Rakyat di seluruh negara untuk menuding ke arah pemimpin UMNO dan BN atas kesalahan yang mereka cipta sendiri.


sumber : http://www.mykmu.net/?p=2629

Khamis, 9 September 2010

Hanya PAS saja yang betul.....

PAS sering mahu menjadi juara didalam segala hal. Dari pemimpin atasan hinggalah kepada totok pencacai Pas dibawah semuanya mahu menang didalam setiap hal. Tak kiralah sama ada mereka salah ataupun benar, yang penting bakat spin mereka digunakan sehabis mungkin untuk menang berhujah.

Halal haram belakang kira, yang penting jangan bagi UMNO dan orang-orangnya menang sekalipun didalam berhujah. Sebab itulah munculnya peribahasa moden “walharammu, walhalalku” didalam setiap kamus pemikiran para totok pencacai PAS.

Cuba kita lihat…, didalam hal sembahyang, orang UMNO atau PAS bagi kita tiada bezanya. Tapi masih ada orang PAS yang enggan solat di belakang imam UMNO walhal ada yang imam berideologi UMNO yang sanggup solat dibelakang Imam PAS.

Apakah solat UMNO dah PAS adalah berbeza sedangkan semua umat Islam menyembah Tuhan yang satu dan sama. Apakah Imam UMNO menyembah Tuhan lain sehingga membuatkan orang PAS tak mahu berimamkan imam UMNO?

Itu dalam bab sembahyang, di dalam bab ulamak pula, ulamak yang pro kerajaan sering dilabelkan oleh orang PAS sebagai ulamak belaan untuk politik. Datuk Harussani juga dituduh begini walhal beliau menyatakan perkara benar didalam hal penyatuan bangsa melayu dan umat Islam.

Dan apabila ulamak kerajaan mengeluarkan nas Quran untuk menunjukkan kebenaran, semuanya dilabelkan menjual agama kerana duit dan gaji oleh orang-orang PAS. Jadi bagi orang-orang PAS, hanya ulamak yang mereka suka sahaja yang diiktiraf bercakap menggunakan nas Quran.

Sudah pasti ulamak-ulamak tersebut adalah terdiri dari pemimpin politik mereka yang mereka sendiri angkat sebagai ulamak! Selain dari golongan itu, semuanya akan dibakul sampahkan oleh orang-orang PAS ini kerana jangan haraplah mereka bersetuju dan sedar. Malah ada yang tak mahu mendengar langsung pun.

Mereka tak akan bersetuju walaupun ulamak yang diiktiraf kerajaan membawa hujah dari Al Quran serta hadis sahih!

Itu bab ulamak.., jika pemimpin kerajaan yang berhujah dengan menggunakan nas Quran atau hadis, orang-orang PAS akan kata ia merupakan kata-kata jahil dari pemimpin yang menolak agama. Orang-orang PAS ini takkan mahu menerima apa satupun cakap dari pemimpin walau bersandarkan kepada Quran sekalipun.

Yang mereka tahu, UMNO harus ditentang kerana menolak agama Allah swt. Apa yang dimaksudkan oleh mereka dengan UMNO menolak agama Allah itu…, jawapannya ialah UMNO tak mahu melaksanakan HUDUD!

Jika ini yang menjadi alasannya, bagaimana pula PAS kini yang mengenepikan HUDUD hanya kerana takutkan kafir yang berkerjasama dengan mereka? Orang-orang PAS ini bebal atau apa? Semua yang dibuat oleh UMNO ada saja yang tak kena dimata mereka. Yang betul selamanya hanya pemimpin PAS serta rakan sekutu mereka DAP dan PKR.

Tak tahulah bagaimana orang-orang PAS melihat islam dari sudut kacamata mereka. Apakah ukuran islam hanya solat, zakat, pergi haji, puasa dan yang penting sokong PAS dah boleh masuk syurga?

Apakah hak-hak lain untuk orang islam tak pernah diambil tahu oleh orang-orang PAS? Siang malam mereka mengatakan bahawa merekalah paling islam. Cuba orang-orang PAS perhatikan perwatakkan pemimpin mereka sendiri adakah melambangkan islam?

Kalau nak dikirakan bercakap sekalipun, tak ada sedikitpun yang pemimpin PAS ikhlas mahu menegakkan hukum islam. Apatah lagi nak melaksanakannya walaupun berkemampuan melaksanakan ideologi mereka di beberapa negeri.

Bagi orang-orang PAS, apa yang PAS buat mesti comel lote dan sempurna sekali. Di Kelantan tak payah buat pembangunan sebab kerajaan PAS tak ada duit. Duduk dalam reban ayam pun tak apa janji kena bersyukur. Itu lebih baik dari di Rwanda yang tak ada rumah langsung.

Sesak papa kedana merempat pun tak apa asal dapat sokong PAS, ini semua fisabilillah yang dijanjikan syurga disana nanti….(konon-kononnyalah). Rakyat Kelantan minum air karat pun tak apa sebab bukan kerajaan negeri yang bertanggung jawab…, itu sebenarnya tugas kerajaan pusat.

Lagipun, di Somalia lagi teruk sebab langsung tak ada air nak minum. Jadi…., kena bersyukur dan berterima kasihlah pada kerajaan PAS sebab dapat juga bagi minum air karat. Cukup penggal, kena pangkah PAS sebab hanya PAS yang mampu “menzuhudkan” rakyat Kelantan. Tak kebodoh namanya tu….

Sampai bilalah orang-orang PAS ni nak sedar???