Selasa, 13 Oktober 2009

Kaum...apa salahnya

Blog ini membantah keras penghapusan pengenalan kaum pada semua borang rasmi kerajaan. Ini memberi implikasi besar kepada masyarakat majmuk di Malaysia dan dilakukan dengan tidak mengikut perlembagaan. Tidak sepatutnya kerajaan yang sepatutnya menjaga hak setiap kaum ini mengambil remeh tentang pengenalan kaum ini dan apalah salahnya sesuatu kaum itu sehingga dihapuskan hak mereka untuk dikenali mengikut kaum tersebut. Oleh yang demikian sebagai sebuah kerajaan yang mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai keunikan pelbagai kaum penghapusan pengenalan kaum ini adalah satu perkara yang tidak dapat diterima.

Untuk itu blog ini menuntut supaya ruang kaum didalam semua borang rasmi kerajaan dikekalkan kerana ianya adalah salah satu pengenalan diri masyarakat Malaysia
.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Implikasi gugur pengenalan kaum, agama

BANGSA Malaysia jika dibentuk
Jati diri Melayu jangan diabai
Tengadahlah dulu sebelum terhantuk
Jangan bersorak kampung tergadai
Harta sehasta tinggal sejengkal
Begitulah nasib si Lebai Malang
Pengenalan kaum mestilah kekal
Jangan dihapus jangan dihilang


WAJARKAH ruang pengenalan "kaum" dalam borang-borang dan dokumen rasmi kerajaan digugurkan? Apakah implikasinya kepada bangsa Melayu? Bagaimanakah hendak memantau perubahan nasib (kemajuan?) orang Melayu dengan ketiadaan pengenalan kaum itu?

Bagaimanakah langkah-langkah affirmative hendak dirancang dan dilaksanakan untuk membantu orang Melayu yang serba-serbi masih ketinggalan itu jika tidak ada data yang lengkap?

Adakah pengguguran yang dicadangkan itu benar-benar boleh menyumbang terhadap matlamat gagasan Satu Malaysia? Atau adakah itu, tanpa disedari, hanya akan "mencairkan" jati diri Melayu untuk menjadi lebih "Malaysian" sementara jati diri pihak-pihak lain semakin kental dan menebal dengan sikap perkaumannya yang semakin eksklusif?

Itulah antara persoalan yang perlu dibincangkan dalam menilai ura-ura menggugurkan "ruang atau pengenalan kaum" dalam dokumen-dokumen rasmi kerajaan.

Mungkin telah banyak pertengkaran dan pertukaran fikiran atau perbincangan yang berlaku mengenai persoalan itu, sama ada dalam kumpulan kecil atau kumpulan lebih ramai dan sama ada melalui media cetak atau elektronik. Akhbar-akhbar berbahasa Inggeris (mungkin juga yang berbahasa Cina) memberi sambutan positif penuh ghairah mengenai ura-ura tersebut.

Tetapi, seperti dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia, beberapa NGO Melayu dan juga individu Melayu telah menyatakan kemusykilan dan tidak setuju terhadap ura-ura itu. Pendapat yang bercanggah (pro dan kontra) juga dapat dibaca pada halaman-halaman blog.

Satu perbincangan di kalangan pihak yang musykil dan sangsi mengenai ura-ura itu telah berlangsung di Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya pada 10 September yang lalu. Para peserta perbincangan terdiri daripada beberapa orang profesor dan profesor madya, pensyarah-pensyarah muda dan pelajar-pelajar peringkat sarjana. Yang menjadi pembicara utama ialah Senator Datuk Akbar Ali. Perbincangan tersebut diadakan oleh APM sebagai satu kegiatan utama PFTIM.

PFTIM ialah singkatan daripada Percambahan Fikiran Tentang Isu-isu Melayu iaitu kumpulan diskusi informal yang baru diwujudkan di akademi tersebut. Seperti dibayangkan oleh namanya, kumpulan ini bermaksud untuk membincangkan hal ehwal Melayu sama ada yang tersurat, yang tersirat atau yang tersorok.

Sempena penubuhannya pada 24 Julai 2009 yang lalu PFTIM telah mengadakan perbincangan secara rambang di bawah tajuk umum "Menilai Kedudukan Melayu Kini."

Tujuan utama sesi pertama PFTIM itu ialah untuk mengenal pasti pelbagai isu dan masalah yang dihadapi oleh orang Melayu yang boleh dijadikan tajuk-tajuk khusus untuk sesi-sesi yang akan dagang.

Satu isu penting yang ditimbulkan ialah "kelemahan" dan "kemandulan" orang Melayu mengartikulasikan (mengenal pasti, merumus dan menyuarakan) isu dan kepentingan mereka. Para peserta menimbulkan betapa orang lain mempunyai badan-badan penyelidikan dan "tangki fikiran" (think tank) untuk memantau dan menyuarakan kepentingan masing-masing.

MCA misalnya, mempunyai sayap penyelidikan yang dikenal dengan nama singkatan INSAP (Institute of Strategic Analysis and Policy Research) yang boleh berbangga dengan kekayaan sumber kewangan dan keintelektualannya. MIC pula sering dikaitkan dengan Yayasan Strategik Sosial. Satu badan lain yang dikenal dengan nama singkatnya ASLI pernah mendakwa bahawa Bumiputera telah memiliki ekuiti kekayaan melebihi 50 peratus yang sengaja memutar belitkan pencapaian matlamat DEB.

Isu ketiadaan badan penyelidik untuk mengenal pasti masalah dan memantau kedudukan bangsa Melayu dari segala segi itu ditimbulkan kembali dalam sesi kedua PFTIM (10 September) yang dimulakan dengan lontaran pandangan dan analisis Senator Akbar.

Mula-mula Senator Akbar melahirkan kehairanan kenapa di peringkat awalnya tidak ada reaksi bangsa Melayu terhadap ura-ura menggugurkan pengenalan kaum pada dokumen-dokumen rasmi kerajaan itu, sedangkan orang lain memukul gendang mengalu-alukan ura-ura itu.

Secara tidak langsung Akbar berhujah bahawa "kesepian" suara bangsa Melayu terhadap isu-isu seperti itu adalah salah satu tanda (dan akibat?) ketiadaan (kemandulan?) badan-badan penyelidik yang memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu.

Sebagai seorang yang terlatih dan pakar di bidang statistik, beliau menyedari betapa mustahaknya "data" dan "fakta" dalam proses penggubalan, pelaksanaan dan pemantauan sesuatu dasar.

Antara lain beliau menjelaskan : "Jika syor menggugurkan pengenalan 'kaum' dan 'agama' diterima, maka "data field" tidak akan ada lagi dalam semua borang/dokumen rasmi seperti surat beranak dan kad pengenalan, juga akan digugurkan dari soal selidik seperti yang diguna pakai oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

"Bagi data yang beribu dan berjuta banyaknya, bagaimanakah ia hendak diproses untuk mengetahui profil atau taburan mengikut kaum dan agama? Tanpa maklumat seperti ini, bagaimanakah hendak menggubal dasar dan program yang berbentuk affirmative action seperti membasmi kemiskinan dan membetulkan ketidakseimbangan ekonomi mengikut kaum, selaras dengan konsep 1Malaysia?

"Kesulitan seperti ini pernah berlaku semasa hendak merangka RMK-4 apabila syor yang sama dilaksanakan dalam tahun 1980- an. Penyiasatan Hakmilik (Ownership Survey) yang sebelumnya dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan serta-merta dibatalkan. Lantaran data mengikut kaum telah tidak dapat dibekalkan, maka EPU terpaksalah berfikir di luar kotak untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan itu."

Selain itu Senator Akbar bertanya mengenai perkara-perkara yang lebih asas: "Apabila agama Islam, Melayu, dan Bumiputera tidak lagi diiktiraf dalam mana-mana dokumen rasmi, bagaimanakah hendak melaksanakan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan yang berkaitan dengannya seperti Perkara 3 (merujuk kepada agama Islam), Perkara 38 (Majlis Raja-Raja), Perkara 39 (Kuasa Perintah), Perkara 89 (Tanah Rezab orang Melayu), Perkara 90 (Tanah Adat di Negeri Sembilan dan tanah di Terengganu), Perkara 152 (Bahasa Kebangsaan), Perkara 153 (Hak Istimewa Orang Melayu), Perkara 160 (Tafsiran Orang Asli & Melayu) dan Perkara 161A (Kedudukan istimewa Bumiputera Sabah & Sarawak)?

Dan dengan nada yang agak emosional Akbar menyindir: "Adakah syor tersebut dengan sengaja hendak menghapuskan identiti Melayu/Bumiputera dan segala hak serta keistimewaan yang berkaitan dengannya? Maka lengkaplah penghapusan identiti Melayu setelah hilangnya "Semenanjung Tanah Melayu."

Kesimpulannya: implikasi dan ramifikasi isu atau syor menggugurkan pengenalan "kaum" dan "agama" pada borang-borang dan dokumen rasmi kerajaan itu, tidaklah semudah yang diduga.

DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah Felo Penyelidik Kanan (Pelawat), Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya


4 ulasan:

  1. Aku menyokong penuh dengan ulasan diatas. Malaysia alalah dari berbilang kaum. Kenapa pulak nak dibuang kaum. Malukah kita pada kaum asal kita ?
    Atau ada agenda tersendiri untuk memangsuhkan kaum. Kita yang mempunyai perbagai kaum / bangsa dan agama membentuk negara Malaysia.
    So apasal lak nak buang semua tuh ?
    Berlainan kaun bangsa dan agama , kita aladah Rakyat Malaysia yang mendokong rukun negara dan negara berpelembagaan
    AKU MENENTANG SEBARANG USAHA UNTUK MEMANSUHKAN KAUM PADA BORANG DAN MANA MANA BORANG RASMI.

    Bayan Budiman

    BalasPadam
  2. i second u bro..

    seolah-olah ada tangan dari kanan dan kiri yg tak senang dgn nama Melayu, budaya Melayu, hak Melayu

    Melayu tetap akan melayu, orang Irish yang duduk di US tetap keturunan Irish

    apa yg penting dlm perpaduan ialah persefahaman..uniformity x mnjamin ape2. bukti kat indon, smua wajib guna nama yg bercitrakan indon tp bila 98..dorang semelih gak tokey2 cina. x perpaduan pun

    BalasPadam
  3. sssokong... selepas nama kaum bubuh pulak nama kroni siapa ? misalnya kroni KHAIRY KE ATAU KRONNI MUKHRIZ KE ....apa macam ???

    BalasPadam