'Lagu' lama pembangkang
PRESIDEN Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tentu tidak menyangka hanya 20 orang hadir pada pertemuannya dengan bekas tentera di sebuah hotel di Port Dickson malam semalam.
Ini sesuatu yang jarang berlaku. Selalunya dalam ceramah Pas audiennya mencecah ribuan orang. Kadang-kadang mereka mendakwa ia mencecah puluhan ribu.
Tetapi di Bagan Pinang senario berbeza. Ceramah pembangkang tidak begitu mendapat sambutan. Kadang-kadang jumlah yang datang berniaga lebih ramai daripada yang datang mendengar.
Malah ada cakap-cakap mengatakan sudah terdapat penyokong Pas yang beransur-ansur meninggalkan Bagan Pinang. Namun pemimpinnya tetap berkeyakinan untuk menang.
Malah ada pandangan yang mengatakan Pas tidak serius bertanding di Bagan Pinang berbanding di beberapa pilihan raya kecil lain sebelum ini.
Mungkin mereka sudah dapat melihat dan menilai kecenderungan pengundi di kawasan ini. Hanya pada hari penamaan calon Pas dan rakan-rakannya nampak agresif. Namun selepas itu pergerakan jenteranya mula perlahan.
Malah calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar yang telah tiga kali tewas sebelum ini juga belum betul-betul dikenali oleh pengundi.
Poster yang memaparkan wajah calon Pas itu boleh dikatakan langsung tidak ada. Yang banyak kelihatan ialah bendera Pas, Parti Keadilan Rakyat dan DAP.
Di sesetangah tempat bendera PKR dan DAP lebih banyak daripada Pas. Selain itu poster-poster wajah pemimpin pembangkang memang banyak. Tetapi yang memaparkan wajah Zulkefly sukar untuk dicari.
Mungkin strategi Pas lebih mahu mengetengahkan parti berbanding calon. Ini kerana Zulkefly bukan anak tempatan berbanding calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang dibesarkan di Bagan Pinang.
Namun begitu, Pas tidak akan mengalah sebelum bertanding. Pemimpinnya tetap yakin untuk menang di Bagan Pinang. Begitu juga dengan rakan-rakan dalam pakatannya.
Dalam setiap kempen dan ceramah, mereka yakin BN akan menerima satu lagi kekalahan dalam pilinan raya kecil. Itu keyakinan yang dibawa oleh Pas dan rakan-rakan. Sudah tentu ia tidak boleh dipandang ringan oleh jentera BN.
Tetapi seperti dalam setiap pilihan raya sejak 1999, pembangkang hanya membawa isu yang sama.
Lagu yang mereka bawa adalah lagu lama. Tidak pernah berubah. Rentaknya adalah rentak Datuk Seri Anwar Ibrahim, iramanya penuh dengan pendedahan dan liriknya bersifat serangan peribadi.
Turut tidak terlepas serangan mereka ialah media massa terutama Utusan Malaysia.
Abdul Hadi dalam ceramah sulungnya di Bagan Serai misalnya menjadikan serangan terhadap isteri Perdana Menteri sebagai mukadimahnya.
Pada masa yang sama mereka mengutuk tindakan pemimpin BN menghentam Anwar. Alasannya, Anwar tidak ada kena mengenai dengan Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang.
Tetapi mereka boleh pula melakukannya. Termasuk mengheret keluarga orang lain ke kancah politik di Bagan Pinang. Sedangkan kebanyakan individu yang mereka sebut itu tidak ada kena mengena dengan Bagan Pinang.
Ahli Parlimen Bagan Serai, P. Golakrishnan yang begitu bangga dengan kebolehannya menuturkan ayat suci al Quran dari surah Al-Imran banyak bercerita tentang apa yang berlaku di Perak selain mempertahankan Anwar.
Apa kena mengena isu di Perak, Terengganu, Zon Bebas Pelabuhan Kelang dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan pilihan raya kecil ini?
Itulah yang dikatakan kata dulang paku serpih atau tepuk air di dulang mercik ke muka sendiri. Atau lebih menjijikkan ludah ke langit jatuh ke muka sendiri.
Mereka mengkritik calon BN kerana membawa isu luar dan melakukan serangan terhadap individu yang tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kecil ini, tetapi mereka juga melakukan perkara yang sama.
Penceramah hebat pembangkang seperti Naib Presiden PKR, Azmin Ali hanya bercakap mengenai Anwar selain isu-isu luar yang tidak ada kena mengena dengan penduduk di Bagan Pinang.
Malah dalam usaha merasionalkan tindakannya mempertahankan Anwar, Azmin berkata Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang sebenarnya bukan antara Mohd. Isa dan Zulkefly, tetapi antara bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dengan Anwar.
Adakah ini bermakna Zulkefly hanya alat mereka di Bagan Pinang? Adakah kehadiran Zulkefly itu tidak membawa apa-apa makna sebab itu posternya tidak kelihatan di Bagan Pinang? Sedangkan beliau adalah calon yang bertanding.
Begitu juga dengan bekas penceramah bebas yang hebat satu ketika dulu Dr. Badrul Amin Bahrun. Nama Anwar tidak terlepas di bibirnya.
Satu lagi yang suka dijaja oleh penceramah-penceramah hebat pembangkang ialah mengenai kerajaan mereka di Selangor.
Tetapi isu yang dijual bukan mengenai kejayaan membina ladang babi mega di Sepang atau keupayaan perniagaan arak menembusi pasaran di Shah Alam. Malah mereka juga tidak bercakap mengenai kebolehan menangani isu pembinaan kuil Hindu di seksyen 23.
Sebaliknya mereka mengatakan kerajaan Selangor adalah negeri berkebajikan dan jauh lebih baik dari Negeri Sembilan. Sebabnya Selangor beri air percuma kepada penduduknya. Beri duit untuk anak-anak yang cemerlang, bantuan untuk orang miskin dan wanita yang baru bersalin.
Namun hakikat di sebalik kenyataan mendabik dada itu hanya orang Selangor saja yang tahu sejauh mana kebenaran.
Apa relevannya isu Anwar dan kisah 'kejayaan' pakatan pembangkang di Selangor dengan penduduk di Bagan Pinang?
Itu menunjukkan pemimpin daripada PKR misalnya masih tidak boleh membebaskan diri mereka daripada perjuangan peribadi. Ketika Zukefly dan jentera Pas bertungkus lumus untuk meraih sokongan pengundi di Bagan Pinang, pemimpin PKR masih dengan agenda peribadi pemimpin mereka.
Sebab itu mereka tidak habis-habis menjaja nama Anwar ke sana dan ke mari.
Itu juga membuktikan pembangkang masih lagi mendendangkan lagu lama. Lagu yang mereka dendangkan sejak tahun 1999 - ketika era reformasi jalanan.
Adakah lagu lama ini masih lagi relevan untuk didendangkan pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang? Hanya para pengundi di kawasan DUN itu yang boleh menjawabnya pada 11 Oktober ini.
Pengundi yang akan menentukan antara Mohd Isa dan Zulkefly, siapa yang lebih layak untuk menjadi wakil rakyat di kawasan ini.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1008&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm
yang bertanding bukan zulkifly dan mohd isa, bukan pas dan umno, bukan pr dan bn, bukan pr dan umno.... bukan bukan bukan ....tetapi BN dan PAS...!
BalasPadam