Khamis, 4 Februari 2010

Tindakan bodoh tidak sopan


SAYA sebenarnya tidak berhasrat untuk menulis mengenai perkara ini. Tetapi selepas melihat tindakan yang dilakukan oleh rakan-rakan seangkatan 'di sebelah sana' maka saya perlu menyatakan pendirian mengenai isu yang berkaitan dengan mahasiswa dan mahasiswi.

Isu asasnya ialah berkenaan keputusan Pilihanraya Kampus (PRK) di Universiti Malaya (UM) yang terkenal sebagai universiti paling tua, paling senior di negara ini.

Keputusan PRK UM memperlihatkan kumpulan proaspirasi menguasai 21 kerusi berbanding promahasiswa yang menguasai 17 kerusi. Tiga kerusi lagi dimenangi oleh calon Bebas yang menyatakan pendirian menyokong proaspirasi. PRK di UM dijalankan dengan sistem e-undi.

Secara peribadi saya melihat kejayaan promahasiswa menduduki 17 kerusi itu masih boleh dibanggakan. Jika pengundian yang dilakukan mengikut sistem e-undi itu benar-benar dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu seperti yang didakwa, saya yakin promahasiswa akan mendapat kurang daripada 17 kerusi.

Saya sebagai mahasiswa sebenarnya berasa amat kecewa apabila melihat rakan-rakan yang seangkatan dengan saya di UM bertindak agresif apabila keputusan PRK diumumkan. Mereka yang berstatus mahasiswa dan mahasiswi di UM ini benar-benar bertindak di bawah erti demokrasi yang dilaung-laungkan oleh sesetengah pihak yang gemar dengan acuan demokrasi seperti itu.

Maaf jika saya menyatakan di sini sebenarnya saya melihat tindakan mereka mengadakan demonstrasi itu sebenarnya adalah tindakan paling tidak bijak daripada mereka yang intelektual.

Saya sedih apabila mereka yang berdemonstrasi ini memperlihatkan tindakan yang tidak sopan terhadap pihak tertinggi universiti, terhadap menteri dan sebagainya. Mengapa? Adakah mereka ingin melaung-laungkan erti demokrasi yang sebenarnya?

Bersyukurlah dengan kemenangan sebanyak 17 buah kerusi itu. Mengapa anda semua tidak mahu menghayati erti kesyukuran? Jangan hanya menerima sesuatu keputusan itu jika ia berpihak kepada kita sahaja. Adakah demokrasi itu hanya layak disebut sebagai demokrasi jika ia berpihak kepada kita?

Promahasiswa hanya tewas tipis sahaja. Ini tidak bererti suara promahasiswa akan tenggelam di dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM. Bayangkan, terdapat IPTA yang tidak wujud langsung promahasiwa di dalam MPP. Tapi Alhamdulillah, mereka bertindak bijak kerana tidak bertindak bodoh melakukan demonstrasi.

Di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) promahasiswa menguasai hampir sepenuhnya keputusan PRK. Tetapi mengapa tiada demonstrasi berlaku di sana? Adakah kerana keputusan itu memihak promahasiswa maka keputusan itu adalah adil? Jika keputusan itu tidak memihak kepada promahasiswa maka keputusan itu tidak adil?

Saya teringat kata-kata pak cik saya, mahasiswa dan mahasiswi Melayu lebih gemar berpolitik dan berdemonstrasi daripada memberi tumpuan kepada pelajaran, berbanding dengan mahasiswa mahasisiwi Cina dan India yang memberikan tumpuan untuk meraih Anugerah Dekan, Pingat Emas, dan pelbagai anugerah lagi.

Kata pak cik saya lagi, kalau nak berpolitik pun janganlah sampai mengabaikan pelajaran. Banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan sebab awal-awal semester inilah banyak tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Kalau dah sibuk berdemonstrasi adakah masa untuk siapkan kerja-kerja tu? Menyusahkan banyak pihak sebenarnya.

Kalau hendak sangat berpolitik, berhenti belajar di IPTA dan fokus sepenuhnya dalam bidang politik. Berikan saja tempat anda di dalam IPTA itu kepada mereka yang benar-benar dahagakan ilmu.

Orang tidak pandang kita masuk kelab dan persatuan apa, atau buat aktiviti apa di universiti, atau adakah sama-sama terlibat dalam demonstrasi atau tidak. Tetapi mereka akan bertanya berapa Hitungan Purata Nilai Gred (CGPA) yang kita dapat.

Fikir-fikirkanlah wahai rakan-rakan seangkatanku sekalian. Jangan jadi benih yang akan merusuh di jalanan kerana tidak berpuas hati dengan hal-hal yang tidak berpihak kepada kita.

SYUKRI 2103 Batu Pahat, Johor.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

1 ulasan:

  1. Salam bro, inilah dia anak-anak didik PAS dan PKR sejak dari belum baliq lagi...... anak-anak yang tidak diajar supaya berjuang untuk memajukan diri sendiri tetapi untuk menjahanmkan sahaja..... belajar hasil dari wang kerajaan, wang rakyat...tetapi menghabiskan boras....

    BalasPadam