Sabtu, 13 Disember 2008

Pencen Artis?

Tahniah diucapkan kepada YB Dato' Seri Shafie Afdal selaku Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang mencadangkan dan sedang menggubal satu skim pencen kepada para artis dan seniman yang ada di Malaysia. Lembaran baru ini pasti akan menjadikan artis sebagai satu pekerjaan yang tetap dan berpencen. Saya tidak ingin menafikan sebarang sumbangan baik yang boleh diberi oleh para artis ketika ini sebagai penghibur kepada masyarakat. Walau bagaimanapun seperti mana profesyen lain, bidang artis ini adalah bidang kepakaran individu yang mana seseorang itu boleh memilih untuk tempoh berapa lama beliau ingin menjadi artis dan tidak ada tempoh masa dan tidak perlu beliau mengisi borang untuk menjadi artis.

Jadi beberapa kesulitan akan timbul terutama apabila bagaimanakah seseorang itu dikategorikan sebagai seorang artis. Adakah sesorang itu layak dikira sebagai artis dan menerima pencen apabila berlakon dana satu filem atau menghasilkan sebuah album tetapi tidak laku. Atau mungkin juga kadar pencen dikira berdasarkan kepada berapa lama seseorang itu menjadi artis. Mungkin bayaran pencen bagi artis yang berkecimpung selama 15tahun lebih tinggi dari artis yang berkecimpung selama 10 tahun.

Bukanlah bermaksud untuk menidakkan usaha murni pihak kementerian mahupun menafikan sumbangan para artis tetapi profesyen ini adalah pilihan sendiri dan bukannya paksaan dari mana-mana pihak. Jika ukuran jasa yang diambil kira, ramai lagi golongan yang menjalankan profesyen yang hampir serupa yang mempunyai kaitan dengan jasa kepada orang ramai seperti penceramah-penceramah agama yang siang malam menghabiskan masa berdakwah kepada masyarakat menyeru kearah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Golongan sukarelawan belia ataupun golongan ahli politik yang sentiasa berkhidmat pada masyarakat juga perlu diambil kira sebelum pihak kementerian memikirkan kewajaran melaksanakan skimpencen kepada golongan artis yang ada pada hari ini.

Kesemua mereka ini pasti telah menyedari dengan secara sedar bahawa profesyen artis ini tidaklah menjanjikan kemewahan, hanya segelintir yang benar berbakat dan gigih sahaja akan berjaya ( adakah mereka ini yang berjaya mengumpul jutaan ringgit akan diberi pencen juga?) . Oleh yang demikian pihak kementerian perlulah memikirkan sedalamnya perkara ini dan tidak memikirkan hanya semata-mata untuk mencari populariti sahaja. janganlah nanti dikata Kerajaan yang mendokong Islam sebagai agama rasmi ini hanya memikirkan kebajikan artis sahaja tanpa memikirkan golongan lain termasuk golongan ulamak yang juga banyak berbakti kepada masyarakat malahan lebih lagi.


Mungkinkah suatu hari nanti apabila kita bertanyakan anak-anak kita apakah cita-cita mereka maka antara jawapan yang popular adalah menjadi artis kerana ianya menawarkah kemewahan, populariti dan yang paling mustahak sekali ianya menyediakan skim pencen yang baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan