Sabtu, 27 Februari 2010

BERPECAH KERANA OKESTRA POLITIK

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

''TIDAK salah berselisih faham kerana masing-masing mempunyai naluri untuk berfikir tetapi jangan sampai berpecah.

''Sekarang ini seolah-olah seperti sebuah orkestra yang dimainkan yang mahukan kita (orang Melayu) bergaduh.''

Pesanan ini bukanlah dilafazkan oleh mana-mana pemimpin politik Melayu tetapi ia adalah peringatan tulus ikhlas daripada Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) Elias Zakaria, kelmarin.

Persoalannya sejauh manakah orang Melayu memahami akan permainan orkestra politik tersebut? Atau demi kepentingan politik, masing-masing lebih rela mengorbankan kepentingan bangsa dan agama?

Apa yang menarik Elias memberikan peringatan itu ketika menyampaikan ceramah di Pulau Pinang dalam forum bertajuk ''Nilai Sebenar Pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz.''

Selepas pilihan raya umum lalu nama Khalifah Umar Abdul Aziz menjadi sebutan di Pulau Pinang apabila Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan hasrat untuk mencontohi kepimpinan khalifah agung berkenaan.

Tetapi seperti mana kata Elias dalam ceramahnya, ''Jangan sebut (mencontohi kepimpinan Khalifah Abdul Aziz) sebab retorik politik, tapi fahami dan hayati sepenuhnya apa yang dia telah lakukan.''

Namun bagi orang Melayu yang taksub dengan pegangan politik sempit dan demi menjaga kepentingan politik bersama dalam pakatan, mereka bergembira dengan apa yang diucapkan oleh Guan Eng.

Begitu ramai sekali pemimpin pembangkang hatta dalam Pas sendiri yang memperjuangkan Islam begitu teruja dengan permainan lidah Setiausaha Agung DAP itu.

Justeru tidak hairanlah apabila kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan perarakan Maulidur Rasul, ramai pemimpin utama Pas membela Guan Eng.

Pelbagai andaian dan hujah dikeluarkan, malah ada yang sanggup membelek kitab bagi mempertahankan pembatalan berkenaan.

Demikianlah juga apabila ada pemimpin pembangkang bukan Islam memperalatkan ayat suci al-Quran dalam kempen politik mereka, orang Melayu termasuklah pemimpin politik Islam yang menjadi sekutu mereka memuji.

Lebih mendukacitakan lagi, ada ketikanya akibat terlalu taksub dengan politik, sesetengah pengikut parti sanggup melaungkan takbir 'Allahuakhbar'' apabila seseorang pemimpin bukan Islam berhujah.

Apabila ada pemimpin politik lain menentang perkara berkenaan, pemimpin atau parti itu akan dianggap perkauman atau tidak pandai soal Islam.

Begitulah keadaan orang Melayu sekarang, kita berpecah-belah, tidak mahu sepakat dan sekata semata-mata kerana perbezaan politik.

Perbezaan itulah yang menutup mata dan hati sesetengah daripada pemimpin Melayu untuk melihat kebenaran dan kadang-kala 'tersesat' dalam membezakan antara kepentingan politik dan kepentingan umat.

Inilah bahana orkestra yang mungkin dimaksudkan oleh Elias. Sesetengah kita mengikut alunan orkestra politik tersebut sehingga kita leka dan lalai. Kesudahannya kita berpecah-belah walaupun kita sebangsa dan seagama serta mengadap kiblat yang sama.

Kecelaruan akibat orkestra politik inilah yang membuka laluan kepada pihak-pihak lain untuk begitu berani dari semasa ke semasa terus mempersenda dan memperlekehkan apa sahaja yang berkaitan dengan orang Melayu dan Islam.

Mereka sudah tidak ada rasa takut atau bimbang lagi kerana mereka tahu akan ada pemimpin politik Melayu yang akan sentiasa 'senada' dan 'seirama' dengan mereka.

Kepentingan politik mengatasi segala-galanya, apa sahaja hujah yang berkaitan bagi mewujudkan perpaduan di kalangan orang Melayu dan Islam akan dianggap rasis.

Atas sebab itulah Elias menegaskan, bahawa kita boleh berbeza cara hidup termasuk fahaman politik tetapi tidak sepatutnya berpecah.

Ia kerana perpecahan tidak akan menguntungkan mana-mana pun kelompok Melayu dan umat Islam. Sebab itulah di dalam al-Quran dan hadis, soal perpaduan ummah amat ditekankan.

Sejarah Islam sudah membuktikan perpecahan di kalangan umat Islam akan melemahkan mereka dan akhirnya mereka akan bercerai-berai sehingga tumbangnya empayar keagungan Islam.

Seperti mana kata Elias kunci kejayaan untuk menjadi umat yang hebat serta disegani sebenarnya bermula dengan kekuatan perpaduan dan bukannya kekuatan ekonomi.

Tetapi berapa ramaikah pemimpin Melayu yang menyedari perkara ini? Oleh kerana mementingkan perebutan kuasa politik, mereka meminggirkan semua peringatan itu.

Bagi mereka, kerjasama politik di dalam satu pakatan biarpun berbeza ideologi adalah lebih mustahak berbanding daripada mempertahankan hujah atau kritikan benar yang disampaikan oleh lawan politik mereka biarpun ia berkaitan dengan kepentingan agama dan bangsa.

Malahan ada pula yang tanpa mahu berfikir panjang - sudah pasti kerana kepentingan politik - sanggup bersetuju jika ada pihak luar mencampuri urusan dalaman negara kita.

Bagi mereka itu berlaku kononnya kerana di negara ini yang pemimpin utamanya adalah orang Islam terlalu banyak kepincangan termasuklah dalam bidang kehakiman.

Justeru hujah mereka, campur tangan asing hanyalah lambang keprihatinan kelompok berkenaan. Tetapi mereka sengaja melupakan orang asing yang bersikap demikian pastinya mempunyai 'udang di sebalik batu'.

Lebih malang lagi, pendirian yang boleh dianggap songsang ini disokong pula oleh penulis-penulis blog politik yang tidak sebulu dengan pemimpin parti Melayu di pihak kerajaan.

Ini belum lagi termasuk lidah rasmi parti masing-masing yang ada antaranya seratus-peratus hanya memaparkan fitnah dan memburukkan sesama Islam.

Mereka menulis mengikut emosi, mempertahankan pembatalan perarakan Maulidur Rasul, bergembira dengan penggunaan ayat al-Quran oleh bukan Islam dan menuduh pemimpin yang mempertahankan hak Melayu dan Islam sebagai rasis.

Inilah senario akibat leka dan lalai dengan orkestra politik yang dimainkan oleh pihak-pihak yang tidak mahu orang Melayu dan Islam bersatu.

Bagi puak yang memainkan orkestra politik dengan tujuan untuk terus memecah-belah orang Melayu, mereka terus akan berbuat demikian kerana mereka tahu kelemahan orang kita ialah mudah terpengaruh dengan retorik politik. Ini termasuklah kata-kata ingin mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Hakikatnya, seperti mana dibimbangi oleh Elias, orang Melayu terus berpecah-belah. Perbezaan fahaman politik tidak lagi diiringi dengan usaha untuk merapatkan jurang dalam soal-soal berkaitan orang Melayu dan Islam.

Ada antara pemimpin Melayu terlalu teruja untuk meraih kekuasaan dan kedudukan, kelompok seperti ini sudah tidak mempedulikan apa-apa lagi selain mencari kedudukan politik semata-mata.

Justeru ketika kita masih berada dalam semangat sambutan memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, maka cubalah berfikir sejenak wajarkah kita terus menari mengikut rentak orkestra alunan orang lain sehingga suatu hari kelak mampu memudaratkan masa depan orang Melayu dan umat Islam.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Khamis, 18 Februari 2010

Minyak


Kisah lidah bercabang...

SEWAKTU UMNO menerajui kerajaan negeri Kedah, seorang yang dipanggil 'ustaz' oleh pengikut Pas mengatakan Allah SWT sedang menurunkan bala ke atas rakyat Kedah kerana menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pada waktu tersebut fenomena panas dan kering serta kemarau yang melampau telah melanda negeri Kedah sehingga banyak tanaman rosak.

Baru-baru ini, ustaz yang sama di dalam satu kuliah Maghrib mengatakan Allah SWT sedang menguji rakyat Kedah dengan ujian iaitu diturunkan kemarau dan cuaca yang panas. Ini menunjukkan Allah SWT sayang kepada rakyat Kedah dan sekiranya rakyat sabar dan menerima ujian itu dengan tabah dan reda, maka Allah SWT akan memberikan ganjaran kepada setiap hamba-Nya.

Inilah sikap lidah bercabang seorang ustaz Pas dan dapat merubah rupa bentuk apabila berada di dalam dua keadaan. Dulu dikatakan bala, sekarang ujian pula. Dulu serigala, sekarang musang.

ANAK SELUANG, Kulim

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_04.htm

Isnin, 15 Februari 2010

Khalifah Umar, Guan Eng, Pas

Oleh Zulkiflee Bakar
rencana@utusan.com.my


APABILA tercetus satu demi satu kontroversi melibatkan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah Ketua Menterinya, Lim Guan Eng, kita tidak boleh melupakan bahawa Setiausaha Agung DAP itu pernah menyatakan ingin mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz - khalifah Islam yang paling agung.

Berdasarkan sejarah Islam, walaupun Khalifah Umar hanya memerintah dua tahun lima bulan sahaja, namun baginda meninggalkan jasa-jasa yang cukup besar. Keadilan adalah satu-satunya dasar pemerintahan yang sangat diperhatikan oleh beliau. Semua rakyat dilayan secara adil dan saksama tanpa terpengaruh oleh lingkungan pangkat, darjat dan keluarga. Demi keadilan juga, Khalifah Umar menghapuskan bayaran jizyah yang dikenakan kepada orang bukan Islam yang tinggal di negara Islam dan jajahan takluknya.

Bagi Khalifah Umar, dalam keadaan apa sekalipun rakyat harus diutamakan dan beliau amat berhati-hati dalam tindakan serta tingkah laku sepanjang memerintah bagi mengelakkan timbul sebarang perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat.

Tetapi apa yang Guan Eng lakukan dalam tempoh tidak sampai dua tahun menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang? Terlalu banyak kontroversi yang melanda, malahan tindakannya kadangkala dilihat menindas kaum tertentu seperti mana berlaku kepada peniaga-peniaga Melayu di negeri itu.

Justeru adalah jelas menjadikan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai idola hanya mainan politik Guan Eng bagi meraih sokongan masyarakat Islam. Tindakan beliau tidak menggambarkan ia mencontohi khalifah agung tersebut. Malahan biarpun sudah nyata tetapi Guan Eng sanggup berbohong apabila timbul sesuatu isu termasuklah terbaru dalam isu membatalkan perarakan Maulidur Rasul pada 26 Februari ini.

Malangnya semua ini sengaja tidak dipedulikan oleh rakan-rakannya dalam pembangkang termasuklah Pas yang mana suatu ketika dahulu ada pemimpin parti itu memberi pujian melangit kepada Guan Eng kerana ingin mencontohi kepimpinan Khalifah Umar. Namun sekarang, sudah jelas permainan politik Guan Eng dan DAP.

Hakikatnya, DAP hanyalah sebuah parti kedua dalam pakatan pembangkang yang turut disertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas tetapi ia mempunyai pengaruh cukup besar dan paling berkuasa di dalam pakatan berkenaan yang ditubuhkan semata-mata ingin merebut kuasa politik dan pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN).

Walaupun tindakan Guan Eng di Pulau Pinang bagaikan 'kaduk naik junjung' tetapi Guan Eng seolah-olah mempunyai imuniti sendiri. Siapa sahaja yang menegurnya terutama di kalangan rakan pembangkang biarpun ia demi kepentingan rakyat pasti akan menerima pembalasannya.

Lihat sahaja apa yang berlaku kepada tiga Ahli Parlimen PKR iaitu Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Wee Choo Keong (Wangsa Maju) dan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru).

Kesemua mereka berhadapan dengan tindakan disiplin daripada PKR apabila dengan telus dan ikhlas mengkritik kepimpinan Guan Eng. Tindakan Zahrain yang mengumumkan keluar dari PKR dilihat langkah terbaik oleh beliau kerana itu sahaja caranya untuk menunjukkan protes sebenar.

Zahrain tahu bahawa beliau sudah tidak selamat lagi dalam PKR kerana sampai bilapun kepimpinan PKR yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan berkata apa-apa kepada DAP.

Ini kerana Anwar amat memahami kepentingan DAP dalam mencapai agenda politiknya, sebab itulah daripada bermusuh dengan DAP, Anwar lebih rela melihat seorang demi seorang pemimpin PKR meninggalkan parti itu seperti mana dilakukan oleh Zahrain.

Segala keluh kesah pemimpin PKR yang kecewa dengan Guan Eng terutamanya melibatkan soal kepentingan Melayu di Pulau Pinang tidak dipedulikan oleh Anwar. Ini memandangkan sebarang langkah yang dilihat cuba mengganggu Guan Eng akan mendatangkan kesan yang buruk kepada hubungan antara kedua-dua parti tersebut.

Berikutan itu, DAP semakin mendabik dada kerana mengetahui bahawa parti yang menjadi tunjang kekuatan pakatan pembangkang, bukannya PKR atau Pas tetapi DAP.

Ketaksuban dan keghairahan PKR dan Pas yang begitu beria-ia mahu mengekalkan pakatan antara mereka juga memungkinkan DAP semakin berani dalam tindakannya sama ada di Pulau Pinang, Selangor mahupun di Perak.

Soal untuk menjaga hati mana-mana kaum terutamanya orang Melayu dan umat Islam sudah tidak termasuk dalam perkiraan DAP, ini jelas apabila kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Guan Eng melarang perarakan Maulidur Rasul.

Walaupun Guan Eng kemudiannya menafikan pembatalan tersebut tetapi beliau tidak akan mampu menghapuskan surat pekeliling yang dikeluarkan kepada ketua-ketua jabatan sebelum ini. Guan Eng dan DAP boleh bersandiwara dengan disokong oleh sekerat dua pemimpin Melayu yang bersedia bersekongkol dengan mereka.

Begitu juga apabila Guan Eng begitu lantang menganggap bahawa orang Melayu tetap akan maju tanpa UMNO yang kemudiannya dibalas oleh Ahli Majlis Tinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi bahawa kelahiran DAP telah menyebabkan situasi politik di Malaysia sentiasa panas dan diwarnai dengan sentimen perkauman.

Persoalannya, kenapa di dalam situasi sekarang pun pemimpin-pemimpin di dalam Pas terutamanya masih mahu mempertahankan Guan Eng dan ingin terus bekerjasama dengan DAP? Sepatutnya tindakan demi tindakan yang dilakukan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu memberi kesedaran kepada Pas bahawa mereka sebenarnya hanya menjadi alat melengkapkan pakatan pembangkang.

Pas tidak dilihat sebagai sebuah parti penting yang bakal menentukan arah tuju perjuangan pakatan pembangkang, sebaliknya hanya sekadar penyumbang kerusi bagi membolehkan PKR dan DAP mencapai cita-cita politik mereka. Sebenarnya, orang tidak kisah jika PKR terus menyokong DAP kerana PKR sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai matlamat meletakkan pemimpin utama mereka sebagai Perdana Menteri.

Tetapi Pas ibarat kata seorang Ahli Parlimen pembangkang dalam Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada penulis seolah-olah 'membutakan segala-galanya' dengan membiarkan sahaja Guan Eng terus dengan sikap cauvinis dan angkuh memerintah Pulau Pinang.

Walaupun Dewan Pemuda Pas Pusat berhasrat untuk menemui Guan Eng bagi mendapatkan gambaran sebenar termasuklah dalam isu pembatalan perarakan Maulidur Rasul, kita sudah boleh jangkakan apa yang bakal dikatakan Ketuanya, Nasarudin Hassan selepas pertemuan pada Khamis nanti. Sudah pasti apa juga berlaku di Pulau Pinang akan dianggap permainan media terutamanya Utusan Malaysia.

Kesimpulannya, adalah menjadi hak Pas untuk terus bersekongkol dengan DAP demi kepentingan politik tetapi pemimpin-pemimpin Pas perlu memahami jika sebahagian besar pemimpin PKR sudah menyedari permainan politik DAP terutamanya Guan Eng, sentimen yang sama pasti wujud di kalangan sebahagian besar umat Islam dan orang Melayu termasuk di kalangan ahli Pas sendiri. Semoga Pas tidak akan mengalami nasib seperti ibarat yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

Ahad, 14 Februari 2010

Macam tu ka???

Tahniah kepada TV3 kerana telah berjaya menyelesaikan beberapa maslah rakyat dengan pengenalan program ADUAN RAKYAT yang disiarkan pada hari rabu setiap minggu. Terbaru penyelesaian kes aduan nelayan di Batu Pahat Johor. Tahniah juga kepada rakyat kerana kini telah mempunyai satu lagi saluran pintas untuk membuat aduan kepada kerajaan.

Bukan lah niat saya untuk mengecam mahupun tidak bersetuju dengan program sebegini kerana ianya memberi keabaikan kepada rakyat dikawasan tersebut. Namun apa yang dikesalkan ialah ianya memberi gambaran bahawa selama ini sistem penyampaian dalam agensi kerajaan tidak berjalan dengan baik ( betul ke? ). Hanya apabila perkara tersebut telah di siarkan oleh media barulah pihak bertanggungjawab tergesa-gesa mengambil tindakan. Say percaya bahawa semua pihak dikawasan itu ( Jabatan kerajaan, Wakil Rakyat, Orang ramai, badan NGO dan lain-lain telah pun menjalankan tugas mereka dan membuat laporan yang sepatutnya. Tetapi dimana silapnya....aduan yang dibuat oleh mereka ini seperti anjing menyalak bukit hilang entah kemana.

Sepatutnya program Aduan Rakyat ini menjadikan agensi kerajaan belajar dan bertindak pantas supaya semua aduan ( bukan yang disiarkan dalam media sahaja ) diambil tindakan. Ini akan mengelakan ketidakadilan antara kawasan kerana tempat yang tidak tersiara dalam media akan lambat diselesaikan masalahnya sedangkan mereka juga memerlukan pembelaan yang setimpal. Sepatutnya pihak kerajaan perlu lebih responsif kepada semua permasalahan yang dibangkitkan terutamanya oleh pihak wakil rakyat ( terutamanya dipihak kerajaan kerana mereka juga mewakili kerajaan dan bukannya penyibuk ) supaya layanan samarata diperolehi oleh rakyat disemua kawasan.

Sekiranya semua perkara perlu disiarkan oleh media maka lebih baik dilantik wakil media diseluruh kawasan Parlimen yang boleh melaporkan masalah rakyat dan bukannya wakil rakyat dikawasan itu kerana tindakan lebih pantas dilaksanakan apabila sesuatu masalah itu disiarkan media ...

Sepatutnya perkara ini menjadi tumpuan utama Juara Rakyat dan bukannya program-program besar yang hanya ibarat menang sorak kampung tergadai....Menghabiskan peruntukan besar-besaran hanya untuk melaksanakan program hiburan dan sukan tanpa memberi kesan baik yang berpanjangan kepada rakyat keseluruhannya...

Khamis, 4 Februari 2010

Tindakan bodoh tidak sopan


SAYA sebenarnya tidak berhasrat untuk menulis mengenai perkara ini. Tetapi selepas melihat tindakan yang dilakukan oleh rakan-rakan seangkatan 'di sebelah sana' maka saya perlu menyatakan pendirian mengenai isu yang berkaitan dengan mahasiswa dan mahasiswi.

Isu asasnya ialah berkenaan keputusan Pilihanraya Kampus (PRK) di Universiti Malaya (UM) yang terkenal sebagai universiti paling tua, paling senior di negara ini.

Keputusan PRK UM memperlihatkan kumpulan proaspirasi menguasai 21 kerusi berbanding promahasiswa yang menguasai 17 kerusi. Tiga kerusi lagi dimenangi oleh calon Bebas yang menyatakan pendirian menyokong proaspirasi. PRK di UM dijalankan dengan sistem e-undi.

Secara peribadi saya melihat kejayaan promahasiswa menduduki 17 kerusi itu masih boleh dibanggakan. Jika pengundian yang dilakukan mengikut sistem e-undi itu benar-benar dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu seperti yang didakwa, saya yakin promahasiswa akan mendapat kurang daripada 17 kerusi.

Saya sebagai mahasiswa sebenarnya berasa amat kecewa apabila melihat rakan-rakan yang seangkatan dengan saya di UM bertindak agresif apabila keputusan PRK diumumkan. Mereka yang berstatus mahasiswa dan mahasiswi di UM ini benar-benar bertindak di bawah erti demokrasi yang dilaung-laungkan oleh sesetengah pihak yang gemar dengan acuan demokrasi seperti itu.

Maaf jika saya menyatakan di sini sebenarnya saya melihat tindakan mereka mengadakan demonstrasi itu sebenarnya adalah tindakan paling tidak bijak daripada mereka yang intelektual.

Saya sedih apabila mereka yang berdemonstrasi ini memperlihatkan tindakan yang tidak sopan terhadap pihak tertinggi universiti, terhadap menteri dan sebagainya. Mengapa? Adakah mereka ingin melaung-laungkan erti demokrasi yang sebenarnya?

Bersyukurlah dengan kemenangan sebanyak 17 buah kerusi itu. Mengapa anda semua tidak mahu menghayati erti kesyukuran? Jangan hanya menerima sesuatu keputusan itu jika ia berpihak kepada kita sahaja. Adakah demokrasi itu hanya layak disebut sebagai demokrasi jika ia berpihak kepada kita?

Promahasiswa hanya tewas tipis sahaja. Ini tidak bererti suara promahasiswa akan tenggelam di dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM. Bayangkan, terdapat IPTA yang tidak wujud langsung promahasiwa di dalam MPP. Tapi Alhamdulillah, mereka bertindak bijak kerana tidak bertindak bodoh melakukan demonstrasi.

Di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) promahasiswa menguasai hampir sepenuhnya keputusan PRK. Tetapi mengapa tiada demonstrasi berlaku di sana? Adakah kerana keputusan itu memihak promahasiswa maka keputusan itu adalah adil? Jika keputusan itu tidak memihak kepada promahasiswa maka keputusan itu tidak adil?

Saya teringat kata-kata pak cik saya, mahasiswa dan mahasiswi Melayu lebih gemar berpolitik dan berdemonstrasi daripada memberi tumpuan kepada pelajaran, berbanding dengan mahasiswa mahasisiwi Cina dan India yang memberikan tumpuan untuk meraih Anugerah Dekan, Pingat Emas, dan pelbagai anugerah lagi.

Kata pak cik saya lagi, kalau nak berpolitik pun janganlah sampai mengabaikan pelajaran. Banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan sebab awal-awal semester inilah banyak tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Kalau dah sibuk berdemonstrasi adakah masa untuk siapkan kerja-kerja tu? Menyusahkan banyak pihak sebenarnya.

Kalau hendak sangat berpolitik, berhenti belajar di IPTA dan fokus sepenuhnya dalam bidang politik. Berikan saja tempat anda di dalam IPTA itu kepada mereka yang benar-benar dahagakan ilmu.

Orang tidak pandang kita masuk kelab dan persatuan apa, atau buat aktiviti apa di universiti, atau adakah sama-sama terlibat dalam demonstrasi atau tidak. Tetapi mereka akan bertanya berapa Hitungan Purata Nilai Gred (CGPA) yang kita dapat.

Fikir-fikirkanlah wahai rakan-rakan seangkatanku sekalian. Jangan jadi benih yang akan merusuh di jalanan kerana tidak berpuas hati dengan hal-hal yang tidak berpihak kepada kita.

SYUKRI 2103 Batu Pahat, Johor.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm