FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi orang dalam (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya. Awaslah! kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan mereka, sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada Al-Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata: Kami beriman, tetapi apabila mereka berkumpul sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram marah (kepada kamu), Katakanlah (Wahai Muhammad): Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu. Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada. Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka, dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. dan kalau kamu sabar dan bertakwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuannya akan apa yang mereka lakukan. (ali-Imran: 118-120)
Sheikh Syarawi berkata : Selepas Allah menjelaskan betapa Dia tidak menzalimi seseorang tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri kerana menafkah pada tempat yang tidak diterima melainkan gugurlah segala amalan mereka. Itulah keadilan Allah seterusnya Allah berfirman.
Sebab Nuzul ayat ke-118
Ibn Abbas dan Mujahid berkata: Ayat ini diturunkan kepada kaum yang beriman, berbaik dengan munafik dan Yahudi keran hubungan kerabat, rakan, jiran, susuan, dan perjanjian. Lantas mereka dilarang daripada mengambil golongan tersebut sebagai penasihat.
Iktibar dan fiqh ayat
i. Ibn Kathir berkata: Allah dengan tegas melarang hamba-Nya yang beriman daripada menjadikan golongan munafik sebagai penasihat dan pembantu setia mereka.
ii. Al-Qadhi Abu Yala berkata: Ayat ini menjadi dalil tidak harus meminta tolong dengan ahli Zimmah dalam urusan orang Islam.
iii. Al-Maraghi berkata: Kebiasaan ini diikuti pula oleh pemerintahan Abbasiah dan raja-raja Islam lain dari aspek pemakaian beberapa tenaga dalam menjalani urusan pemerintahan sama ada dilantik daripada kalangan Yahudi mahupun Nasrani.
Situasi ini berjalan sampai sekarang. Sebahagian besar duta besar kerajaan Uthmani dan konsul-konsulnya adalah terdiri daripada orang Nasrani.
Firman-Nya: Mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudaratan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Kalimat ini bukanlah dapat memberi penjelasan yang konkrit. Kerana itu, ia mengandungi perintah untuk mencari bukti-bukti yang lebih nyata dan jelas pada sikap tingkah laku mereka. Itulah agaknya yang menjadi sebab sehingga ayat ini diakhiri dengan jika kamu berakal, bukan bila kamu mengetahui atau memahami. Dalam hal ini, kaum muslimin diperintahkan menggunakan akal dan fikiran untuk menimbang dan menganalisis sikap dan tingkah laku penentang-penentang Islam.
iv. Hamka berkata: Kalimat ini ialah bhitanah, bermaksud kawan rapat atau sahabat karib. Ayat ini melarang orang mukmin berteman dengan orang yang bukan dari golongan mereka sendiri. Mereka sangka orang lain akan jujur sepertinya tetapi itulah musuh yang paling jahat dan kejam kerana mereka tidak pernah reda dengan umat Nabi Muhammad SAW.
Sebab Nuzul ayat ke-119
Ibn Abbas berkata: Kebanyakan orang Ansar menjalin hubungan dengan orang Yahudi. Apabila mereka memeluk Islam, Yahudi begitu marah terhadap mereka lantas turunnya ayat ini.
Iktibar dan fiqh ayat
i. Berkenaan kasih sayang orang beriman terhadap mereka mempunyai empat pandangan:
Cenderung kepada mereka secara tabiat seperti hubungan kerabat dan lain-lain. Inilah pendapat Ibn Abbas.
Dengan makna rahmat. Apa yang mereka lakukan maksiat akan dibalas dengan azab. Inilah pendapat al-Qatadah.
Orang munafikin menzahirkan iman kerana orang munafikin menzahirkan iman. Inilah riwayat Abu al-Aliyah.
Harapan supaya mereka memeluk Islam. Inilah pendapat al-Mufaddhal dan al-Zajjaj.
ii. Al-Maraghi berkata: Perasaan yang ditonjolkan oleh orang mukmin kepada golongan kafir dan begitulah perwatakan mereka merupakan bukti yang paling jelas bahawa Islam ini adalah agama rahmat dan bersikap toleransi, dan tidak mungkin lagi ada agama lain yang dapat memiliki sikap yang lebih baik daripada ini.
iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: Penutup ayat ini sesungguhnya Allah mengetahui segala isi hati, dapat difahami sebagai bahagian yang diperintahkan untuk diucapkan sebagaimana dikemukakan di atas.
Ia juga dapat difahami dalam erti huraian yang tersendiri. Jika demikian, ia adalah informasi kepada mereka dan juga kepada umat Islam bahawa kebencian dan kedengkian mereka itu diketahui Allah.
Informasi ini penting, kerana mereka menyembunyikan daripada semua pihak termasuk kaum muslimin yang masih menjalin hubungan kasih sayang dengan lawan-lawan itu.
iv. Hamka berkata: Kamu belas kasihan kepada mereka dan mengharap ia mendapat petunjuk agar dapat merasakan nikmat hidup beragama tetapi mereka tidak menyambut seruan dan kasih sayang kita.
Iktibar dan fiqh ayat ke-120
i. Al-Alusi berkata: Sebahagian ahli tahqiq berpendapat lebih elok dan utama dikatakan ia menjadi dalil atas melampaunya mereka dalam kegembiraan dan dukacita.
ii. Al-Maraghi berkata: Ayat ini memberikan pengajaran kepada kaum mukmin dari aspek pergaulan dengan pihak musuh.
Sesungguhnya Allah SWT telah menyuruh orang beriman agar bersabar menghadapi api permusuhan dengan golongan kafir yang dilitupi dengan perasaan benci kepada mereka dan sentiasa berhati-hati terhadap rancangan jahat mereka.
Dalam hal ini orang mukmin tidak disuruh membalas kejahatan dengan kejahatan yang sama. Sudah menjadi kebiasaan bagi al-Quran menyuruh mereka melakukan perbuatan yang membawa ke arah kecintaan dan kebaikan dan melawan kejahatan dengan kebaikan.
Ayat ini masih melanjutkan huraian tentang orang-orang yang tidak wajar diangkat menjadi teman dan tempat untuk menyimpan rahsia atau diserahi urusan-urusan kaum muslimin yang menentukan masa depan Islam dan penganutnya.
Mereka itu di samping sifat-sifatnya yang disebutkan pada ayat-ayat yang lalu jika kamu disentuh, yakni mendapatkan walau sedikit kebaikan seperti nikmat kesihatan, keuntungan material, kemenangan nescaya mereka bersedih hati akibat sentuhan yang sedikit itu, tetapi jika kamu ditimpa bencana yang besar barulah mereka bergembira kerananya.
iii. Hamka berkata: Tidur mereka sudah tidak tenang lagi, makanpun tidak rasa nikmatnya lagi. Mereka sendiri yang meracuni jiwa mereka dengan rasa benci dan dendam itu. Mereka tidak senang dengan kesenangan orang lain.
Mereka mempunyai hati yang busuk kerana mendengki dan menyebabkan kesusahan kepada orang lain. Perbuatan mereka sungguh aib dan dimurkai Allah SWT.
Semoga umat Islam sentiasa mendapat keredaan Allah dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Amin.