Selasa, 31 Ogos 2010

HUDUD KELANTAN

Sebuah blog cuba menyalahkan kerajaan pusat apabila Kerajaan Negeri Kelantan gagal menggunapakai Enakmen Jenayah Syariah Kelantan II 1993 yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan tetapi pada tahun 1996 mendapat kritikan yang hebat daripada Sultan Kelantan sendiri.


Penulis blog berkenaan, barangkali hanya sekadar mendengar cerita tentang Hudud dan Qisas PAS Kelantan itu tetapi gagal meneliti apa sebenarnya yang berlaku, terutama AMENDMENT yang tidak dapat dilakukan oleh kerajaan Nik Aziz bagi membolehkan hukum tersebut digunapakai setelah terlalu banyak lompang dan KESALAHAN dilakukan dalam penggubalan dan penyediaannya.

Berikut adalah penjelasan dan kupasan tentang hukum hudud dan qisas Kelantan. Seharusnya mereka yang berbohong dan memanjangkan pendustaan tentang mengapa Hukum Hudud Kelantan tidak boleh digunapakai, perlu menjawab, mana AMENDMENT KALI KETIGA draf berkenaan dan mengapa sehingga sekarang, yang dipersalahkan adalah Kerajaan Pusat dan UMNO, padahal PAS dan Nik Aziz yang tidak bersungguh-sungguh untuk menjayakan hudud dan qisas di Kelantan sendiri dengan mengenepikan pindaan rang undang-undang berkenaan.


KUPASAN HUKUM HUDUD KELANTAN

Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993. Ini berikutan dengan janji Parti Islam SeMalaysia untuk melaksanakan Hukum Hudud pada pilihanraya 1990.

Namun begitu, sehingga sekarang Undang-undang ini belum dikuatkuasakan oleh Negeri Kelantan. Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat, telah memberi berbagai-bagai alasan untuk perkara. Antara alasan yang paling besar yang diberikan adalah pihak kerajaan Pusat (UMNO) tidak membenarkannya. Namun Nik Aziz tetap berjanji akan melaksanakan Hukum Hudud tersebut, setelah dikritik oleh Sultan Kelantan pada 19 Mei 1996.

Dari pandangan biasa, memanglah mudah untuk kita menuding jari kepada kerajaan Pusat dan menuduh ianya tidak islamik dan sebagainya. Tapi bila kita kaji semula, kerajaan Pusat di bawah pimpinan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohammad tentulah mempunyai sebab yang kuat untuk menghalang perlaksanaan hukum tersebut.

Berikut adalah petikan ucapan Dr. Mahathir di Nilam Puri, 1994

Ini tidak bermakna kita menolak hukum hudud. Kita hanya menolak tafsiran dan undang-undang PAS Kelantan yang tidak serasi dengan maqasid syariah. Penolakan sesuatu yang salah adalah wajib jika kita berpegang kepada ajaran Islam.

UMNO tidak melihat undang-undang ini sebagai UMNO, sebagai sebuah Parti Politik. UMNO mengasingkan parti dan politik dalam perkara ini. UMNO hanya mengkaji daripada sudut agama semata-mata. Siapa juga mesti kaji, terima atau tolak undang-undang PAS daripada sudut agama. Adalah salah melihat undang-undang Islam daripada sudut atau kepentingan Parti. UMNO tidak berbuat demikian.

Yang menolak dan patut menolak undang-undang PAS ialah orang Islam dalam UMNO. Pendirian UMNO sehingga kini ialah kerana orang Islam dalam UMNO belum mendapat bukti kajian yang tepat dilakukan berlandaskan ilmu feqah dan maqasid syariah. la bukanlah satu keputusan yang dibuat oleh UMNO secara sewenang-wenang.

Saya bercakap di sini sebagai seorang orang Islam yang dipertanggungjawab sebagai Presiden UMNO. Saya juga dipertanggung jawatan Perdana Menteri Kerajaan Malaysia. Soal undang-undang PAS bukan soal Dewan Rakyat semata-mata, walaupun Dewan Rakyat mempunyai peranan mengikut Perlembagaan Negara.

Kerajaan perlu mengkaji secara teliti undang-undang PAS Kelantan. Satu badan yang terdiri daripada orang Islam yang pakar dalam agama, hukum hakam dan jenayah perlu ditubuh. Mereka ini hendaklah terdiri daripada orang yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan yang lain selain pegangan kepada agama Islam. Namun mereka perlu kepakaran bukan sahaja dalam agama Islam tetapi juga dalam agama-agama lain dan dalam bidang jenayah dan undang-undang sivil dan jenayah. Seperti biasa mereka perlu mengambilkira keadaan semasa yang mempengaruhi amalan dan pelaksanaan ajaran, ibadat dan hukum dalam Islam.

Kerajaan Malaysia, sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab terhadap agama dan umat Islam di Malaysia akan mengambil tindakan untuk menubuhkan badan ini. Sementara itu undang-undang PAS tidak boleh diterima atau dilaksanakan oleh sesiapa kerana ia masih bukan undang-undang Islam dan bukan undang-undang negara.

Bila dirujuk di kalangan cerdik pandai agama, sebenarnya memang terdapat beberapa kekurangan yang serius dalam Undang-undang Hukum Hudud tersebut. Di bawah ini penulis akan cuba memberikan sedikit kupasan berkenaan kekurangan-kekurangan tersebut, terutama sekali dalam bab zina.

PETIKAN UNDANG-UNDANG HUKUM HUDUD KELANTAN

Berikut ini di nukilkan sebahagian dari Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud):

BAHAGIAN III

Keterangan

39. Bagaimana membukti kesalahan. En. 2/91.

(1) Kecuali jika ada percanggahan dengan peruntukan yang ada dalam Enakmen ini, maka Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 1991 hendaklah dipakai untuk membuktikan kesalahan-kesalahan di baawah Enakmen ini.

(2) Semua kesalahan di bawah Enakmen ini samada kesalahan hudud atau kesalahan qisos, atau kesalahan ta'zir, hendaklah dibuktikan dengan keterangan lisan atau iqrar yang dibuat oleh tertuduh.

40. Bilangan saksi

(1) Bilangan saksi-saksi yang dikehendaki untuk membuktikan semua kesalahan di bawah Enakmen ini melainkan zina, hendaklah sekurang-kurangnya dua orang.

(2) Bilangan saksi-saksi yang dikehendaki untuk membuktikan kesalahan zina hendaklah tidak kurang daripada empat orang.

41. Syarat-syarat menjadi saksi

(1) Tiap-tiap orang saksi hendaklah terdiri daripada seorang lelaki Islam yang akil baligh dan hendaklah seorang yang adil.

(2) Seseorang itu adalah dianggap adil jika ia menunaikan apa-apa yang disuruh oleh Islam dan menjauhi daripada dosa-dosa besar serta tidak mengekalkan dosa-dosa kecil dan juga mempunyai isti'mal al-muru'ah, (perasaan dan pendirian menghormati diri).

(3) Seseorang itu adalah dianggap adil, sehingga sebaliknya dibuktikan.

42. Keadaan keterangan

(1) Untuk membuktikan tuduhan terhadap tertuduh dan menyebabkan dia boleh dihukum dengan hukuman hudud atau qisos, keterangan yang diberi hendaklah benar-benar terang dan tidak ada apa-apa kesamaran dan keraguan.

(2) Tiap-tiap saksi hendaklah dengan terang menyatakan bahawa dia benar-benar melihat perbuatan yang didakwakan itu dan dalam kes zina pula keempat-empat orang saksi itu hendaklah menyatakan bahawa mereka benar-benar melihat kemasukan zakar ke dalam faraj perempuan pasangan yang bersetubuh itu dengan juga hendaklah jangan ada perselisihan dan pertelingkahan di antara saksi-saksi di dalam keterangan itu.

43. Menarik balik keterangan

(1) Untuk menyebabkan hukuman hudud dikenakan kepada tertuduh setiap saksi itu hendaklah berdiri teguh di atas keterangan terhadap tertuduh itu, bukan sahaja dalam masa perbicaraan dan selepasnya, tetapi juga ketika hukuman itu dilaksanakan, kerana jika keterangan itu ditarik balik sebelum hukuman itu dilaksanakan, maka tertuduh itu tidak lagi boleh dikenakan hukuman hudud, dan jika keterangan itu ditarik balik ketika tertuduh sedang menjalani hukuman, maka hukuman itu hendaklah dengan serta merta diberhentikan.

(2) Dalam kes zina jika seseorang saksi itu enggan memberi keterangan, atau memberi keterangan yang berlawanan dengan tuduhan, atau memberi keterangan menyokong tuduhan itu tetapi kemudiannya menarik balik keterangan itu, yang mana dengan sebab itu bilangan saksi yang menyokong tuduhan itu menjadi kurang daripada empat orang, maka tuduhan zina terhadap tertuduh itu tidaklah terbukti, dan yang demikian tertuduh itu adalah terlepas daripada dikenakan hukuman hudud; tetapi saksi-saksi yang telah memberi keterangan menyokong tuduhan itu adalah bersalah kerana melakukan kesalahan qazaf.

44. Iqrar

(1) Sebaik-baik keterangan untuk menyabitkan tertuduh dan menyebabkan dia boleh dihukum dengan hukuman hudud ialah iqrarnya sendiri.

(2) Iqrar itu hendaklah dibuat dengan sukarela dan tanpa apa-apa paksaan di hadapan seorang pegawai kehakiman dan kemudiannya diulangi di hadapan hakim pada masa perbicaraan dijalankan; dan jika perbicaraan itu mengenai kes zina maka iqrar itu hendaklah diulangi sebanyak empat kali di hadapan hakim pada masa perbicaraan dijalankan:

Dengan syarat bahawa iqrar itu hendaklah dibuat dan diulangi dengan tidak ada apa-apa ugutan, janji atau dorongan; dan hendaklah dengan nyatanya membuktikan secara terperinci bahawa tertuduh itu benar-benar telah melakukan kesalahan yang dengannya dia telah dituduh, dan dia faham bahawa dia akan dihukum kerana membuat iqrar.

(3) Iqrar itu hanyalah boleh diterima sebagai keterangan terhadap tertuduh yang membuat iqrar itu sahaja, dan tidak boleh digunakan terhadap orang lain; dan untuk menjadikannya sah maka iqrar itu hendaklah bukan satu iqrar yang ditarik balik.

45. Menarik balik iqrar

(1) Sesuatu iqrar itu boleh ditarik balik oleh tertuduh yang membuatnya pada bila-bila masa sahaja; meskipun pada ketika dia sedang menjalani hukuman.

(2) Jika sesuatu iqrar itu ditarik balik sebelum dilaksanakan hukuman ke atasnya maka tertuduh itu tidaklah lagi boleh dikenakan hukuman itu, dan jika dia menarik balik iqrar itu pada ketika dia sedang menjalani hukuman, maka hukuman itu hendaklah dengan serta merta diberhentikan.

(3) Jika pada bila-bila masa sebelum atau pada ketika hukuman dilaksanakan, tertuduh itu dapat melarikan diri daripada pihak yang berkuasa, maka dia hendaklah dianggap sebagai telah menarik balik iqrar itu; dan yang demikian peruntukan subsekseyn (2) hendaklah terpakai.

46. Keterangan qarinah

(1) Kecuali seperti yang diperuntukkan dalam subseksyen (2) dan (3) keterangan qarinah walaupun berkaitan hendaklah tidak boleh dijadikan satu cara yang sah untuk membuktikan kesalahan hudud.

(2) Dalam perkara zina, kehamilan atau kelahiran anak oleh seseorang perempuan yang tidak mempunyai suami hendaklah menjadi keterangan yang boleh mendapatinya bersalah melakukan zina dan yang demikian hukuman hudud ke atasnya hendaklah dikenakan melainkan jika dapat membuktikan sebaliknya.

(3) Dalam perkara minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, bau minuman yang didapati dalam nafas tertuduh itu atau muntahnya yang mengeluarkan arak atau sebarang minuman yang memabukkan atau apa-apa kesan darinya, atau pemerhatian Mahkamah kepada keadaan tertuduh itu bahawa dia sedang berada di dalam keadaan mabuk, hendaklah boleh diterima sebagai keterangan untuk membuktikan bahawa dia telah melakukan kesalahan syurb, melainkan jika ia dapat membuktikan sebaliknya.

47. Apabila seseorang tertuduh itu tidak boleh dihukum dengan hukuman hudud kerana saksi-saksi telah menarik balik keterangan mereka sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 43 atau kerana tertuduh itu telah menarik balik iqrarnya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 45 atau kerana keterangan saksi yang ada tidak memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki untuk membuktikan kesalahan hudud, maka tertuduh bolehlah dihukum dengan hukuman ta'zir, dan mahkamah hendaklah mengambil tindakan untuk menjatuhkan hukuman itu sekiranya ada keterangan yang cukup bagi maksud itu.

(Pelaksanaan Hukum Hudud Di Kelantan, halaman 120-125)

KUPASAN SEKSYEN 41 DAN 42

Seksyen 41 dan 42 menerangkan mengenai syarat-syarat menjadi saksi dan keadaan keterangan yang boleh dikira sebagai sah dari saksi-saksi. Di sini, Dr. Mahathir menerangkan lagi:

Untuk mengesahkan bahawa wanita itu benar-benar telah dirogol dan bukan ianya dengan rela hati berzina, empat orang saksi yang terdiri daripada orang yang tidak berdosa besar dan tidak melakukan dosa-dosa kecil berulangkali diperlukan.

Saksi seperti ini sudah tentu sukar didapati. Yang pertamanya, perogol tidak merogol di hadapan saksi. Ia sudah tentu tidak ingin mendedahkan dirinya kepada hukuman yang berat yang akan dikenakan ke atasnya. Jika hukuman tidak berat sekalipun ia tidak akan mendedahkan dirinya.

Saksi yang mulia tidak akan berdiam diri melihat perbuatan merogol berlaku di hadapan mereka. Tentulah mereka tidak bertanggungjawab jika mereka melihat jenayah yang begitu dasyat berlaku di hadapan mereka tanpa memberi pertolongan. Jika mereka tidak cuba menolong maka mereka akan menjadi orang yang bersubahat dengan perogol. Ini bermakna mereka turut berdosa dan tidak layak lagi untuk menjadi saksi yang boleh diterima.

Hanya jika mereka dipaksa menyaksi dan diugut oleh perogol atau rakan-rakannya mungkin saksi terpaksa menyaksi tanpa membuat apa-apa. Keadaan ini tidak mungkin berlaku melainkan dalam peperangan umpamanya, di waktu mana rogol berlaku tanpa apa-apa sekatan seperti di Bosnia, di mana orang Serb yang bukan Islam sering merogol. Tetapi mereka bukan Islam dan mengikut undang-undang PAS mereka tidak akan dikenakan hukum hudud.

Yang jelas ialah mangsa rogol yang membuat pengaduan tidak mungkin mendapat saksi-saksi yang boleh diterima di bawah undang-undang PAS. Dengan itu perogol tidak boleh didakwa di bawah undang-undang PAS.

Undang-undang PAS juga tidak akan menerima 'circumstantial evidence' iaitu tanda-tanda pada mangsa yang membuktikan ia telah dirogol. Undang-undang PAS tidak menerima kesan atau cedera luka di tempat-tempat berkenaan atau tanda-tanda pada perogol yang menunjuk mangsanya telah melawan untuk mempertahankan kehormatannya.

Dengan tidak adanya saksi yang empat yang diterima sah oleh undang-undang PAS dan penolakan 'circumstantial evidence' maka pengaduan dan tuduhan oleh mangsa rogol akan ditolak. Perogol akan terlepas daripada apa-apa hukuman.

Dari pemahaman di atas, apabila Undang-undang ini dilaksanakan, ia akan menindas golongan-golongan tertentu, seperti mangsa rogol. Ini kerana undang-undang ini dengan jelas menetapkan syarat-syarat yang ketat dan amat sedikit untuk mengesahkan perbuatan zina. Tidak ada alternatif, contohnya penerimaan ‘circumstantial evidence’ seperti yang disebutkan di atas. Mangsa rogol yang sudah tentunya tidak akan dapat membuktikan perbuatan rogol tersebut (berdasarkan keperluan 4 saksi) akan boleh didakwa kerana berzina. Adilkah begitu?

KUPASAN SEKSYEN 46(2)

Seksyen 46(2), mengenai keterangan qarinah, berbunyi seperti berikut: “Dalam perkara zina, kehamilan atau kelahiran anak oleh seseorang perempuan yang tidak mempunyai suami hendaklah menjadi keterangan yang boleh mendapatinya bersalah melakukan zina dan yang demikian hukuman hudud ke atasnya hendaklah dikenakan melainkan jika dapat membuktikan sebaliknya.”

Sekali lagi isu mangsa rogol timbul. Jika mangsa tersebut belum berkahwin, hamil ataupun telah melahirkan anak, jika beliau tidak dapat membuktikan beliau telah dirogol, maka beliau akan dikenakan hukuman hudud, iaitu dalam kes ini, rejam sehingga mati / sebatan 100 kali rotan.

Fikirkanlah, di manakah keadilan di dalam undang-undang Hudud ciptaan PAS ini? Mangsa rogol (wanita) akan teraniaya. Sedangkan Ajaran Islam tidak sekali-kainya begitu. Allah s.w.t. berfirman, maksudnya " Allah yang menurunkan Kitab suci dengan membawa kebenaran, dan menurunkan keterangan yang menjadi neraca keadilan "(Asy-syura:17)

Satu perkara yang patut ditekankan disini adalah Undang-undang Hudud di atas adalah ciptaan PAS, yang telah diambil bulat-bulat dari sebuah kitab kurun ke13 (maaf tidak dapat dinyatakan nama kitab itu disini) tanpa mengambil kira arus perubahan zaman dan teknologi.

Kerajaan Pusat, (UMNO) sama sekali tidak pernah menolak Hukum Hudud, tetapi hanya menolak Hukum Hudud ciptaan PAS. Terdapat perbezaan yang besar dalam kenyataan di atas. Apa yang diperlukan ialah pemikiran yang rasional dari para pembaca untuk menimbangkan kupasan-kupasan di atas.


PERSOALAN LAIN:


Sehingga kini ada tiga versi hudud Pas yang masing-masing berbeza.

Pertama hudud Pas Kelantan yang bernama Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 mempunyai 72 fasal.

Kedua hudud Pas Terengganu yang dibentang dalam seminar pada 12 Mei 2002 bernama Draf Cadangan Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu mempunyai 74 fasal.

Ketiga Rang Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (EKJS) (Hudud dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M yang mengandungi 67 fasal sahaja.

Mana satukah hudud yang sebenar antara ketiga-tiga hudud Pas itu?

Draf yang dibentangkan pada seminar di Kuala Terengganu 12 Mei 2002 ada Bughah (Fasal 23, 24 dan 25).
Sedangkan dalam EKJS (II) 1993 Kelantan dan rang yang diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 7-9 Julai 2002 tidak ada Bughah.

Mengapakah bughah diketepikan dalam kedua-dua undang-undang hudud itu?


http://theflyingkick.blogspot.com/2010/08/kenapa-hudud-kelantan-tidak-digunapakai.html

Isu Namewee Bukan Isu Politik

EZARUDDIN ABD RAHMAN

KISAH seorang pemuda Namewee bukanlah satu isu yang baru kerana menghasilkan klip video berunsur perkauman dan hasutan. Sebelum ini, beliau telah menghina Perdana Menteri, kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam kita sibuk membuat persiapan untuk menyambut hari kemerdekaan negara yang ke-53, seorang pemuda pula sibuk menghasilkan video klip semata-mata mahu menjejaskan keharmornian kaum.

Sampai bila kita ingin membiarkan orang yang bernama Namewee terus bebas dengan rasa megah dan mencipta keseronokan menghina kerajaan dan membuat klip video berunsur fitnah dan hasutan.

Kita bimbang jika kerajaan tidak tegas menangani isu ini, ia akan melahirkan lebih ramai lagi Namewee. Kita mempunyai undang-undang dan sikap seperti ini tidak harus diteladani oleh generasi muda.

Isu ini sebenarnya telah mendapat perhatian masyarakat sejak sekian lama. Jika kita selidiki banyak pihak telah menggunakan media baru seperti Facebook, Twitters, Youtube dan blog untuk menghina dan memaki hamun kerajaan dan juga membangkitkan kebencian kaum.

Sesungguhnya perbuatan beliau ini melampaui batas dan boleh mengundang perdebatan dan akhirnya akan menyebabkan berlakunya perpecahan kaum dan keharmonian.

Cadangan Perkasa agar Namewee dibuang negeri adalah tindakan yang wajar kerana ia akan memberi pengajaran kepada rakyat Malaysia agar sentiasa menghormati undang-undang.

Tindakan Namewee itu sengaja mencetuskan kemarahan dan ketenteraman awam. Tindakan beliau sebenarnya untuk mengheret dan menghasut orang ramai untuk berdebat tentang isu perkauman.

Saya berpendapat media baru yang tidak terkawal itu seperti bom jangka dan seperti anai-anai yang akhirnya akan memusnahkan sebuah bangunan. Perpaduan kaum akan menjadi lebih sukar jika rakyat tidak memahami makna keharmonian.

Jika kita buka minda, kekeruhan kaum semakin teruk sejak pilihan raya umum yang lalu. Sikap tidak ambil peduli segelintir pihak untuk menjadi jaguh mencetuskan kontroversi semakin ramai. Pihak-pihak tertentu dan ahli-ahli politik semakin berani mencabar Perlembagaan, menghina Sultan malah mencabar tentang isu perkauman.

Siapakah dalang dan apakah tujuan kumpulan ini bergerak dengan sewenang-wenangnya tanpa rasa takut dan merasakan kebal daripada segi undang-undang. Sekarang sudah ada perkara yang mendukacitakan, siapa yang berani mencabar Perlembagaan Negara dianggap sebagai hero dan diarak oleh pihak-pihak tertentu.

Dalam kita menyambut kemerdekaan ke-53, saya merasakan kemerdekaan kita akan hilang makna dan seri jika semakin ramai rakyat sibuk menghancurkan negara.

Banyak isu yang melibatkan perkauman, menghina Sultan, mencabar hak keistimewaan orang Melayu dan menghina Islam berlaku sejak kebelakangan ini. Jika ia dijadikan ukuran kemerdekaan, nampaknya kita semakin tercabar dan ia hanya merugikan rakyat sendiri.

Tindakan kumpulan minoriti berselimutkan perjuangan demokrasi telah menjejaskan perpaduan kaum dan mereka kini semakin berkeliaran di dalam media baru. Jangan sampai satu hari nanti, Malaysia menjadi huru-hara kerana wujudnya kumpulan anti perpaduan ini.

Kumpulan ini hanya ingin melihat negara kucar-kacir dan bergolak dan hanya akan puas jika Melayu, Cina dan India hidup dalam keadaan berprasangka buruk. Ini adalah agenda politik jahat dan pastinya politik cara ini hanya akan membawa negara ke arah kehancuran.

Saya juga berharap agar Kementerian Dalam Negeri bergerak dengan lebih tegas dalam soal berkaitan keharmonian kaum. Kita juga berasa kesal banyak buku fitnah yang diterbitkan dijual di merata-rata tempat. Buku yang dianggap sampah ini hanya akan meracuni pemikiran rakyat terutamanya generasi muda.

Risalah-risalah berkaitan provokasi supaya rakyat menukar perlembagaan semakin berleluasa. Saya sendiri telah membaca risalah tersebut dan mengakui bahawa ia berbentuk provokasi supaya rakyat bersatu menukar Perlembagaan Negara.

Kementerian Dalam Negeri harus menjadi 'singa' dalam kita berhadapan dengan banyak pihak yang sedang rancak menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum.

Semoga rakyat faham tindakan terhadap Namewee nanti bukanlah bermotifkan politik, sebaliknya untuk mengajar rakyat bahawa kita mempunyai undang-undang dan sikap menghina negara bukanlah sesuatu yang harus diteladani dan dibanggakan.

Saya tidak hairan jika Namawee akan dijaja oleh pihak-pihak tertentu sebagai hero rakyat yang kononnya menuntut perubahan dan kebebasan. Bagi saya, perpaduan kaum adalah keutamaan dan ia adalah tunjang kekuatan dan kemakmuran Malaysia.

Marilah kita dalam semangat 1Malaysia bersatu untuk terus menyuburkan keutuhan yang kita bina sekian lama. Tok Janggut, Mat Kilau, Datuk Bahaman dan banyak lagi pahlawan sanggup menangis untuk mempertahankan negara. Jangan pula kita menangis kerana hendak mempertahankan seorang pemuda yang bernama Namewee.


Isnin, 30 Ogos 2010

Merdekakan Pemikiran kaum

Mingguan Malaysia, 29 Ogos 2010

Menjelang hari kemerdekaan negara, saya selalu teringat tiga orang pegawai British yang banyak berjasa kepada Tanah Melayu iaitu R.O. Winstedt, George Maxwell dan Frank Swettenham. Walaupun mereka tinggal tidak lama di sini, lebih kurang 30 tahun, namun mereka bertiga ini begitu gigih menentang Malayan Union yang cuba diperkenalkan oleh ketua mereka pada tahun 1946. Suara keras mereka kedengaran melalui akhbar-akhbar di London, tidak kurang di sini.

Mereka cukup memahami pemikiran, psikologi, toleransi dan cara hidup Melayu serta kedudukan bangsa Melayu di kepulauan Melayu. Pendek kata, walaupun mereka bukan Melayu, mereka tidak sanggup melihat hak-hak Melayu dan Islam dicabut di buminya sendiri. Mereka tidak kisah menerima kutukan bangsanya disebabkan oleh pendirian yang bertentangan. Atas dasar berani kerana benar, takut kerana salah, mereka sanggup menghadapi risiko yang begitu besar. Niat mereka ikhlas, mereka tidak mahu bangsa mereka dikutuk selepas ini disebabkan oleh terlalu agresif atau terlalu ultra kiasu.

Mereka bersama-sama pejuang-pejuang Melayu Islam yang lain berhempas pulas memastikan Malayan Union gagal. Tindakan mereka ternyata membuahkan hasil. Tanah Melayu kembali kepada orang Melayu. Bayangkanlah jika orang bukan Melayu bersama-sama menentang Malayan Union, saya akan turut berbangga hari ini, kerana bangsa telah melakukan sesuatu yang boleh dibanggakan. Saya tidak mahu bangsa saya dituduh mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain. Biarlah kita mengambil kesempatan ketika orang lain kuat. Itu lebih bermaruah daripada menahan lukah di pergentingan. Inilah maksud kemerdekaan yang sebenar, berkorban jiwa raga demi agama, bangsa dan negara.

Kini sudah 53 tahun kita mencapai kemerdekaan. Sepatutnya, semakin lama kita merdeka, ia semakin mematangkan kita. Kita akan lebih memahami sejarah negara. Ini tidak, ada segelintir yang cuba memutar-belitkan sejarah dan menuntut sesuatu yang di luar dugaan. Mereka sudah lupa wajah-wajah tokoh kemerdekaan yang telah banyak berkorban.

Apa yang lebih ditonjolkan adalah tokoh-tokoh berasaskan bangsa yang sumbangannya tidaklah sehebat sumbangan mereka yang sanggup berkorban nyawa seperti Tok Janggut, Dato Maharajalela, Dato Bahaman, Mat Salleh, Rentap dan sebagainya. Lebih menyedihkan lagi ada yang sanggup mengenengahkan ahli kumpulan Bintang Tiga (MPAJA) sebagai pejuang kemerdekaan, sedangkan sejarah membuktikan bahawa mereka ini memperjuangkan ideologi komunis.

Jika kita tinjau sejarah kemerdekaan, para pejuang kemerdekaan sebenar adalah pahlawan-pahlawan Islam. Sila baca sejarah kebangkitan nasionalisme Melayu (Islam) dan faktor-faktor kebangkitan seperti pengaruh Islam, akhbar, bahasa dan kesusasteraan dan sebagainya. Daripada semua faktor ini, saya boleh ringkaskan, faktor agama Islam amat kuat menpengaruhi kebangkitan Melayu ketika itu. Islam menyatukan mereka meskipun berbeza latar belakang. Mereka sanggup mengenepikan kepentingan peribadi dan parti, semata-mata untuk memastikan tanahair ini bebas dari cengkaman penjajah.

Justeru, hari ini tidak timbul soal kita tidak boleh bersatu atas semangat ini. Masalahnya kita saling tuduh menuduh dan kafir mengkafir antara satu sama lain. UMNO dikatakan sekular kerana mempertahankan perlembagaan kafir (Perlembagan Reid). PAS mendakwa mereka sahajalah parti yang memperjuangkan Islam. Persoalannya, tidakkah kita boleh manfaatkan ruang dan peluang yang sedia ada (perlembagaan) untuk meninggikan syiar Islam? Kenapa kita harus saling bercakaran?

Pada saya, syiar Islam berkembang hari ini disebabkan oleh ruang dan peluang yang ada dalam perlembagaan menyebabkan ia tumbuh subur. Untuk melaksanakan hudud, maka pindaan perlembagaan perlu dibuat. Persoalannya bolehkah perlembagaan dipinda jika umat Islam tidak mempunyai majoriti dua pertiga dalam parlimen? Jika bukan Islam termasuk ultra kiasu tidak menyokong hudud, bagaimana ia boleh dilaksanakan?

Saya hanya tersenyum simpul apabila membaca respon pemimpin nombor satu parti ultra kiasu terhadap pandangan Mursyidul Am PAS mengenai cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud. Spontan selepas itu, pemimpin parti ultra kiasu menjawab janganlah bermimpi untuk melaksanakan hudud. Seperti biasa jawapan Mursyidul Am PAS adalah, ultra kiasu masih tidak faham Islam, itu pendapat peribadi.

Persoalannya, takkanlah sudah sekian lama tidur sebantal masih tidak faham-faham lagi? Sebelum ini PAS mendakwa, sejak berkawan dengan mereka, ultra kiasu sudah semakin berubah, banyak membaca buku-buku Islam dan menjadi pro-Islam. Yang menjadi masalah hanya golongan tua ultra kiasu, generasi muda mereka didakwa begitu sayang dan memahami Islam serta setuju dengan perlaksanaan undang-undang Islam. Bagus juga sangka baik ini, sekurang-kurang dapat membuka mata dan minda kita. Ini mungkin juga disebabkan oleh doa khatib-khatib PAS dalam khutbah jumaat.

Persoalannya, adakah benar ultra kiasu sudah mendapat hidayah? Sejak dari dahulu lagi parti ultra kiasu menolak sebagai bentuk perlaksanaan cara hidup Islam di negara ini. Masihkan kita tidak mengenali antara musuh dan sahabat? Saya yakin, jika Mursyidul Am PAS mencadangkan kepada UMNO, paling kurangpun UMNO akan berkata, kita tangguh dahulu, menolak tidak mungkin sekali, kerana UMNO adalah parti orang Islam.

Ultra kiasu sentiasa merujuk tahun 1988 sebagai hujah untuk menolak undang-undang dan negara Islam. Pada ketika itu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa hanya undang-undang sivil terpakai di sesebuah negara sekular. Jika inilah hujahnya, bermakna perlembagaan persekutuan perlu dipinda. Bagaimanakah perlembagaan persekutuan boleh dipinda jika tidak ada majoriti dua pertiga. Justeru, sudah sampai masanya PAS dan UMNO bersatu untuk melaksanakan undang-undang Islam.

Namun begitu, sanggupkah Mursyidul Am PAS menyahut cabaran ini? Prejudis PAS terhadap UMNO terlalu tinggi, berbanding sangka baik mereka terhadap ultra kiasu. Semakin kuat PAS bercakap pasal Islam, semakin kuat pula ultra kiasu menentang Islam. Sudah sampai masanya PAS membuat kajian kenapa ultra kiasu masih menentang Islam daripada memberikan jawapan simplistik, mereka masih belum faham Islam disebabkan UMNO.

Kadangkala saya cukup hairan, kenapa kita begitu ghairah dengan hudud, sedangkan ruang dan peluang untuk kita melaksanakan cara hidup Islam yang lain masih terbentang luas? Gunakanlah ruang dan peluang terlebih dahulu. Beritahu kepada mereka larangan Islam seperti zina, judi, seks bebas, dan sebagainya adalah isu bersama atau isu semua agama. Saya yakin, isu inipun tidak dapat dipersetujui oleh ultra kiasu, sebab mereka memperjuangkan hak-hak asasi manusia dan negara sekular.

Tidakkah lebih baik setelah bukan Islam faham nanti, barulah kita bersama-sama fikirkan cara untuk melaksanakan cara hidup Islam sepenuhnya? Ini tidak, masa dan tenaga banyak terbuang memikirkan sesuatu yang amat sukar untuk dilaksanakan.

Yakinlah, hari ini UMNO sudah banyak berubah berbanding dahulu. Ya, dahulu memang UMNO kuat buat endah tidak endah apabila bercakap tentang Islam. Namun, hari ini semakin ramai generasi muda yang cenderung kepada Islam. Cuma pendekatannya sahaja berbeza dengan pendekatan PAS. Saya tidak menafikan peranan PAS yang turut menyumbang kepada UMNO untuk memahami Islam dan melaksanakan cara hidup Islam walaupun belum sepenuhnya.

Cubalah buat sedikit perbandingan bagaimana ultra kiasu bersatu dan mendesak kita. Terbaru, mereka mendesak agar dua orang pengetua sekolah yang mengeluarkan kenyataan rasis meletak jawatan atau ditukarkan. Isu pengetua rasis dijadikan berita utama saban hari seolah-olah tidak ada lagi berita lain dalam media mereka. Tujuannya tidak lain, untuk menunjukkan suara mereka kuat dan boleh menggugat kedudukan kerajaan yang memerintah. Mereka bersatu hati dan tidak pernah berputus asa mendesak kerajaan mengenakan tindakan terhadap mereka yang kononnya didakwa sebagai rasis, sehinggalah kerajaan tunduk, barulah mereka berpuas hati.

Saya juga ingin melihat mereka melakukan tindakan yang sama terhadap insiden menyimbah cat merah dan botol arak di salah sebuah surau di Seremban baru-baru ini. Adakah mereka bertindak sedemikian? Adakah umat Islam bertindak seperti mereka memaksa pesalah-pesalah tersebut dibicarakan atau dipenjarakan? Yang saya lihat, kita cuba tutup isu ini. Malahan identitinyapun kalau boleh kita mahu rahsiakan. Kalau boleh, kita mahu cepat-cepat ‘cover’ isu ini dengan mengatakan ia tidak kaitan dengan isu rasis. Persoalannya, kenapa bila pada kita semuanya rasis? Siapakah sebenarnya rasis?

Remaja yang terlibat dalam insiden membakar gereja dikenakan hukuman penjara lima tahun. Itupun masih ada yang tidak berpuas hati dengan hukuman tersebut.

Bagaimanapun, insiden surau ini tidak banyak diperbesarkan seperti mana isu pengetua rasis, malah umat Islam menerimanya melalui permohonan maaf. Sifat terpuji ini amat saya kagumi. Bukannya seperti politik ultra kiasu, bila kena orang Islam, macam-macam tindakan mahu dikenakan. Namun, bila kena pada batang hidung sendiri, disenyapkan dan cukup sekadar permohonan maaf. Merdekakah kita? Kenapa tidak menghargai toleransi ini? Siapakah yang lebih bertoleransi?

Sama juga insiden kenyataan Ketua Wanita Gerakan, apabila beliau mengeluarkan kenyataan bahawa orang Melayu itu adalah juga pendatang sepertimana orang Cina dan India. Adakah itu kenyataan ini tidak rasis? Saya jarang pernah dengar ultra kiasu mendesak beliau meminta maaf, atau dipaksa letak jawatan atau ditukarkan ke mana-mana? Yang saya dengar mereka menyokong lagi kenyataan tersebut. Kena pada orang lain, buat-buat pejam mata, kena batang hidung sendiri, melompat seperti cacing kepanasan.

Satu kes lagi, Namewee pernah rapkan lagu kebangsaan Negaraku dan lagu-lagu lain yang kandungannya menghina orang Melayu, hak istimewa orang Melayu, agama Islam, Tenaga Nasional, polis dan sebagainya. Saya minta para pembaca membuat carian dalam internet. Pernahkah parti-parti ultra kiasu dan akhbar-akhbar yang sewaktu dengannya, menyuruh beliau minta maaf seperti mana yang didesak terhadap pengetua rasis? Jika orang lain semuanya rasis, orang sendiri tidak rasis. Malah, tindakan Namewee turut disanjung. Beliau dianggap sebagai hero.

Air mata saya mengalir bila membaca komen daripada salah seorang pengunjung blog berbangsa Cina yang menggunakan nama CinaMalaysia dengan kata-kata: “inilah masalah segelintir kami, apabila kami bercakap sedikit mengenai perkara yang kononnya kurang memihak kepada kami, ramai rakan-rakan sebangsa kami akan mengatakan bahawa kami ini sudah dihasut. Hinakah kami kerana kononnya gagal berfikir dengan baik”?

Pandangan CinaMalaysia dalam blog saya dikutuk habis-habisan. Hanya kerana Cina yang memahami sejarah berhujah, mahukan bukan Melayu menghormati perlembagaan, dan menghargai orang Melayu yang terlalu banyak bertoleransi kepada bukan Melayu.

Saya fikir jika ramai orang seperti ini dalam negara kita setelah 53 tahun merdeka, sudah tentu kita boleh tumpukan seluruh masa dan tenaga untuk membangun ummah dan negara. Malangnya, masih ramai di luar sana yang ultra kiasu. Asyik bercakap soal hak dan tidak pernah bersyukur. Inilah yang membantutkan pembangunan negara.

Saya fikir kerajaan yang diketuai oleh orang Islam semakin terbuka. Statistik terbaru menunjukkan bahawa peningkatan bukan Melayu dalam perkhidmatan awam bertambah lebih dari seratus peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Kenapa kita masih belum berpuas hati? Malah, berbagai pasukan pemantau ditubuhkan untuk memastikan setiap bangsa mendapat lebih apa yang sepatutnya dia dapat? Apakah ini dinamakan kemerdekaan sebenar?

Kita sepatutnya berfikir dan merancang untuk membina bangsa Malaysia berasaskan perlembagaan. Bangsa Malaysia sepatutnya telah terbentuk sejak awal-awal lagi apabila kontrak sosial diterima. Malangnya, kita terus melayan tuntutan demi tuntutan sehingga akhirnya keadaan menjadi caca merba. Setiap bangsa mengikut cara masing-masing yang langsung tidak mencerminkan bangsa Malaysia. Itupun mereka tidak berpuas hati.

Justeru, saya pohon bacalah sejarah negara ini dengan hati yang terbuka. Janganlah terlalu melihat orang lain rasis, sebenarnya kitalah yang terlalu rasis. Tetapi sengaja ditutupkan supaya tidak nampak rasis. Kita sebenar masih belum merdeka. Pemikiran kita terhadap kaum sendiri amat menebal.

Kenapa kita yang telah begitu lama hidup bersama masih tidak memahami psikologi dan cara pemikiran serta budaya masing-masing, berbanding dengan Swettenham, Maxwel dan Winstedt. Tidakkah wajah-wajah ini dan semangat mereka sepatutnya muncul setelah 53 tahun kita merdeka? Selamat menyambut hari kebangsaan.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

http://ridhuantee.blogspot.com/2010/08/merdekakan-pemikiran-perkauman.html

Kenapa Semua ini berlaku ....

Kenapa semua ini berlaku selepas 53 tahun negara kita merdeka

HARI ini genap 20 hari umat Islam menunaikan ibadah puasa. Maknanya kurang 10 hari lagi kita akan menyambut ‘hari kemenangan’ melawan hawa nafsu. Sementara menunggu ‘hari kemenangan’ itu, jangan lupa, esok juga merupakan ‘hari kemenangan’ bagi rakyat Malaysia.

Esok kita akan menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-53. Jika Malaysia boleh diumpamakan seorang insan, sudah pasti ia begitu matang dan semakin menghampiri usia persaraan dalam perkhidmatan awam. Tetapi Malaysia bukanlah manusia yang mampu mencorakkan dirinya sendiri. Manusia yang melata di muka bumi Malaysia inilah yang mampu membentuk ke mana hala tuju negara ini dalam usia yang semakin meningkat itu.

Rupa bentuk ‘hayat’ Malaysia ditentukan oleh manusia di dalamnya. Maknanya, kitalah yang akan menentukan corak masa depan negara ini. Apakah kita mahu ia terus maju mengisi kemerdekaan atau dibiarkan terlingkup dalam sekelip mata? Berjuang mencapai kemerdekaan bukanlah senang tetapi untuk menjahanamkannya terlalu mudah. Ibarat meruntuhkan sebuah bangunan lama, cukup dengan pemasangan bahan peledak, maka runtuhlah bangunan itu menyembah bumi. Malahan dengan teknologi yang ada, bangunan itu boleh diruntuhkan secara senyap. Itu bangunan.

Tetapi bagi sesebuah negara, manusia memainkan peranan penting sama ada untuk mempertahankan keharmonian yang ada atau mahu memusnahkannya secara senyap bagi mencari ‘kemerdekaan baru’.

Merdeka membawa maksud bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan; lepas daripada tebusan, tuntutan; berdiri sendiri atau tidak bergantung kepada yang lain.


Bebas daripada penjajahan telah kita nikmati pada tanggal 31 Ogos 1957. Sejak detik itu, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama hidup harmoni sehinggalah pada 13 Mei 1969, tercatat peristiwa hitam akibat perselisihan antara kaum.

Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan untuk meredakan ketegangan. Tetapi sudah lumrah manusia yang cepat lupa sejarah apabila mereka dalam keadaan selesa. Mungkin ada yang menganggap sejarah tidak lagi relevan. Akibatnya ada pihak yang mendakwa seolah-olah mereka dijajah dan mahu mencari kebebasan atau kemerdekaan baru. Mereka membuat pelbagai tuntutan untuk mencari ‘kebebasan dan keadilan’ sebagai warganegara. Kontrak sosial yang disepakati sejak merdeka cuba dirobek. Perlembagaan cuba digugat. Malahan mahu dirangka Perlembagaan baru.

Kita lupa bahawa tindakan seumpama itu boleh menyakiti hati orang lain malahan boleh merosakkan perpaduan dan kesepakatan yang sedia terjalin. Ditambah pula dengan gelora politik yang boleh mengancam kemerdekaan.

Tanyalah diri anda, adakah kemerdekaan yang berusia 53 tahun ini tidak memberi apa-apa makna kepada ‘kebebasan’ kehidupan selama ini? Selepas 53 tahun, adakah perpaduan kita semakin mantap atau bertambah rapuh dan longgar?

Dalam usia 53 tahun ini, semakin ramai bercakap mengenai hak mereka yang dulunya tidak pernah kedengaran.

Persoalannya kenapa tiba-tiba sahaja isu ini dibangkitkan? Dulu tidak ada yang berani mempermainkan lagu Negaraku dan mempersendakan Jalur Gemilang. Satu persatu prinsip Rukun Negara juga cuba diabaikan.

Adakah perpaduan kita sudah terlalu kukuh untuk bereksperimen bagi mencari kebebasan baru dalam sebuah negara merdeka ini?

Seperti yang diselak minggu lalu, kenapa perlu ada Melayu demonstrasi pijak kepala lembu? Kenapa ada Melayu bakar gereja? Kenapa Melayu seperti Ahmad Ismail, Nasir Safar dan Cikgu Siti Aishah Mansor tiba-tiba saja muncul dan didakwa bercakap atau mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman? Kenapa NGO Melayu seperti Perkasa pimpinan Ibrahim Ali muncul begitu lantang, ‘cemas dan kalut’ memperjuangkan hak Melayu? Kenapa Melayu Pulau Pinang seperti Pak Pak Ali berani menepuk bahu Guan Eng dan kenapa ada Melayu ‘serang’ Guan Eng semasa ke majlis berbuka puasa?

Semuanya ini ada puncanya. Mereka bukan suka-suka bertindak atau bercakap. Hati mereka terluka dan dilukai angkara tindak tanduk pihak yang berani menjolok sarang tebuan.

Maka berhati-hatilah ketika berkata-kata dan bertindak. Jangan ada di kalangan pemimpin politik yang bertindak seperti gunting dalam lipatan, musang berbulu ayam atau musuh dalam selimut sehingga mewujudkan api dalam sekam.

Di samping itu, isu-isu berkaitan agama jangan dipermainkan. Walaupun ada pihak yang mempertahankan dengan hujah masing-masing tetapi hakikatnya, majoriti menolak. Katalah mereka cetek agama, kolot atau sebagainya tetapi majoriti tidak dapat menerima alasan yang diberi kecuali selepas diasak atau dipengaruhi kepentingan politik. Sejak kecil kita dididik mengenai adab di dalam masjid. Ada juga yang mencipta had atau batasan tertentu kepada anak-anak kecil kita - lelaki dan perempuan - yang beragama Islam ketika di dalam masjid. Anak gadis dan isteri kita yang di dalam keadaan ‘kotor’ juga dilarang masuk ke ruang solat itu. Adakah peraturan yang ada tiba-tiba dikorbankan hanya kerana politik? Adakah kerana ia bukan Islam, semuanya dimaafkan? Kenapa berpakaian menampakkan susuk tubuh, tidak menutup aurat dibolehkan dan suara wanita bukan lagi dianggap sebagai aurat?

Sebenarnya banyak perkara yang jijik ‘dihalal atau dibolehkan’ hanya kerana politik. Memaki hamun, memfitnah dan macam-macam lagi yang mengaibkan seseorang dibenarkan kerana politik.

Begitu juga dengan mendoakan kesejahteraan orang bukan Islam dalam khutbah Jumaat. Kenapa bukan Islam? Masih banyak umat Islam yang perlu didoa dan didakwah supaya mereka mendapat hidayah. Kenapa tidak didoakan supaya seluruh bukan Islam menerima hukum hudud?

Doa belum pasti dimakbulkan. Banyak doa ditolak kerana kesilapan dan kekurangan orang yang berdoa itu sendiri. Sudah lama umat Islam berdoa agar Palestin bebas merdeka tetapi apakah kesudahannya? Doa tanpa ikhtiar dan doa tanpa ‘membersihkan’ diri sendiri tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Zaman sudah berubah. Penulis dilahirkan selepas merdeka. Pastinya Melayu sebelum merdeka tidak sama seperti Melayu sekarang. Begitu jugalah orang Cina dan India.

Penulis tidak hidup pada zaman Arab jahiliah atau Arab zaman Rasulullah SAW. Tetapi sudah tentu orang Arab jahiliah dan Arab zaman Rasulullah SAW sama ada dari segi perwatakan dan pemakaiannya tidak sama dengan orang Arab masa kini. Begitu jugalah rupa bentuk masjid dan surau tidak sama dengan apa yang ada hari ini. Tetapi wajarkah peraturan dan adab sopan diubah? Benar perubahan sentiasa berlaku. Pas juga berubah. Lebih terbuka, lebih moden, lebih bebas berbanding pada masa lalu.

Selamat menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan Malaysia. Merdeka! Merdeka! Merdeka!


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm

Khamis, 19 Ogos 2010

Saman Ekor

Terima kasih kepada kerajaan kerana menangguhkan perlaksanaan "blacklis" kepada pemilik saman ekor yang kini menjangkau kepda hampir semua kereta di Malaysia ini. Sesungguhnya saya memahami hasrat kerajaan ingin memastikan keselamatan jalan raya kepada semua pengguna jalan raya di Malaysia. Tidak juga saya berniat untuk menyokong sebarang perlanggaran kesalahan lalu lintas yang akhirnya sudah tentu akan menganggu dan membahayakan pengguna yang lain.

Namun beberapa kajian harus dibuat untuk mengkaji keberkesanan sistem saman ekor yang ada dan juga jumlah saman maksimun yang dikenakan juga perlu dikaji semula. Sistem saman ekor ini sudah dilaksanakan hampir beberapa tahun dan melalui laporan ops sikap saban tahun nampaknya tidak ada penyelesaian kepada masalah kemalangan di jalanraya. Beberapa faktor dikenal pasti termasuk kenderaan yang dipandu laju( bukan satu-satunya faktor ), keadaan jalan, sikap pemandu yang kurang sabar, kenderaan dipandu terlalu perlahan, sikap tidak bertimbang rasa, kenderaan berat, dan lain-lain faktor yang dikenal pasti.


Faktor-faktor ini sudah tentu dikaji oleh pihak kerajaan dari masa kesemasa tetapi yang menjadi pokok kepada artikel ini ialah kemuncak kemarahan rakyat berkenaan saman ekor ini ada beberapa perkara iaitu ;

Yang pertama ialah lambatnya makluman tentang saman ekor ini diketahui oleh pengguna menyebabkan mereka tidak tahu mereka telah disaman.

keduanya jumlah maksimun yang dikenakan sebanyak RM 300 adalah terlalu membebankan rakyat kebanyakannya terutamanya apabila saman ekor tersebut terlalu banyak dan terkena dijalan yang lurus dan kurang berbahaya tetapi diletakkan disitu oleh pihak polis kerana kadang-kadang pengguna tidak sedar mereka telah memandu melebihi had yang ditetapkan.

Ketiganya apabila saman ekor tersebut lambat diketahui dan jumlah mula terkumpul maka jumlah penyelesaiannya akan bertambah dan seterusnya membebankan pemilik kenderaan tersebut walaupun beliau tidak berniat untuk melakukan kesalahan. Bayangkan sekirannya terdapat 7 saman yang perlu dibayar dan jumlah setiap satunya sebanyak RM 300 walaupun kesalahan yang berbeza dan tanpa rayuan akan menjadikan rakyat berasa kerajaan terlalu zalim dan bertindak memeras duit rakyat tanpa hak untuk membela diri.

Oleh yang demikian saya kira kerajaan perlu lebih berhati0hati dalam melaksanakan sasuatu polisi atau dasar dan jangan hanya berpandu kepada KPI atau NKRA tanpa memikirkan kebajikan sosial rakyat yang akhirnya akan menggunakan kuasa mereka pada PRU 13 untuk memilih kerajaan mereka.


Nik Aziz...

Baca kenyataan2 Nik Aziz. Muhasabah dan bertaubatlah … Baik untuk bulan puasa.

Negara Islam

1. “Bukan sahaja dalam menifesto, dalam perlembagaan PAS sendiri memang tidak mengandungi satu perkataan pun untuk menubuhkan sebuah negara Islam, dia (DAP) boleh tengok sendiri dan baca perlembagaan itu.” - Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 4 Ogos 2001.

2. “PAS Sedia gugur slogan negara Islam, jadi untuk mencari perdamaian itu, setakat mana yang boleh kita hendak kepada Islam, tapi kalau nampak menyusahkan tak apa…” - Nik Aziz Nik Mat, Berita Harian, 25 Jun 1999.

3. “Tafsiran negara Islam yang dikehendaki oleh PAS sebenarnya sudah terkandung dalam Manifesto Barisan Alternatif (BA) yang dikemukakan pada pilihanraya yang ke-10 itu.” - Nik Aziz Nik Mat, Harakah 1-15 Ogos 2001.

4. “Negara kita Malaysia belum merdeka lagi kerana perlembagaannya masih perlembagaan kafir.” - Khutbah Nik Aziz Nik Mat di Masjid Pengadang Baru, Marang, Oktober 2001.

Kafir Mengkafirkan

1. “Terdapat unsur kafir dalam UMNO kerana parti itu menolak Islam dalam pentadbiran negara, UMNO juga ada ciri kafir” - Ceramah Nik Aziz Nik Mat di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, 3 Julai 1999.

2. “Jika melawan UMNO tiba-tiba meninggal dunia, maka kita dikira mati syahid.” - Kuliah Nik Aziz Nik Mat di Masjid Kg Pulau Melaka.

3. “UMNO tetap parti sekular kerana asas perlembagaanya tidak merujuk al-Quran dan Hadis.” – Nik Aziz Nik Mat, Harakah, 22 Februari 1999.

4. ‘‘Tiada sebab langsung orang Islam tolak Islam. Islam yang dibawa oleh UMNO ini Islam kacukan, Islam plastik. Macam duit palsu, ubat palsu, makanan palsu. Ini Islam palsu yang dibawa UMNO. Islam ini tidak boleh bawa ke akhirat, tidak boleh bawa ke syurga, dia boleh bawa dekat pintu kubur. Bertengkar atas muka tak habis-habis dengan Melayu sendiri boleh bertengkar.’’ – Nik Aziz Nik Mat, Rakaman Audio di Sidang Akhbar di Pulau Pinang pada 17 Ogos 2009.

5. “Menentang PAS adalah Haram mengikut al-Quran.” - Nik Aziz Nik Mat, Berita Minggu, 24 April 1994

Kerjasama dengan bukan Islam

1. “Kita bersyukur dengan pendirian DAP sekarang, kerana mereka sudah berubah sikap dan sanggup bekerjasama dengan PAS, asalkan tidak mendirikan negara Islam” - Nik Aziz Nik Mat, Berita Harian 12 Mei 1999.

2. “Orang-orang Islam yang berkongsi dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara, menjadi kafir atau haram” - Hukum Dewan Ulama PAS Kelantan, Ogos 1963.

3. “PAS boleh terima pemimpin DAP jadi Perdana Menteri, tidak ada apa, asalkan dia terima syarat yang ditetapkan oleh Barisan Alternatif.” - Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 6 November 1999.

4. “Saya di antara orang yang cukup kuat menyokong untuk meluaskan keahlian PAS ini kepada orang bukan Islam.” - Nik Aziz Nik Mat, Kota Bharu, 1999.

5. “Ini penting kerana kita juga mahukan sokongan dan undi bukan Islam dalam usaha memenangi pilihanraya umum akan datang” - Nik Aziz Nik Mat, Ucapan di Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-31, Petaling Jaya, 24 Mei 2004.

6. “Jika Nabi Muhammad boleh menandatangani perjanjian dengan musuh tradisi Islam, iaitu kaum Yahudi, sebaik tiba di Madinah, PAS juga sanggup bekerjasama dengan DAP.” – Nik Aziz Nik Mat, Berita Harian, 12 Mei 1999.

7. “DAP kalau hina Islam pasal dia bukan Islam. Yang orang Islam tolak Islam itu lebih menghina Islam,”

– Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 12 Ogos 2009.


Hukum Mencarut


1. “Allah sendiri gunakan perkataan memaki, mencemuh atau mencarut, jadi manusia sendiri berpeluang menggunakan maki hamun, tapi terserahlah kepada manusia di mana tempatnya.” – Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 28 April 1999.

2. “Islam tidak melarang umatnya mengeluarkan perkataan mencarut dan mencaci seseorang jika kena pada tempat dan masanya, kerana ia sudah menjadi salah satu naluri.” - Nik Aziz Nik Mat, Berita Harian, 29 April 1999.

Kerjasama dengan Syaitan dan Malaikat

1. “Siapa yang nak tolong kerajaan Islam, kami sebagai pemimpin Islam mesti terima sama ada DAP, MCA, dan MIC. Kalau nak tolong mengapa kita tolak. Jika DAP ikhlas nak tolong PAS, saya terima. Usahkan DAP, syaitan pun boleh saya terima.” - Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 24 Januari 1999.

2. “Memang ada lagi persefahaman antara PAS dengan Malaikat, sebab itulah APU (Angkatan Perpaduan Ummah) memerintah lagi (di Kelantan)”. – Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 27 April 1995.

Allah Samseng

1. “Percaya-ae (kepercayaan) manusiyo (manusia) kepada kiamat menyebabkan seganah-ganah (seganas-ganas) manusia akan tok (tak) jadi ganah. Kerana dia yakin walau bagaimana ganahnya aku dan bagaimana pangkat… tingginya pangkat aku, tapi apalah nasib aku apabila aku berdepae (berdepan) dengan padang mahsyar. Di padang mahsyar kelak ada lagi yang lebih gagah daripada aku namanya Allah Subhanahuwataala. Ada lagi yang lebih jabaruut, lebih samseng daripada aku iaitu Allah Subhanahuwataala. Ada lagi yang lebih angkuh daripada aku iaitu Allah Subhanahuwataala. Dan nama Allah Subhanahuwataala satu daripada namanya al-Mutakabbir, al-Jabbarul Mutakabbir. ( Al-Jabbar maknanya gagah kuasa ataupun kita panggil samseng. Al-Mutakabbir sombong, angkuh.) Akulah oghaenya (orangnya) sombong, tok denga (dengar) kato (kata) orang lain. Itu satu daripada sifat Allah Taala. Samseng pun dok (ada) di aku, hanelan (handalan) pun dok di aku, somong (sombong) pun di aku. Kalu (kalau) samseng, aku lebih samseng. Kalu mu jahat, aku lebih jahat, kalu mu somong (sombong) aku lebih somong. Percayaan kito manusiyo kepada akidah nilah, akidah akhirat kito panggil menyebabkan orang Melayu yang sokong Pas ni tidak jahat…” – Rakaman Ucapan Nik Aziz Nik Mat berhubung isu Allah Samseng, Utusan Malaysia, 31 Julai 2002.

Pengundi Hantu

1. “Ya Allah, aku mohon butakan mata pengundi-pengundi hantu supaya mereka tidak Nampak simbol lain kecuali simbol PAS. “ – Doa Nik Aziz Nik Mat pada 27 Mei 1999 diaminkan oleh kira-kira 3000 penyokong beliau dalam satu majlis makan malam dan cerah PAS di Sungai Bakut, Nibong Tebal.

Haram Wanita Bekerja

1. “Kerajaan PAS Kelantan akan mengkaji kemungkinan melarang wanita bekerja. Tidak adil membiarkan wanita, kerana lelaki dari segi fitrahnya mempunyai tanggungjawab mencari nafkah bagi menanggung kehidupan keluarga.” – Nik Aziz Nik Mat, 16 Mac 1999 di Kota Baharu.

Undi PAS masuk syurga

1. “Islam bawah UMNO tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga. Berdasar perkara itu, saya percaya penduduk di kawasan Permatang Pasir akan memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka,” – Ucapan Nik Aziz Nik Mat kepada pemberita di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada 17 Ogos 2009 selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Arak

1. “Kelantan menggunakan hasil cukai arak, lesen anjing dan sebagainya bagi menampung kos membuat jalan dan lain-lain projek pembagunan. Arak itu sendiri boleh diminum oleh bukan Islam, jadi bila minum oleh mereka, maka untuk menjaga keselamatan, kerajaan mengambil duit dari mana?” - Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 26 November 1994.

2. “Bagi penjualan arak, ia hanya dibenar jual oleh orang bukan Islam kepada golongan itu sahaja, kerana jika ia diharamkan sudah tentu menyulitkan orang bukan Islam untuk menikmatinya.” - Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 19 November 1992.

Kepentingan politik PAS

1. “Tidak ada orang yang berhak menjaga dunia ini, kecuali orang yang belajar ilmu agama Islam.” - Nik Aziz Nik Mat, Berita Harian, 17 April 1995.

2. “Tiada sesiapa di muka bumi ini yang tahu menjaga dunia termasuk menguruskan soal budaya, ekonomi serta harta benda, melainkan ulama.” - Nik Aziz Nik Mat, Utusan Malaysia, 6 November 1999.

3. “Para imam hendaklah faham bahawa ada anak-anak mukim tidak mahu menuruti imam yang beraqidah politik suku, agama suku, kerana boleh menyebabkan sembahyang tidak sah.” – Nik Aziz Nik Mat, Harakah, 4 Mac 2001.

4. “Jika ada parti lain yang menentang kepimpinan PAS yang menjalankan pemerintahan cara Islam, ia adalah haram.” – Nik Aziz Nik Mat, Harakah, 23 April 1994.


Orang tua ni dah bingung pun ya, bengong pun ya … Dah tak boleh diikut lagi.

Tengok muka dicermin, makan karipap dan tanya pada diri sendiri: Are you okay? Jawapannya.