Selasa, 31 Ogos 2010

Isu Namewee Bukan Isu Politik

EZARUDDIN ABD RAHMAN

KISAH seorang pemuda Namewee bukanlah satu isu yang baru kerana menghasilkan klip video berunsur perkauman dan hasutan. Sebelum ini, beliau telah menghina Perdana Menteri, kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam kita sibuk membuat persiapan untuk menyambut hari kemerdekaan negara yang ke-53, seorang pemuda pula sibuk menghasilkan video klip semata-mata mahu menjejaskan keharmornian kaum.

Sampai bila kita ingin membiarkan orang yang bernama Namewee terus bebas dengan rasa megah dan mencipta keseronokan menghina kerajaan dan membuat klip video berunsur fitnah dan hasutan.

Kita bimbang jika kerajaan tidak tegas menangani isu ini, ia akan melahirkan lebih ramai lagi Namewee. Kita mempunyai undang-undang dan sikap seperti ini tidak harus diteladani oleh generasi muda.

Isu ini sebenarnya telah mendapat perhatian masyarakat sejak sekian lama. Jika kita selidiki banyak pihak telah menggunakan media baru seperti Facebook, Twitters, Youtube dan blog untuk menghina dan memaki hamun kerajaan dan juga membangkitkan kebencian kaum.

Sesungguhnya perbuatan beliau ini melampaui batas dan boleh mengundang perdebatan dan akhirnya akan menyebabkan berlakunya perpecahan kaum dan keharmonian.

Cadangan Perkasa agar Namewee dibuang negeri adalah tindakan yang wajar kerana ia akan memberi pengajaran kepada rakyat Malaysia agar sentiasa menghormati undang-undang.

Tindakan Namewee itu sengaja mencetuskan kemarahan dan ketenteraman awam. Tindakan beliau sebenarnya untuk mengheret dan menghasut orang ramai untuk berdebat tentang isu perkauman.

Saya berpendapat media baru yang tidak terkawal itu seperti bom jangka dan seperti anai-anai yang akhirnya akan memusnahkan sebuah bangunan. Perpaduan kaum akan menjadi lebih sukar jika rakyat tidak memahami makna keharmonian.

Jika kita buka minda, kekeruhan kaum semakin teruk sejak pilihan raya umum yang lalu. Sikap tidak ambil peduli segelintir pihak untuk menjadi jaguh mencetuskan kontroversi semakin ramai. Pihak-pihak tertentu dan ahli-ahli politik semakin berani mencabar Perlembagaan, menghina Sultan malah mencabar tentang isu perkauman.

Siapakah dalang dan apakah tujuan kumpulan ini bergerak dengan sewenang-wenangnya tanpa rasa takut dan merasakan kebal daripada segi undang-undang. Sekarang sudah ada perkara yang mendukacitakan, siapa yang berani mencabar Perlembagaan Negara dianggap sebagai hero dan diarak oleh pihak-pihak tertentu.

Dalam kita menyambut kemerdekaan ke-53, saya merasakan kemerdekaan kita akan hilang makna dan seri jika semakin ramai rakyat sibuk menghancurkan negara.

Banyak isu yang melibatkan perkauman, menghina Sultan, mencabar hak keistimewaan orang Melayu dan menghina Islam berlaku sejak kebelakangan ini. Jika ia dijadikan ukuran kemerdekaan, nampaknya kita semakin tercabar dan ia hanya merugikan rakyat sendiri.

Tindakan kumpulan minoriti berselimutkan perjuangan demokrasi telah menjejaskan perpaduan kaum dan mereka kini semakin berkeliaran di dalam media baru. Jangan sampai satu hari nanti, Malaysia menjadi huru-hara kerana wujudnya kumpulan anti perpaduan ini.

Kumpulan ini hanya ingin melihat negara kucar-kacir dan bergolak dan hanya akan puas jika Melayu, Cina dan India hidup dalam keadaan berprasangka buruk. Ini adalah agenda politik jahat dan pastinya politik cara ini hanya akan membawa negara ke arah kehancuran.

Saya juga berharap agar Kementerian Dalam Negeri bergerak dengan lebih tegas dalam soal berkaitan keharmonian kaum. Kita juga berasa kesal banyak buku fitnah yang diterbitkan dijual di merata-rata tempat. Buku yang dianggap sampah ini hanya akan meracuni pemikiran rakyat terutamanya generasi muda.

Risalah-risalah berkaitan provokasi supaya rakyat menukar perlembagaan semakin berleluasa. Saya sendiri telah membaca risalah tersebut dan mengakui bahawa ia berbentuk provokasi supaya rakyat bersatu menukar Perlembagaan Negara.

Kementerian Dalam Negeri harus menjadi 'singa' dalam kita berhadapan dengan banyak pihak yang sedang rancak menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum.

Semoga rakyat faham tindakan terhadap Namewee nanti bukanlah bermotifkan politik, sebaliknya untuk mengajar rakyat bahawa kita mempunyai undang-undang dan sikap menghina negara bukanlah sesuatu yang harus diteladani dan dibanggakan.

Saya tidak hairan jika Namawee akan dijaja oleh pihak-pihak tertentu sebagai hero rakyat yang kononnya menuntut perubahan dan kebebasan. Bagi saya, perpaduan kaum adalah keutamaan dan ia adalah tunjang kekuatan dan kemakmuran Malaysia.

Marilah kita dalam semangat 1Malaysia bersatu untuk terus menyuburkan keutuhan yang kita bina sekian lama. Tok Janggut, Mat Kilau, Datuk Bahaman dan banyak lagi pahlawan sanggup menangis untuk mempertahankan negara. Jangan pula kita menangis kerana hendak mempertahankan seorang pemuda yang bernama Namewee.


1 ulasan:

  1. Salam.
    Very well said.

    Saya selaku seorang Melayu, yang tiada lagi negara lain, selain dari Negara bertuah ini berpendapat,individu ini dan beberapa lagi individu lain, sebenarnya bukan setakat mencabar Kerajaan yang sah ini.

    Puak-puak ini sebenarnya mencabar bangsa Melayu.
    Apa yang Melayu boleh buat.
    Begitu lama dan bermacam penghinaan dibuat terhadap orang Melayu dan Perlembagaan Negara, namun pihak-pihak yang berwajib masih mahu tunggu dan lihat.

    Saya amat khuatir kalau orang Melayu dah mau buat keputusan sendiri-sendiri juga, negara dalam bahaya.

    Cegahlah sebelum parah.

    BalasPadam