Selasa, 22 Jun 2010

UMNO MESTI BERANI

UMNO satu-satunya parti politik nasionalis Melayu kini sedang hebat dilanda pelbagai 'ujian'. Antara ujian yang dihadapi adalah seperti berikut:

* Krisis kepimpinan dalam parti yang menyaksikan 'pergeseran' di peringkat kepimpinan UMNO di beberapa buah negeri;

* Integriti dan kepimpinan UMNO dalam Barisan Nasional seringkali 'dipersoalkan' oleh parti-parti komponennya;

* Cabaran yang bertali arus dari parti-parti pembangkang - Pakatan Rakyat;

* Kepercayaan dan sokongan rakyat yang semakin terhakis sejak peletakan jawatan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; dan

* Wujudnya sikap 'tidak ambil peduli' dalam kalangan segelintir pemimpin dan penyokong UMNO terhadap keadaan parti tersebut serta lupa matlamat sebenar perjuangan dalam UMNO.

Sama ada ingin percaya ataupun tidak, inilah realiti sebenar yang sedang dihadapi oleh UMNO sebagai sebuah parti politik nasionalis Melayu dalam mengharungi arena politik tempatan yang sesungguhnya semakin mencabar dan 'ganas'.

Walaupun senario sebegini, jatuh dan bangunnya parti politik pemerintah boleh disifatkan sebagai satu lumrah atau kebiasaan dalam dunia politik tempatan di mana-mana negara di serata pelosok dunia. Dalam hal ini, pemimpin dan penyokong parti politik tersebut tidak seharusnya mengambil pendekatan 'berdiam diri' atau 'tunggu dan lihat' terhadap apa yang sedang dan bakal berlaku, serta menyerah 'bulat-bulat' kepada takdir untuk menentukan masa depan parti mereka sendiri.

Jika sesebuah parti politik ingin mengekalkan kuasa kerajaan yang mereka pimpin, meningkatkan sokongan rakyat, serta untuk terus kekal relevan sepanjang masa, usaha 'keras' perlu dilakukan untuk 'memulihkan' kredibilitinya pada 'mata rakyat'.

Dalam konteks UMNO, rasanya telah banyak saranan-saranan diutarakan sama ada di peringkat atasan atau bawahan supaya UMNO berubah ke arah yang lebih baik terutamanya ketika parti tersebut berada dalam keadaan 'tidak stabil'.

Sungguhpun begitu, apa yang agak menyedihkan ialah semua saranan tersebut hanya tinggal pada nama sahaja. Tidak ada tindakan proaktif dibuat. Semuanya, baik pemimpin mahupun penyokong masih mengambil sikap 'tunggu dan lihat' siapa yang akan berubah dahulu.

Lebih buruk lagi, ada yang masih ingin menyalahkan antara satu sama lain, menuding jari kepada orang lain dan rakan seperti tanpa menyedari bahawa mereka juga mempunyai kelemahan yang tersendiri. Hasil daripada sikap yang tidak berfaedah itu, tiada sebarang perubahan yang konstruktif berlaku kepada UMNO, manakala imej parti tersebut masih tidak dapat dipulihkan seperti sediakala.

Apa yang jelas di sini adalah 'kegagalan' UMNO memberi respons terhadap semua tuntutan untuk berubah selaras dengan perkembangan politik semasa telah dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti persepsi dan budaya berpolitik yang sudah 'outdated'.

Pemimpin dan penyokong UMNO harus faham bahawa peranan UMNO sebagai sebuah parti nasionalis Melayu kini sudah pun mencapai tahap tepu dan telah berada di kemuncaknya. Kitaran pertama peranan UMNO sebagai parti politik yang mendokong perjuangan orang Melayu kini sudah pun lengkap dan sekarang sebenarnya sedang mengalami proses kitaran kedua yang cabarannya sangat hebat dan 'ganas'.

Bagi menghadapi proses kitaran kedua itu, UMNO memerlukan pembentukan persepsi dan budaya berpolitik yang berlainan dengan apa yang pernah ia amalkan sejak merdeka dahulu. Inilah proses transformasi politik yang sangat diperlukan UMNO untuk terus kekal relevan dalam konteks politik tempatan.

Begitupun, untuk melengkapkan proses transformasi politik itu, ia memerlukan sifat berani terutamanya dalam kalangan pemimpin UMNO di pelbagai peringkat kerana merekalah yang bertanggungjawab mencorak dan menentukan hala tuju parti tersebut. Sebaliknya, penyokong parti pula tidak mempunyai apa-apa 'kuasa' dalam soal ini.

Para pemimpinlah yang menentukan jatuh bangunnya UMNO sebagai sebuah parti politik nasionalis Melayu.

Justeru, perubahan ke arah proses transformasi politik dalam UMNO mesti diterajui oleh para pemimpinnya di pelbagai peringkat terutama pemimpin atasan yang 'beribu pejabat' di PWTC. Sebagai pemimpin tertinggi parti, mereka mesti berani membuat keputusan-keputusan 'strategik', bukan sahaja untuk masa depan UMNO tetapi juga orang Melayu dan Malaysia amnya.

Tanpa sifat berani, tiada apa yang boleh dilakukan oleh UMNO untuk memulihkan imej dan kredibilitinya pada 'mata rakyat'. Masih belum terlewat bagi UMNO untuk berbuat demikian. Sebaliknya, jika UMNO 'takut' untuk berubah, mungkin satu hari nanti, ia hanya 'berada' di muzium dan arkib menjadi tontonan pelawat sebagai 'bahan' sejarah yang membuktikan bahawa negara ini pernah pada satu ketika dahulu diperintah oleh sebuah parti politik nasionalis Melayu yang dikenali sebagai UMNO.

PENULIS ialah Pensyarah Sains Politik di Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

Khamis, 17 Jun 2010

MAKBULKAH "MIMPI SOLEH" PAS KE PUTRAJAYA


Pakatan Rakyat tetap dengan misi bersama mereka untuk mara ke Putrajaya pada Pilihanraya Umum ke 13 tetapi yang kelihatan kurang ghairah ialah DAP.

Walaupun menguasai 29 kerusi Dewan Rakyat sekaligus komponen terbesar dalam Pakatan Rakyat, PKR nampaknya paling ghairah kerana Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak lemah semangat untuk mencapai cita-citanya.

Sungguhpun PKR hanya tinggal 24 kerusi dalam Dewan Rakyat, Anwar Ibrahim tidak pula kehilangan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang.

Ianya semata-mata diatas belas ehsan DAP yang sepatutnya mendapat jawatan itu sebagai komponen terbesar.

Secara langsung, DAP yang membenarkan Anwar Ibrahim terus kekal dengan jawatan itu, seakan turut juga selesa dengan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebagai bakal Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat berjaya melangkah ke Putrajaya.

Di antara tiga parti dalam Pakatan Rakyat, sikap tidak ghairah dan sepi DAP membincang secara serius kemungkinan Pakatan akan menubuhkan kerajaan Pusat selepas PRU 13 menimbulkan berbagai tandatanya.

Malah kenyataan Anwar Ibrahim bahawa wakil DAP akan mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri juga dilihat tidak meransang sambutan pemimpin dan ahli parti itu.

Sebaliknya, yang ghairah sangat ialah PKR dan PAS. Umpamanya, Zaid Ibrahim telahpun menyarankan Pakatan segera mengumumkan kabinet bayangannya sendiri supaya dapat lebih meyakinkan pengundi bahawa Pakatan serius dan berkemampuan menubuhkan sebuah kerajaan alternatif.

PAS pula mengisytiharkan pelan tindakannya untuk menawan 60 kerusi parlimen dalam PRU 13 sebagai langkahnya kearah Putrajaya.

Gesaan Zaid sangat menarik kerana menjelangnya September 16, dua tahun , iaitu ketika Zaid masih berada dalam kabinet BN, saya juga acapkali mengesyorkan agar Pakatan Rakyat mengisytiharkan barisan kabinet bayangannya.

Namun, seluruh tumpuan ketika itu hanyalah kepada soal Anwar hendak mengambilalih pemerintahan negara pada tarikh tersebut.

Ianya seolah-olah tidak perlu difikirkan segala soal bersabit perkongsian kuasa dalam Pakatan Rakyat.

Malah, sehingga hari ini masih belum jelas seolah-olah perkara itu akan diselesaikan sebaik sahaja Anwar duduk di atas kerusi Perdana Menteri.

Soal perkongsian kuasa ataupun pembahagian kedudukan dalam kerajaan adalah soal amat penting kerana perasaan tidakpuashati seperti berlaku di Perak serta Pulau Pinang akhirnya membawa kepada penghijrahan keluar wakil-wakil rakyat PKR dan DAP dari parti mereka.

Sekarang Zaid pula membangkitkan soal ini. Anwar pula sudah menyatakan DAP akan mengisi satu jawatan Timbalan Perdana Menteri tapi pemimpin tertinggi PAS dalam reaksinya menyatakan tidak tahu menahu satu jawatan yang sama akan diisi pula oleh wakil PAS.

Bagaimanapun, soal pembahagian portfolio Kabinet masih dalam kesamaran. Siapakah yang akan memegang jawatan Menteri Kewangan, umpamanya? Bagaimana dengan jawatan Menteri Dalam Negeri atau Menteri Pertahanan?

Adakah PKR akan ikut cara Barisan Nasional dengan UMNO memegang jawatan-jawatan terpenting, iaitu suatu keadaan yang telah bermula selepas PRU 1969. Apa pula kehendak DAP? Mahukah DAP menjadi seakan MCA dengan memegang hanya jawatan Menteri Pengangkutan, Menteri Kesihatan dan Menteri Pelancongan?

Tentunya Tony Pua yang memainkan peranan penting di kalangan rakan-rakannya dalam DAP untuk menghuraikan isu-isu ekonomi dan kewangan tidak akan pula senang kiranya diketepikan dari jawatan Menteri Kewangan.

Reaksi PAS sebaliknya lebih agresif. Semasa Muktamarnya baru-baru ini, sebuah Pelan Tindakan dihuraikan dengan hasrat untuk menambahkan bilangan kerusi dalam Dewan Rakyat yang ketika ini berjumlah 23 sahaja kepada 60 kerusi pada PRU 13.

Malah Hadi Awang selaku Presiden PAS menyatakan “Cita-cita PAS bersama Pakatan Rakyat untuk ke Putrajaya sebagai satu mimpi soleh.” Mungkin ianya “mimpi soleh” untuk PAS tetapi mampukah DAP pula menerima “bermimpi soleh” ini.

Apakah jaminan penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) tidak menganggu mimpi-mimpi DAP dan PKR kerana kedua-dua parti rakan PAS itu sudahpun mempunyai keahlian dan ramai penyokong kalangan bukan-Muslim.

“Mimpi soleh” PAS untuk melangkah ke Putrajaya merupakan perubahan matlamat yang ketara bagi PAS sendiri kerana pada masa-masa lampau, pemimpin PAS asyik menegaskan bahawa perjuangan parti itu bukan semata-mata untuk mendapat kuasa tetapi untuk menegakkan perjuangan Islam.

Adalah baik apabila PAS sudah mengakui ianya sebuah parti politik juga dan tidak terlalu berbeza sangat dari parti-parti politik yang lain dari segi cita-cita untuk mendapat kuasa pemerintahan.

Matlamatnya untuk menambah kerusi Dewan Rakyat kepada 60 dalam PRU 13 juga membayangkan bahawa PAS bercita-cita pula untuk menjadi komponen dominan dalam Pakatan Rakyat seperti UMNO dalam Barisan Nasional.

Mampukah PAS dengan strategi baru DHPPnya menambah bilangan kerusinya dalam Dewan Rakyat? Prestasi PAS dalam pilihanraya kecil dimana calon PAS bertanding tidak pula sehebat prestasi parti-parti rakannya.

Umpamanya di Manik Urai, calon PAS menang begitu tipis dalam kawasan dan negeri kubunya. Calon PAS juga tewas di Bagan Pinang. Kedua-dua pilihanraya kecil ini selepas pilihanraya kecil di Kuala Trengganu, Permatang Pasir dan Bukit Gantang.

Sokongan kepada calon PAS yang merosot di pilihanraya kecil yang terbaru sekali tidak pula menurunkan keghairahan dalam Muktamar PAS tetapi sebaliknya, membuahkan suatu Pelan Tindakan “Mimpi Soleh” yang sungguh bersemangat.

“Mimpi soleh” ini tentunya mengandaikan Tsunami Politik II semasa PRU 13.

Cita-cita PAS untuk menang 60 kerusi yakni tambahan 37 kerusi adalah terhad kepada Semenanjung Malaysia sedangkan DAP dan PKR berkemampuan untuk menang kerusi-kerusi Dewan Rakyat di Sabah dan Sarawak, iaitu dua negeri dimana PAS tidak pula mempunyai sebarang kekuatan.

Kelemahan PAS ini, kalaulah berlaku Tsunami Politik II, bermakna “mimpi soleh” Hadi Awang agar PAS menjadi komponen dominan dalam Pakatan Rakyat lebih mungkin tinggal sebagai mimpi biasa sahaja. – 16/6/2010





Datuk Seri Shahrir Samad ialah Ahli Parlimen Johor Bharu dan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.Artikel ini dipetik dari shahrir-umno.com -16/6/2010

Ahad, 6 Jun 2010

JUARA RAKYAT BULAN BELIA DAN SUKAN


PROGRAM JUARA RAKYAT BULAN JUN " BELIA DAN SUKAN "

1. PERTANDINGAN FUTSAL MENGIKUT DUN BERJALAN SERENTAK DITIGA GELANGGANG SERBAGUNA DUN . DUN CHENOR DI GELANGGANG FUTSAL BANDAR BARU CHENOR, DUN LUIT DI GELANGGANG FUTSAL PEKAN TAJAU DAN DUN KUALA SENTUL DI GELANGGANG SERBAGUNA FELDA JENGKA 3 BERMULA 7 JUN HINGGA 11 JUN...

2. KEJOHANAN BOLA JARING SERENTAK MENGIKUT DUN PADA 12HB JUN 2010. DUN CHENOR DI GELANGGANG BOLA JARING SEKOLAH KEBANGSAAN CHENOR , DUN KUALA SENTUL DI GELANGGANG BOLA JARING ULU JEMPUL DAN DI DUN LUIT DI GELANGGANG BOLA JARING KOMPLEKS BELIA MARAN.

3. CERAMAH PERDANA OLEH SAUDARA LOKMAN NOOR BIN ADAM , EXCO PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA DI STESEN TEKSI BANDAR MARAN PADA 8HB JUN , 9 MALAM ....

4. MAJLIS MAKAN MALAM DAN RAMAH MESRA BELIA BERSAMA EXCO KERAJAAN NEGERI PAHANG, YB DATO HAJI TAN MOHD AMINUDDIN BIN HAJI ISHAK, EXCO PERTANIAN DAN INDUSTRI ASA TANI DAN HAL EHWAL FELDA DI DEWAN PEKAN TAJAU MULAI JAM 8 MALAM. PENYAMPAIAN HADIAH KEJOHANAN FUTSAL DAN BOLA JARING JUGA AKAN DISAMPAIKAN PADA MALAM TERSEBUT..

SEMUA ANGGOTA MASYARAKAT DIJEMPUT HADIR....