Rabu, 14 April 2010

Perisik Israel konon

Perisik Israel: Dakwaan Ketua pembangkang disangkal


KUALA LUMPUR 13 April - Kerajaan hari ini menyangkal dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa projek menaik taraf sistem laporan polis (PRS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan perisik Israel.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana projek PRS diberi kepada syarikat tempatan iaitu Sapura System Sdn. Bhd. (SSSB) dan Master Plan Consulting Sdn. Bhd. (MPC).

Beliau berkata, sehingga kini projek tersebut telah siap sehingga fasa ketiga dan SSSB telah diberi tanggungjawab melaksanakan fasa pertama serta kedua manakala fasa ketiga pula diberi kepada MPC.

"Dalam projek fasa ketiga MPC melantik subkontraktor iaitu syarikat Asiasoft (M) Sdn. Bhd. untuk melaksanakan sebahagian aplikasi PRS yang mana 70 peratus saham dimiliki rakyat Malaysia dan bakinya 30 peratus dimiliki syarikat milik Singapura iaitu Asiasoft (S) Pte. Ltd.

"Semua pekerja yang terlibat dalam projek ini terdiri daripada warga tempatan dan seorang warga India. Projek ini langsung tidak melibatkan pekerja dari syarikat Asisoft. Ia siap sepenuhnya pada Oktober 2006," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 di Dewan Rakyat hari ini.

Awal bulan ini, Anwar memberitahu Dewan terdapat dua perisik Israel berada 24 jam di dalam bilik server di ibu pejabat polis Bukit Aman.

Dalam perkembangan berkaitan, Abu Seman berkata, tindakan Anwar cuba mengaitkan pembabitan warga Israel dalam projek itu berpunca daripada pengambilalihan 100 peratus saham syarikat Asiasoft (S) Pte. Ltd. oleh syarikat Asiasoft Global Pte. Ltd. pada Ogos 2007.

Beliau memberitahu sidang Dewan, syarikat Asiasoft Global dimiliki dua pemegang saham utama iaitu Toh Kian Hong (rakyat Singapura) dan baki 51 peratus dimiliki Top Image Systems Ltd. (TIS).

"Didapati dua orang ahli lembaga pengarah TIS adalah rakyat Israel. Berikutan pengambilalihan ini PDRM telah melakukan siasatan dalaman pada 9 Jun 2008 berkaitan dengan kesahihan maklumat dan peranan kedua-dua ahli lembaga pengarah tersebut.

"Hasil siasatan awal PDRM, tidak terdapat penglibatan mana-mana warganegara asing khususnya dari Israel dalam pembangunan projek PRS," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh itu juga MPC telah memaklumkan kepada PDRM bahawa kontrak Asiasoft (M) Sdn. Bhd. telah ditamatkan iaitu pada 31 Disember 2008.

"Usaha mengaitkan ahli lembaga Israel dalam projek ini tidak patut timbul kerana tarikh pengambilalihan syarikat Asiasoft Singapura berlaku selepas projek fasa ketiga siap.

"Fakta ini tidak sepatutnya dikelirukan kerana pengambilalihan syarikat Asiasoft Singapura oleh Asiasoft Global berlaku Ogos 2007 sedangkan fasa ketiga siap pada Oktober 2006.

"Atas asas apa Ketua Pembangkang cuba mengaitkan projek PRS dengan penglibatan warga Israel?" katanya.

Mengenai dakwaan Anwar bahawa kos projek sistem komunikasi radio dua hala RMPnet PDRM meningkat daripada RM980 juta kepada RM999 juta juga tidak berasas.

"Berkaitan dakwaan penglibatan anggota perisik Israel langsung tidak berasas kerana projek RMPnet tidak ada kaitan dengan PRS," ujarnya.

Menjelas lebih lanjut mengenai projek RMPnet beliau berkata, ia dilaksanakan oleh Motorola Technology Sdn. Bhd. (MTSB) dengan kerjasama rakan tempatannya, MPC.

"Projek ini dibangunkan MTSB berdasarkan piawaian APCO P25 yang dibangunkan oleh Association of Public Safety Communication Officials iaitu satu badan antarabangsa atau dikenai dengan APCO International.

"Saya ingin jelaskan APCO International tiada kaitan langsung dengan APCO Worldwide yang merupakan syarikat perunding perhubungan awam.

"RMPnet dan PRS merupakan dua projek yang berasingan dan tiada kaitan sama sekali. Asiasoft pula tidak pernah terlibat dengan projek RMPnet," tambahnya.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_03.htm

2 ulasan:

  1. Salam bro, si Anwar sendiri lupa memberi tahu Dewan bagaimana dia satu barisan dlam carta organisasi agen-agen yahudi-Israel..... Beginilah cara Anwar liwat bersembunyi disebalik baju Bush...

    BalasPadam