Rabu, 3 Jun 2009

Makluman penting...

Dr Novandri Hasan Basri

Penulis tertarik dengan artikel yang ditulis oleh RockyBru mengenai keputusan survey Merdeka Center mengenai DS Najib Tun Razak.

Jika kita hanya membaca berita atau pun artikel di dalam web-web seperti Malaysian Insider tanpa ingin tahu cerita sebenar dan keseluruhan survey yang dilakukan oleh Merdeka Center, kita akan beranggapan seolah-olah DS Najib tidak popular dan tidak disokong oleh hampir separuh (45 % sahaja) respondens survey tersebut.

Kita akan berasa was-was dengan Presiden UMNO dan Perdana Menteri kita sendiri. Perasaan was-was ini boleh merebak menjadi perasaan benci atau dingin kepada pada parti UMNO dan Najib Razak jika kita terus dihujani dengan pelbagai tohmahan negatif terhadap parti UMNO dan Najib sendiri.

Perasaan was-was ini pastinya juga merupakan lubuk kepada parti pembangkang untuk memporak-perandakan lagi persepsi dan pertimbangan rakyat terhadap kerajaan hari ini dan parti UMNO.

Parti pembangkang pastinya akan menyalahgunakan survey ini di dalam web, blog dan ceramah mereka untuk memburuk-burukkan nama Perdana Menteri Malaysia. Modus operandi mereka ini mungkin berhasil, lebih-lebih lagi ramai di antara kita yang menelan bulat-bulat kata-kata pemimpin parti pembangkang tanpa usul periksa.

Realitinya, kita malas mencari sendiri fakta-fakta atau tidak cuba mencari kebenaran atau hanya mendengar dari satu pihak sahaja sehinggakan kita senang terpengaruh dengan strategi penulisan dan lenggok ceramah yang hanya memenangkan satu pihak sahaja dan menjatuhkan pihak yang satu lagi.

Jika kita rujuk artikel-artikel yang menyentuh survey Merdeka Center, penekanan dan ayat-ayat yang digunakan seolah-olah Najib Razak sangat teruk.

Contohnya, "hanya 45% yang puas hati dengan prestasi Perdana Menteri'. Jika sekali imbas dan tanpa melihat nilai sebenar survey itu, kita akan beranggapan bahawa 55% (100% - 45%) tidak puas hati dengan Najib dan nilai itu sangat besar serta 'menakutkan' atau 'memalukan'.

Tentunya ramai yang berbelah bahagi. Mereka yang menyokong Najib Razak pastinya akan melompat marah dan mengatakan bahawa survey tersebut berat sebelah dan tidak boleh digunapakai, lebih-lebih jika mereka itu tidak tahu hujung pangkal mengenai Merdeka Center dan statistik keseluruhan survey itu.

Mereka yang menentang Najib Razak pastinya akan mencanang-canangkan 'keburukan Najib berdasarkan survey itu' kepada seluruh rakyat dengan harapan rakyat tidak tahu hal sebenarnya, tidak bijak dan yang paling penting ialah menelan bulat-bulat dakwaan mereka itu.

Padahal, survey itu sebenarnya telah memberikan thumbs up kepada Najib Razak sebagai Perdana Menteri.


Survey itu mendapati hanya 16% sahaja yang tidak berpuas hati dengan prestasi Najib Razak.

Yang paling memberangsangkan sekali ialah 53% responden Melayu yang berpuas hati dan hanya 13% yang tidak berpuas hati.

Kesimpulannya, DS Najib Razak menerima sokongan daripada kebanyakan responden survey tersebut. Walaubagaimana pun, beliau masih perlu bekerja keras untuk membuktikan ketokohan dan kewibawaan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia. Dan setakat ini, beliau telah memberikan komitmen yang padu serta keputusan yang mesra rakyat.

Walaubagaimana pun, terdapat plan-plan yang telah dijalankan hanya berbentuk makro, terlalu teoritikal tetapi tidak berapa menyentuh kehidupan seharian rakyat Malaysia. Mungkin strategi awal Tun Mahathir dahulu seperti kad rakam waktu, name tag atau pun keseragaman waktu di antara semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak yang digunapakai setiap hari oleh rakyat Malaysia perlu difikirkan oleh think tank Najib Razak.

Mungkin ada yang memandang sinis contoh-contoh yang penulis berikan itu tetapi iniasitif-inisiatif tersebut masih digunapakai sehingga ke hari ini dan sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seluruh rakyat Malaysia. Besar sebenarnya impak inisiatif Tun Mahathir tersebut.

Realitinya, perjalanan DS Najib Razak masih jauh dan onak durinya terlalu banyak serta menyakitkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan