Ahad, 10 Januari 2010

SENARIO POLITIK TANAH AIR



17 Jan. - Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu apabila calonnya, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut.

23 Jan.- Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang menggugurkan tiga anggota jawatankuasanya termasuk Timbalan Ketua Menteri I, Mohammad Fairus Khairuddin berkuat kuasa serta-merta.
25 Jan. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bota, Datuk Nasaruddin Hashim mengisytiharkan keluar daripada BN untuk menyertai PKR.

1 Feb. - Speaker DUN Perak, V. Sivakumar mengumumkan ADUN Changkat Jering dan Behrang menghantar surat peletakan jawatan pada pukul 5.45 petang, namun tidak sampai tiga jam selepas itu, mereka menafikannya dan mendedahkan ia adalah surat lama tanpa tarikh.

3 Feb. - Kerajaan Perak tidak lagi mengiktiraf Jamaluddin Mohd. Radzi dan Mohd. Osman Jailu sebagai ADUN Behrang dan Changkat Jering.

4 Feb. - ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu daripada PKR serta ADUN Jelapang, Hee Yit Foong (DAP) menjadi wakil rakyat Bebas.

4 Feb. - ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai PKR, kembali semula kepada UMNO.

4 Feb. - BN memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan baru di Perak dengan kelebihan tiga kerusi mengatasi 28 kerusi penyandangnya daripada pakatan pembangkang.

6 Feb. - ADUN Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir, 47, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-11.

6 Feb. - Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin enggan meletakkan jawatan apabila masih ke Pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

6 Feb. - Sekumpulan penyokong pembangkang berbaring di atas jalan raya untuk menghalang kenderaan yang dinaiki oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah ke majlis mengangkat sumpah Menteri Besar Perak baru di Istana Iskandariah, Perak.

7 Feb. - Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin masih menganggap beliau adalah Menteri Besar yang sah dengan 'mempengerusikan mesyuarat khas Exco' dan 'meluluskan' empat perkara yang berkaitan pentadbiran negeri.

9 Feb. - ADUN PKR Bukit Selambau, V. Arumugam melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat dan Exco Kerajaan Negeri Kedah berkuat kuasa serta-merta.

10 Feb. - Enam ADUN BN mengangkat sumpah sebagai Exco Kerajaan Negeri Perak yang baru.

13 Feb. - Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan perintah perisytiharan bahawa beliau masih merupakan Menteri Besar Perak yang sah.

13 Feb. - Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo ditahan oleh polis ekoran tindakannya cuba menyerahkan memorandum bantahan kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh di kediamannya di Jalan Kebun Bunga, Pulau Pinang.

17 Feb. - Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong menawarkan diri untuk meletak jawatan dan juga mengosongkan kerusi DUN Bukit Lanjan setelah gambar bogelnya tersiar dalam Internet.

18 Feb. - Speaker DUN Perak, V. Sivakumar menggantung dan melarang Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir bersama enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang DUN berkuatkuasa serta-merta.

22 Feb. - Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin secara rasmi berpindah keluar dari kediaman Menteri Besar Perak.

3 Mac - Mahkamah Tinggi Ipoh meluluskan permohonan injunksi Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exconya untuk menghalang Speaker DUN Perak, V. Sivakumar mengadakan sebarang persidangan DUN.

3 Mac - Pakatan pembangkang DAP, Pas dan PKR mengadakan 'sidang tergempar' DUN Perak di bawah pokok, kira-kira 100 meter dari Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.

17 Mac - Lembaga Disiplin UMNO melarang Datuk Seri Mohd. Ali Rustam untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.

17 Mac - Lembaga Disiplin UMNO mendapati Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin bersalah dalam isu politik wang menjelang pemilihan parti.

22 Mac - Datuk Seri S. Samy Vellu mengekalkan jawatan sebagai Presiden MIC untuk penggal ke-11 apabila pencalonan pencabarnya, Datuk M. Muthupalaniappan ditolak Jawatankuasa Pemandu Pemilihan Presiden MIC.

25 Mac - Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil muncul sebagai Ketua Wanita UMNO, Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda dan Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin sebagai Ketua Puteri selepas memenangi pemilihan pergerakan itu.

26 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO selepas menewaskan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib pada pemilihan parti itu.

26 Mac - Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal muncul sebagai Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti itu.

26 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak diisytiharkan sebagai Presiden UMNO yang baru pada Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

29 Mac - Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau mencatatkan sejarah tanah air apabila sebanyak 15 calon layak bertanding pada hari penamaan calon.

4 April - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali kembali menyertai UMNO setelah hampir setahun meninggalkan parti tersebut.

7 April - Calon Pas, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menang pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang menewaskan calon BN, Ismail Saffian dan calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris.

7 April - Calon BN, Malcolm Mussen Lamoh memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air dengan majoriti 1,854 undi mengalahkan calon PKR, Jawah Gerang.

7 April - Calon PKR, S. Manikumar menang dengan majoriti 2,148 undi dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau mengatasi calon BN, Datuk S. Ganesan dan 13 calon Bebas.

14 April - Tiga ADUN BN Terengganu iaitu Datuk Rosol Wahid (Ajil), Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) membuat laporan polis selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ancaman.

14 April - Sepuluh ADUN BN Terengganu bertindak 'luar biasa' apabila tidak menghadiri hari kedua sidang Dewan Undangan Negeri kerana terdapatnya khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ancaman.

16 April - Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan penggantungan ke atas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exco daripada menghadiri sidang DUN oleh Speaker Sivakumar sebagai tidak sah.

16 April - Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai ADUN Penanti berkuat kuasa hari ini.

24 April - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan perubahan pucuk pimpinan di lapan negeri dengan lima daripadanya diterajui barisan kepimpinan tertinggi parti sebagai Pengerusi Badan Perhubungan.

7 Mei - Datuk R. Ganeson dilantik sebagai Speaker DUN Perak bagi menggantikan V. Sivakumar.

11 Mei - Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas menggugurkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah daripada jawatan ahli Majlis Tertinggi parti itu.

11 Mei - Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

12 Mei - Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

30 Mei - Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas mengekalkan jawatan yang disandang sejak 1993 apabila menang tanpa bertanding pada pencalonan rasmi parti itu.

31 Mei - Calon PKR, Dr. Mansor Othman menewaskan tiga calon bebas pada pilihan raya kecil DUN Penanti.

4 Jun - Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengesahkan Presiden PPP, Datuk M. Kayveas masih merupakan presiden parti itu yang sah.

6 Jun - Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berjaya mengekalkan jawatan tersebut dalam pemilihan sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-55.

17 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Nasharudin Mat Isa meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden Pas dan Ahli Parlimen Bachok.

1 Julai - DAP Kedah keluar daripada pakatan pembangkang kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran Pas di negeri itu.

3 Julai - Wakil rakyat tunggal DAP di Kedah, Lee Guan Aik mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN Bebas dan berkecuali dan tidak lagi menjadi penyokong kerajaan negeri.

14 Julai - Pas mengekalkan kerusi DUN Manek Urai di Kelantan setelah calonnya, Mohd. Fauzi Abdullah menewaskan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat dengan majoriti tipis 65 undi.

15 Julai - Ketua Pembangkang yang juga ADUN Sungai Panjang, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo digantung setahun daripada menghadiri sidang DUN Selangor.

18 Julai - Bekas Naib Presiden MCA dan Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng mengumumkan secara rasmi menyertai PKR.

23 Ogos - ADUN Lunas, Kedah, Mohd. Radzhi Salleh mengumumkan keluar daripada PKR mengisytiharkan dirinya menjadi wakil rakyat Bebas.

25 Ogos - Pas mengekalkan kedudukannya di kerusi DUN Permatang Pasir apabila calonnya, Mohd. Salleh Man menewaskan calon BN, Rohaizat Othman dengan majoriti 4,551 undi.

11 Sept. - Majlis Tertinggi (MT) UMNO bersetuju menghapuskan sistem kuota bagi pemilihan dalam parti.

12 Sept. - Penyandang jawatan Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel mengekalkan kedudukannya buat penggal kedua dengan mengalahkan bekas Timbalan Presiden, Datuk S. Subramaniam dan bekas Naib Presiden, Datuk S. Sothinathan pada pemilihan parti itu.

10 Okt - Perhimpunan agung luar biasa (EGM) MCA membuat ketetapan undi tidak percaya kepada Presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat, menerima semula Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebagai ahli parti namun tidak mengembalikan jawatan Timbalan Presiden kepadanya.

11 Okt. - BN mencatat kemenangan besar pada pilihan raya kecil Bagan Pinang apabila calonnya Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad menewaskan calon Pas, Zukefly Mohamad Omar dengan majoriti 8,013 undi.

15 Okt. - UMNO melalui proses transformasi bersejarah apabila 2,541 perwakilan ke perhimpunan agung khas parti itu sebulat suara meluluskan pindaan tujuh perkara penting dalam perlembagaannya.

15 Okt. - Jawatankuasa Pusat (CC) MCA melantik Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai Timbalan Presiden MCA bagi mengisi kekosongan jawatan itu.

27 Okt. - Naib Presiden PKR, Datuk Jeffrey Kitingan meletakkan semua jawatan dalam parti.

29 Okt. - ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah mengisytiharkan dirinya keluar daripada PKR dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong BN.

3 Nov. - Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat memecat empat anggota Jawatankuasa Pusat (CC) parti.

18 Nov. - Mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) MCA melucutkan keanggotaan Ketua Pemuda, Datuk Dr. Wee ka Siong dan Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun dan tujuh lagi daripada Majlis Presiden.

15 Dis. - Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan 13 ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA menghantar surat meletak jawatan dalam usaha memberi laluan kepada pemilihan semula parti itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan