Rabu, 21 Januari 2009

Pemuda Harapan Bangsa

Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu telah pun berakhir dan keputusan telahpun diketahui. Seperti mana biasa dan telah pun dijangka, pucuk kepimpinan mengambil sikap mudah dengan membuat analisis bahawa masalah ahli UMNO dan pemimpin peringkat bawahan menjadi faktor kekalahan UMNO di Kuala Terengganu. Jelas tuduhan-tudhan liar seperti orang UMNO sombong, susah didekati, tidak menjalankan tanggungjawab, berkempen sambil lewa dan sebagainya menjadi punca kekalahan UMNO. Malahan ada juga pemimpin atasan UMNO yang kononnya mendakwa UMNO kini tiada lagi faktor penarik yang boleh membawa undi kepada UMNO ataupun Barisan Nasional.

Sebahagian pemimpin atasan pula mengambil sikap kononnya UMNO harus bekerja keras menjaga rakyat semula di tempat kalah supaya UMNO akan kembali mendapat sokongan. Sepatutnya pihak yang menang perlu dituntut untuk melaksanakan segala janji mereka dan parti yang kalah seharusntya menguatkan jentera parti dan bukannya mengambil alih tugas parti yang menang. Pandangan dan pendapat sebegini bolehlah dikira sebagai kenyataan melepaskan diri oleh pemimpin atasan untuk mengelakkan diri mereka sebagai orang yang bersalah dan sebaliknya kesalahan itu dilemparkan kembali kepada ahli akar umbi. Ini merupakan taktik kotor yang bukan sahaja merosakkan imej parti malah boleh menyebabkan ahli akar umbi yang siang malam bekerja untuk parti tak kira sewaktu pilihanraya ataupun selepas pilihanraya kecil hati dan ada yang berkemungkinan akan lari ke parti pembangkang pada pilihanraya akan datang.

Lihat sahaja selepas keputusan PRU12 baru-baru ini yang jelas berlaku sentimen penolakan kepimpinan UMNO ketika ini oleh rakyat dan juga tanda protes rakyat kepada beberapa pemimpin atasan lain dalam parti UMNO dan juga parti komponen. Namun seperti orang pekak dan buta kepimpinan di peringkat atasan masih belum serik dan terus melakukan berbagai kesilapan termasuk kembali melantik beberapa tokoh pemimpin purba yang telah tidak dapat diterima oleh rakyat. Pemimpin pemimpin purba ini tidaklah dinafikan sumbangannya tetapi telah tiba masanya untuk UMNO mengenengahkan pemimpin pelapis dan orang muda yang boleh memberi keyakinan dan sinar kepada rakyat bahawa UMNO sememangnya parti undi rakyat dan bukannya parti keluarga ataupun golongan bangsawan sahaja.

Kekalahan PRK 36 ini juga bolehlah dianggap sebagai penolakan rakyat kepada beberapa pembaharuan yang dibuat oleh YAB Pak Lah dalam masa selepas PRU 12 baru-baru ini. Ini jelas apabila undi yang memihak kepada pembangkang tidak berubah malah telah meningkat lebih dari itu. Berkemungkinan juga faktor pemilihan kepimpinan baru yang menonjolkan calon-calon diperingkat tertinggi yang dimonopoli oleh pemimpin purba yang kononnya masih lagi mampu memberi khidmat tetapi tidak sedar dengan beradanya mereka disitu menjadikan mereka sebagai liabiliti tambahan kepada proses pemulihan UMNO selepas PRU12 baru-baru ini. Sudah tiba masanya untuk kita memberi sepenuh kerjasama dan sokongan kepada YAB Dato’ Najib untuk bertugas dengan dibantu oleh pemimpin – pemimpin muda yang lebih memahami suasana dan kehendak baru rakyat dizaman moden ini berbanding pemimpin-pemimpin purba yang membesar dizaman permulaan Malaysia dahulu. Berilah orang muda peluang untuk membuktikan bahawa UMNO masih lagi relevan dan sentiasa diperlukan untuk memastikan agenda Agama dan Bangsa itu terus di jadikan asas perjuangan dalam tanah air yang tercinta ini

3 ulasan:

  1. Sdra Amin,

    Sebenanrnya sy tak faham dengan wadah perjuangan org atasan dlm UMNO. Apa yg mereka kejar? Apa yg mereka cari?

    Perkataan "akar umbi" sering menjadi mainan mulut mereka. Siapa akar umbi tu? kitalah, rakyat. Tp, pernahkah pemimpin ini mendengar luahan hati kita? keputusan yang di dorong nafsu sendiri dikatakan kehendak akar umbi. rakyat kini sudah bijak menilai.

    sbg ahli pemuda Umno, sy kecewa pemuda kini sudah tidak lagi mcm pemuda 30 tahun dulu ketika era datuk harun, syed jaafar... adakah pemuda kini hanya menjalankan tugas yang diarah oleh pemimpin? mana suara pendesak? mana suara pembela?

    ingatlah, PRU13 nanti ada 2 juta pengundi baru yg ketika ini br berusia 17-20 tahun. mereka ini hanya memerhati dgn minat, apa parti yg dapat menjamin kehidupan mereka. jika pemuda lembik, tak pelik jika PRU13 BN akan jd pembangkang.

    dalam P036 KTrg, bg sy, Pas tidak semakin kuat, tetapi Umno semakin lemah. Undi protes masih berlaku. pengundi masih yakin, KTrg akan terus maju walaupun dibawah pembangkang kerana mereka akan menuntut janji yang ditabur BN. Pengundi BN mengundi atas dasar calon, tetapi pengundi Pas mengundi atas dasar parti. bak kata2 yg biasa di dengar, org bg kain pelikat kita ambil, org bg duit kita ambil, nak undi? belum tentu...

    bersama kita muhasabah diri kita.
    salam hormat
    01x 9xxxxx1

    BalasPadam
  2. .

    Sdra Amin,

    Saya petik kata2 dari sebuah blog. renungkanlah...

    Entry ini ditulis oleh Syazwan Zanini dari http://www.wenkt.com/blog

    Semua orang boleh menjangka tajuk utama berita di surat khabar semalam.

    Jika BN menang dalam Pilihanraya kerusi Parlimen Kuala Terengganu dua hari lepas, maka tajuk akhbar semalam akan menjadi: “BN Menang di Kuala Terengganu” dan ulasan terbaik ialah: “Ini membuktikan bahawa rakyat masih percayakan kepada kepimpinan BN”.

    Hakikatnya, BN tidak menang, dan keputusan tersebut hampir ingin diketepikan di dalam akhbar. Mujurlah konflik di Palestin boleh dijadikan tajuk berita utama, di samping berita mengenai pesakit luar yang terpaksa menunggu lama di klinik kerajaan diketengahkan walaupun ianya bukanlah suatu isu penting pada masa ini.

    Isu ketidakmenangan BN diletakkan di ruangan dalam. Hanya subtajuk kecil di muka depan.

    Jika ditanyakan kepada saya, saya berpendapat bahawa tindakan PAS mengumumkan calon mereka pada saat - saat akhir mungkin memberi kesan besar terhadap BN. BN pada awalnya menyangka Dr Syed Azman ataupun Wan Mutallib sebagai calon PAS, tetapi Abdul Wahib yang diketengahkan. Akhirnya, BN ibarat menjadi keliru dan tidak sempat menyediakan hujah untuk melawan PAS.

    Ironinya, peratusan pengundi muda yang mengundi adalah rendah. Jika dilihat pada gambar di puluhan blog pro-kanan mahupun pro-kiri, kebanyakkan warga muda membawa bendera PAS. Percayalah, wujud perasaan malu di kalangan warga muda untuk membawa bendera BN walaupun hati mereka menyokong BN, atas sebab - sebab yang perlu BN gali.

    Saya juga begitu. Tidak malu saya menulis dengan menyatakan saya adalah lebih kepada BN tetapi saya tidak sanggup membawa bendera BN mahupun berkempen untuk BN. Saya sendiri sukar mentafsir pendirian ini. Anda mungkin ada idea kepada saya berfikirkan begini?

    Pecahan dalaman BN tidak boleh dinafikan sebagai salah satu faktor ketidakmenangan BN dalam Pilihanraya P36 ini. Pertamanya, calon BN bukanlah calon pilihan Menteri Besar, maka menampakkan kecelaruan dalaman BN, dan keduanya, Wan Farid sendiri dilihat tidak mesra rakyat.

    Saya tidak mengamati kesemuanya. Saya tidak kenal calon secara peribadi. Saya hanya melihat mereka di kaca TV, saya hanya baca biodata mereka di suratkhabar dan blog. Rasanya generasi muda yang lain pun sama. Mereka tidak endah. Saper yang menang, saper yang kalah, tidak memberi sebarang kesan, samaada positif ataupun kesan negatif.

    Percayalah, bila saya lihat calon PAS memberi komen pada Berita Terkini semasa pilihanraya berlangsung, saya terus menyatakan bahawa beliau lebih layak. Penampilan dan gaya keyakinan bercakap tertanya mematikan sokongan saya terhadap calon BN yang saya fikir lebih layak dari segi pengalaman politik dan prestasi akademik.

    Benarlah, bila pengundi melihat watak dan perwatakan mereka berdua, saya yakin bahawa pergaulan calon dan pemilih merupakan satu faktor yang sangat utama.

    BN tidak kalah, cuma BN tidak menang.

    Entry ini ditulis oleh Syazwan Zanini dari http://www.wenkt.com/blog

    Dah abis baca? renungkan ayat tentang org muda dan pengundi muda dalam petikan di atas...

    Salam hormat
    01x 9xxxxx1


    .

    BalasPadam
  3. Sdr, Alhamdulilah kerana masih yakin kepada UMNO. Baca dan follow juga blog ini> http://spu-bloggers.blogspot.com SUARA PRIHATIN UMNO BAHAGIAN JERANTUT

    BalasPadam