Selasa, 10 November 2009

GENERASI BARU FELDA

FELDA adalah antara kejayaan terbesar UMNO dalam membantu orang melayu untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun terutamanya peneroka-peneroka FELDA yang telah diberi peluang untuk menikmati salah satu rahmat Allah yang disampaikan melalui pemikiran kepimpinan UMNO yang ketika itu diterajui oleh Allahyarham YAB Tun Abdul Razak , Perdana Menteri Malaysia kedua yang merupakan bapa kepada YAB Dato' Seri Mohd Najib , Perdana Menteri ketika ini.

Pembukaan tanah telah pertamanya memberikan orang melayu peluang untuk memiliki tanah mereka sendiri bagi membina rumah dan juga bercucuk tanam dengan tanaman utamanya kelapa sawit dan getah. Orang Melayu yang tidak berumah dan bertanah dan berminat untuk berusaha telah dianugerahkan tanah tapak rumah dan juga lebih kurang 10 ekar tanah kebun. Alhamdulillah dengan pelbagai bantuan dari kerajaan dan FELDA akhirnya hampir kesemua peneroka ini telah berjaya menikmati hidup yang lebih baik. Anak-anak mereka kebanyakannya telah mendapat pendidikan yang baik dan kebanyakannya telah berjaya keluar dari kepompong kemiskinan dan membentuk melayu baru iaitu melayu peringkat pertengahan yang mampu untuk menguruskan hidup mereka sendiri tanpa perlu bergantung kepada harta orang tua mereka sebaliknya mencari rezeki dengan ilmu dan sijil yang diperolehi dengan bantuan dan usaha keluarga mereka serta kewangan seperti biasiswa dari kerajaan. Mereka ini tidak lagi berminat untuk tinggal dikawasan FELDA kerana peluang pekerjaan mereka berada dibandar dan akhirnya mereka menetap terus kerana taraf hidup mereka telah berubah.

Namun terdapat juga rakan-rakan mereka yang bukan tidak berjaya tetapi dengan pencapaian akademik dan sikap mereka menyebabkan mereka terpaksa menetap di kawasan FELDA. Akhirnya mereka ini mula menimbulkan masalah kerana kadang-kadang terdapat beberapa adik beradik yang terpaksa tinggal bersama ibu dan ayah mereka yang merupakan peneroka asal di situ. Mereka ini juga seperti orang lain berkahwin dan mempunyai anak masing-masing. Bayangkan apabila terdapat dua tiga keluarga seperti ini yang menumpang dirumah orang tua mereka sudah tentu ianya akan menimbulkan pelbagai masalah.

Dengan kerja mereka dan kehidupan mereka yang berada di kawasan FELDA ini sudah tentu mereka memerlukan kediaman untuk keluarga mereka sendiri berdekatan dengan kawasan mereka bekerja. Namun kerana FELDA sudah tidak lagi mengambil peneroka baru maka peluang mereka untuk memiliki kediaman akan musnah. Sekitar kawasan perkampungan FELDA ditempat ibu bapa mereka pula tidak dapat di mohon dengan pihak berwajib kerana pelbagai kekangan perundangan dan dasar pentadbiran FELDA yang tidak seragam. Akta GSA sering digunakan oleh pihak FELDA untuk menghalang sebarang pembangunan baru dikawasan perkampungan FELDA tanpa kebenaran dan perancangan dari mereka sendiri.

Terdapat beberapa pembangunan perumahan baru yang dibuat oleh pihak FELDA ketika ini seperti Feldajaya, perumahan PWF dan perumahan generasi kedua yang diwar-warkan sebagai penyelesaian kepada masalah tersebut diatas. Bukanlah saya bermaksud untuk menafikannya tetapi jelas ianya tidak mencukupi dan tidak mampu untuk menangani masalah tersebut secara berkesan. Bilangan yang kecil serta dan kos rumah yang mahal serta sistem pembelian yang melibatkan pihak bank tentu akan membebankan generasi baru FELDA yang ingin memiliki rumah seperti ini yang akan berhadapan dengan syarat kewangan yang sememangnya tidak memihak kepada mereka. Akhirnya hanya generasi baru yang mempunyai pekerjaan yang baik sahaja yang mampu membeli rumah tersebut dan tetap akan meminggirkan generasi baru yang telah lama menetap dikawsan FELDA dan tidak mempunyai kemampuan untuk menyediakan kewangan mencukupi.

Oleh yang demikian perlu beberapa cara yang boleh difikirkan dan sepatutnya menjadi pertimbangan serius pihak FELDA dengan membenarkan generasi baru FELDA mendirkan rumah disebelah rumah ibu bapanya ( dalam lot yang sama ) untuk mengatasi masalah kekurangan rumah. cara ini akan memberi peluang kepada generasi baru untuk membina rumah mereka sendiri tanpa perlu meminjam duit dengan syarikat kewangan yang jawapannya pasti hampa. Satu kaedah lagi yang boleh dilaksanakan ialah dengan cara pengurusan FELDA mengesan kawasan tanah kosong dalam perkampungan FELDA tersebut untuk memudahkan kawasan tersebut diagihkan kepada generasi baru untuk didirikan rumah kediaman mereka di kawasan mereka mencari rezeki. Sikap pengurusan FELDA yang teragak-agak dan berbeza-beza antara satu kawasan dengan kawasan yang lain juga menimbulkan masalah kepada kerajaan walaupun dasar ini dilaksanakan oleh FELDA sendiri. Bagi mengelakkan perbalahan timbul antara generasi baru untuk mendapatkan tapak rumah tersebut maka satu panel siasatan yang mesti memastikan bahawa pemohon benar-benar menetap di FELDA dan bukannya mempunyai niat lain seperti ingin menambah rumah dan sebagainya.

Dengan cara begini akan meluaskan lagi peluang untuk generasi baru memiliki tanah dan kediaman yang sempurna demi menjamin kehidupan yang lebih baik. Ini juga akan memastikan pekembangan perkampungan FELDA kerana mereka akan menetap disini dan menjadi sebahagian daripada masyarakat.

Sementara itu FELDA juga sepatutnya ketika ini merombak atau menutup FELDA Teknoplant kerana telah menimbulkan pelbagai masalah kepada peneroka dan juga FELDA . Sikap kebanyak pegawai Technoplant yang lebih suka menggajikan tenaga buruh asing juga amat merungsingkan kerana seolah-seolah kera dihutan disusukan, anak dirumah mati kelaparan. Sepatutnya Technoplant memberi peluang kepada generasi baru untuk bekerja dan memperbaiki kehidupan mereka.

Isu ini haruslah ditangani dengan segera kerana ianya merupakan sebahagian dari rungutan orang muda ketika ini yang menunjukkan hasilnya pada PRU 12 baru-baru ini. Oleh yang demikian satu usaha bersepadu perlu digerakkan untuk memastikan perkara diatas dapat direalisasikan dengan sempurna dan jayanya.


"Rakyat Didahulukan"

5 ulasan:

  1. GENERASI BARU DIFELDA ADA MENDAFTAR MENGUNDI TAK? TAK GUNA RAMAI TAPI TAK ADA SUARA.

    BalasPadam
  2. Agak agaknya berapa keturunan lagi yang kena dijaga dan diberikan segala gala.

    Sudah dibawa kesungai; namun airnya kena dicedok dan dituangkan kemulut. Sampai berapa generasi.

    BalasPadam
  3. Che Leh Jangok, itulah akibat daripada undang undang yang mengongkong. Kawasan Felda ada hak otonomi dibawah GSA. semua aktiviti , berniaga, penggunaan tanah, sosial, politik, ugama dikawal oleh felda. Untuk menyedut udara yang lebih maka keluarlah anak muda kekawasan bukan felda.Mereka dikawal dibawah Penradburan FElda. Nasib baiklah jika dapat Pengurus yang dinamik......

    BalasPadam
  4. jhnhjh vuhuhju

    BalasPadam
  5. Nak tahu hasil kerja kita(UMNO)
    bolehlah tengok diFelda
    buat Statistiknya
    dari berbagai bagai sudut

    Nak tahu kerja MCA
    tengoklah dikampong Baru Cina
    Buat Statistik
    Bandingkan lah

    BalasPadam