Ahad, 3 Januari 2010

Kenaikan tidak kena masa - Pemuda UMNO Maran


MARAN 2 Jan. - Kerajaan sepatutnya menangguhkan tarikh kenaikan harga gula bagi mengurangkan beban rakyat yang sedang membuat persiapan persekolahan anak- anak yang bermula Isnin ini.

Pemangku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Khairul Amin Osman berkata, pihaknya tidak membantah keputusan kerajaan itu tetapi ia sepatutnya dilakukan pada masa yang lebih sesuai sehingga selesai ibu bapa menguruskan persekolahan anak-anak.

Tegas beliau, kenaikan harga gula itu membebankan rakyat terutama yang berpendapatan rendah seperti petani, nelayan dan pekebun kecil yang sedang membuat persiapan persekolahan anak-anak.

"'Hadiah tahun baru ini dianggap satu tindakan yang tidak sesuai ketika rakyat sedang menghadapi beban kewangan yang tinggi berikutan penggal persekolahan dibuka Isnin ini.

"Kenaikan harga gula ini dianggap tidak selari gagasan 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' kerana ia berlaku ketika orang ramai membuat persiapan persekolahan," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau mengulas kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram yang diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kelmarin.

Menurut Khairul Amin, pendekatan kerajaan yang melepaskan beban tanggungan subsidi gula juga dianggap tidak kena pada masanya.

Justeru, tegasnya, Pemuda UMNO Maran tidak bersetuju dengan kempen kesedaran mengurangkan gula yang dilancarkan kerajaan menerusi kenaikan harga bahan itu.

"Kita memahami kekangan kewangan kerajaan ketika ini tetapi tindakan mengalih bebanan itu kepada rakyat dengan alasan tanggungan subsidi yang besar tidak dapat diterima," tegasnya.

Beliau bimbang tindakan meletakkan beban itu kepada rakyat akan dieksploitasi oleh pembangkang yang ketika ini ketandusan isu.

"Kami berpendapat adalah lebih baik kementerian mengambil pendekatan lain termasuk membuka permit import (AP) gula supaya lebih banyak pengusaha boleh mengeluarkan gula kepada negara, seterusnya meningkatkan persaingan.

"Lebih banyak pengeluar gula akan sekali gus mempengaruhi harga di pasaran. Ia juga dapat mengurangkan monopoli yang kini hanya dipegang beberapa individu," katanya.

Sehubungan itu tegasnya, kenaikan harga gula harus diteliti semula dengan mencari mekanisme baru yang tidak membebankan rakyat kerana jika diteruskan, ia akan menyebabkan kenaikan harga barangan lain.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm

1 ulasan:

  1. Salam waris,

    Benar harga gula naik RM0.20 sekilo di awal tahun baru 2010.

    Namun begitu, adakah jika Kerajaan menangguhkan kenaikan harga nya ianya akan memberikan implikasi yg berbeza..?

    Setiap tindakan yg Kerajaan buat semestinyalah telah difikir baik buruknya serta dlm pertimbangan sewajarnya.

    Jgnlah kita dgn mudah memperlekehkan kempen pengurangan penggunaan gula yg telah dilakukan Kerajaan.
    Kesedaran kepada pengguna lah sepatutnya sdr utarakan sebagai pemimpin, bukannya kondem sana-sini dgn memburukan usaha Kerajaan dlm hasrat menjuarai rakyat.

    Tahukah kita ubat-ubatan & insulin penyakit kencing manis begitu banyak dpt ditampung dgn subsidi gula RM1 bilion lebih setahun itu? Seruan PM supaya rakyat menjaga kesihatan amatlah dialukan.

    Jgn lah kita melatah tak tentu kehala. Membuat kenyataan dlm akhbar arus perdana hanya memperlihatkan sikap gelojoh dan kurang matang..lebih dilihat kpd mencari publisiti murahan..!

    Adakah setiap manusia di Malaysia ini memakan hingga sekilo gula sehari/seorang..?

    Harga gula-gula RM0.20 = 2 bijik je.

    Harga rokok RM0.60 /sebatang.

    Terbeban sgt kah rakyat yg menjelang persiapan persekolahan ini untuk berhadapan dengan RM0.20 kenaikan harga tersebut.?

    Jujur dan ikhlas lah dlm memberikan pandangan..!

    BalasPadam